Adnan Ibrahim | denanbrahim@yahoo.com Fri | Mar 23, 07 | 08:50:42 AM | |
Pesekitaran Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut terdapat kawasan yang dipanggil 'Belakang Mati'. Kawasan itu mungkin boleh bertukar wajah di hujung minggu jika ada usaha menjadikan persekitaran itu seperti di tengah bandar Kota Bharu pada hari Jumaat. Hujung minggu Kota Bharu jatuh pada hari Jumaat, berlainan hujung minggu di Belakang Mati pada hari Ahad. Namun hujung minggu di Kota Bharu meriah apabila orang ramai berkumpul di Jalan Dato' Pati, Hulu Pasar, Hilir Pasar, Padang Garung, Jalan Maju dan beberapa jalan lain. Mereka seolah sudah faham, duduk bersila di atas jalan raya pada hari itu tidak menjadi kesalahan. Kepala mereka menghadap Dewan Zulkefli, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan. Setiap yang hadir di persekitaran laluan pejabat itu cukup khusyuk mendengar suara daripada bangunan tersebut. Boleh dikatakan setiap pagi Jumaat mereka berkumpul di Dataran Ilmu bermula dengan aktiviti perniagaan. Kemudian perniagaan terhenti apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mula berceramah jam sembilan pagi. Lebih kurang sejam setengah selepas itu suasana sunyi mula bising. Aktiviti perniagaan kembali rancak sehingga orang ramai beransur pulang untuk solat Jumaat. Bagi hujung minggu Belakang Mati, Chow Kit pun ramai orang antaranya rancak menjalankan perniagaan. Dari memborong barangan hingga tawar menawar perkhidmatan seks murahan. Tak cukup berlainan jenis, sejenis pun boleh jalan. Lorong Haji Taib sudah menjadi terkenal dan `glamour' sebagai tempat maksiat seantaro dunia. Mereka yang berdiri di celah bangunan Belakang Mati ini tak sama dengan insan yang berdiri di celah bangunan Kota Bharu mendengar kuliah Tuan Guru. Kalau di sini pasang mata di Kota Bharu pasang telinga. Persamaan persekitaran mungkin hampir tetapi perbuatan cukup berbeza. Perubahan Chow Kit Kita harap dengan wujudnya Pejabat Agung PAS di tengah bandar Kuala Lumpur, persekitaran Chow Kit dan Belakang Mati boleh berubah. Mungkin setiap hujung minggu Ahad akan berubah menjadi bandar Kota Bharu pada hari Jumaat. Saya difahamkan terdapat surau yang cukup luas di Pejabat Agung PAS. Semestinya, amat selesa jika diberi ruang kepada Mursyidul Am PAS menyampaikan kuliah pada hari Ahad setiap minggu pertama. Mungkin jadual boleh diatur iaitu minggu kedua boleh dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan minggu ketiga Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din. Ahad minggu keempat boleh diamanahkan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sekiranya Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa tidak ada kesempatan untuk menyampaikan kuliah dan tidak berlaku lagi sebagaimana kelas pengajian di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar, sehingga terpaksa diganti tenaga pengajar lain. Untuk minggu kelima, boleh dicadangkan penceramah bebas terutama daripada keturunan Cina dan India supaya PAS nampak lebih majmuk. Tokoh seperti Ann Wan Seng perlu diberi peluang berdakwah untuk kaum mereka. Jika langkah seperti ini diambil, insya-Allah mungkin perubahan Belakang Mati boleh berlaku. Walaupun maksiat sukar dibendung tanpa adanya kuasa, tetapi kita perlu bertawakal kepada Allah SWT supaya memberi minat dan hidayat kepada mereka untuk bersama menyertai kuliah tersebut. Sebagai pemimpin dan ahli PAS pula, perlu menjemput dan meraikan kehadiran mereka. Jangan kita menghalau mereka kerana kita adalah pendatang di tempat mereka yang lama bertapak di situ. Kita tidak perlu berkerjasama dengan polis untuk membersih kawasan maksiat tersebut kerana jika mereka dihalau mungkin maksiat tumbuh di tempat lain. Kita yang patut membimbing dan memberi otivasi keapda mereka. Terus mendekati dan prihatin dengan mereka supaya kita dapat membantu menyelesaikan masalah yang menyebabkan mereka terjerumus ke lembah maksiat. Nilai solat yang terpaksa dilakukan di tempat bising lebih tinggi darjatnya daripada solat di tempat aman tenteram. Ini kerana solat dalam keadaan tersebut penuh dengan ujian tetapi masih boleh dilakukan. Begitu juga kerja dakwah ditempat yang penuh cabaran lebih tinggi darjatnya berbanding berdakwah di masjid. Kesedaran tersebut menyebabkan bekas pemimpin Ikhwan Mesir, A-Syahid Iman Hassan Al-Banna sanggup berdakwah di disko dan kelab malam. Begitu juga kecekalan semangat atlit Ruqaya Al-Ghasara, dan hebatnya dakwah beliau sanggup bertudung dalam sukan Asia di Doha. Beliau dengan menutup aurat tidak gentar untuk bertempur dengan wakil dari negara lain. Ruqaya tidak malu berdakwah dalam bidang sukan. Malah beliau dapat mengalahkan atlit daripada negara lain dalam acara larian 200 meter di Sukan Asia. Kejayaan ini telah diteladani oleh Nisa' yang baru sahaja menyelesaikan Nisa' Games di Kota Bharu. Tetapi Nisa' boleh menutup aurat kerana mereka berada dalam kelompok sendiri yang kurang cabarannya. Budaya ilmu Gambaran budaya ilmu di tengah Kota Bharu yang menjadi kelainan tidak ada di negeri lain. Walaupun PAS pernah menang di Terengganu, namun kuliah agama tidak berlaku ditengah bandar Kuala Terengganu. Walaupun saya orang Terengganu tetapi kejayaan Kota Bharu cukup dihormati dan sukar ditandingi oleh PAS Terengganu dan PAS di negeri lain. PAS Kedah pun masih tidak mampu melakukan sebagaimana PAS Kelantan, walaupun bangunan Perhubungan PAS Kedah ditengah bandar Alor Setar. Bertambah pelik di Kedah, pejabat Perhubungannya diuar-uarkan akan berpindah di Kompleks PAS. Betapa besarnya pengaruh kuliah di Kota Bharu sehingga memberi gambaran bahawa penganti Menteri Besar Kelantan itu mestilah mereka yang mewarisi kuliah ilmu di dewan tersebut. Ini hakikat sebenar minda orang ramai yang lahir daripada budaya ilmu di tengah bandar Kota Bharu. Bagaimanapun sejak akhir ini ramai yang berpeluang menyampaikan kuliah di dewan tersebut dan menjadi kesukaran kepada mereka untuk menilai siapa penganti Tuan Guru atau Menteri Besar, suatu masa nanti. Sekiranya Tuan Guru keuzuran tempat beliau diganti oleh Ustaz Mohd Amar Abdullah, Ustaz Nasaruddin Daud, Husam Musa dan Mohamad Mustafa serta lain-lain. Sudah pasti antara mereka ada seorang tokoh yang mengikuti jejak keistimewaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. - mks. |
Friday, March 23, 2007
Belakang Mati' Chow Kit berubah adanya Pejabat Agung PAS?
Belakang Mati' Chow Kit berubah adanya Pejabat Agung PAS?
Kisah hitam Hari polis:'Polis genggam dan ramas kemaluan saya'
Kisah hitam Hari polis:'Polis genggam dan ramas kemaluan saya'
Azamin Amin Fri | Mar 23, 07 | 12:21:46 PM | |
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) - Walaupun ianya memalukan, namun demi mempertahankan hak dan maruah, perkara jelek seumpama ini perlu diceritakan dan didedahkan kepada umum supaya polis menjadi lebih berhemah dalam melakukan sesuatu tindakan. Demikian menurut mangsa keganasan polis,Saari Sungib yang menceritakan semula pengalaman peritnya ketika ditangkap pada 18 Mac lalu di pekarangan The Summit USI kerana menyertai perhimpunan aman membantah tol yang dianjurkan oleh Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes). "Buah zakar saya digenggam dan cuba diramas oleh anggota polis sewaktu penangkapan tersebut," katanya sewaktu membaca kenyataan medianya bersama Protes di pejabat agung PAS semalam. "Ini perbuatan childish!Saya tidak malu untuk menceritakan.Selagi tidak didedahkan, polis akan bertindak sewenang-wenangnya dan itulah yang dimahukan supaya kita malu untuk melaporkan," tegas bekas tahanan ISA itu. Beliau yang ditemani isteri, Aliza Jaaffar ketika sidang media berkata tindakan polis menangkapnya juga turut menyalahi undang-undang serta bertentangan dengan Artikel 5 Perlembangaan Malaysia yang menyatakan pihak yang menangkap perlu memberitahu terlebih dahulu sebab penangkapan dan kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang, namun yang terjadi kepadanya adalah sebaliknya. Guna gari Siam Pada hari tersebut semasa beliau berucap berhubung kenaikan tol, secara tiba-tiba bajunya ditarik serta direntap ke belakang dan pada masa yang sama juga kepalanya dihentak sehinggakan cermin matanya tercabut, katanya menceritakan kisah selanjutnya. "Lehernya saya dipaut kuat dan terus diheret oleh beberapa anggota polis berpakaian preman," katanya. "Kepala saya kemudiannya ditelangkup dan badan saya ditekan ke atas lantai dan sewaktu itulah tangan digari secara kasar," katanya Saari lagi di samping menunjukkan bajunya koyak dan cermin matanya yang patah. Malah beliau mendakwa polis menggunakan gari Siam yang menyebabkan pergelangannya menjadi sakit dan menurut S.Arutchelvan (PSM) yang turut hadir di sidang media itu gari tersebut telah lama diharamkan penggunaannya kerana menyebabkan kesakitan dan kecederaan apabila pergelangan tangan bergerak ataupun ditarik. Hadir sama Bendahari PAS yang juga penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli;Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo', dan Chang Lih Kang (Suaram). Aksi ganas dan kasar polis itu turut dipertontonkan kepada para wartawan melalui rakaman video yang disumbangkan dengan ihsan Malaysiakini.com. Kejadian seperti ini mengulangi siri keganasan polis terhadap rakyat jelata yang tidak bersalah selama ini antaranya yang pernah dirakamkan ialah kejadian 'bloody sunday' 28 Mei di KLCC yang kini menunggu laporan penuh inkuiri awam daripada Suhakam.(Difahamkan hari ini laporan tersebut akan dilancarkan di pejabat Suhakam). Lebam ditubuh badan Selepas dibebaskan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, beliau terus mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di salah sebuah klinik swasta. Doktor dalam pemeriksaan melaporkan :"On examination he sustained multiple bruses and abrasion wound on both writs, left shoulder, right flank, right elbow and left hand." (Pemeriksaan memdapati beliau mendapat pelbagai lebam dan kesan luka di kedua-dua pergelangan tangan, bahu kiri, rusuk kanan, siku kanan dan tangan kiri) Sewaktu sidang media itu, beliau turut menunjukkan kesan parut pada lengan dan tangannya kepada wartawan yang hadir dan turut merakamkan beberapa keping foto keseluruhan lebam pada tubuh badannya. Katanya beliau akan membuat laporan polis di bawah Seksyen 323 dan 342 Kanun Keseksaan kerana mendakwa pihak yang menangkapnya secara sengaja menyebabkan cedera ke atas dirinya. "Menurut seksyen 342, saya telah ditahan secara salah kerana pihak yang menangkap tidak memberi amaran terlebih dahulu iaitu tidak memperkenalkan diri sebagai polis dan juga tidak berpakaian polis," katanya lagi. Jika sabit kesalahan katanya boleh dikenakan hukuman tidak melebehi satu tahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Taktik buruk SB Ditanya wartawan kenapa polis memperlakukannya sedemikian rupa, beliau secara peribadi berpandangan bahawa kemungkinan tulisan-tulisannya khususnya di Harakahdaily yang mendedahkan taktik buruk polis cawangan khas (SB) sewaktu beliau ditahan ISA menyebabkan polis mengasak beliau pada hari tersebut dan kemungkinan seolah-olah wujud perasaan 'dendam' terhadapnya. Beliau yang mahu pihak berkuasa atau badan bebas menyiasat secara terperinci kejadian terbabit dan berharap supaya polis dalam melaksanakan tugas di masa akan datang lebih bertanggunjawab serta berhemah. Di samping itu beliau turut menjelaskan tujuan laporan dan mendedahan ini dibuat supaya keselamatan dan hak orang ramai terjamin dan tidak mahu polis menyalah-gunakan kuasa, bertindak ganas dan sewenang-wenangnya hingga membelakang undang-undang negara serta membahayakan sesiapa sahaja. Pada hari tersebut selain Saari seramai tiga orang awam serta seorang aktivis wanita reformasi ditangkap dalam perhimpunan aman di pasaraya The Summit USJ. - mks. |
Tingkatkan tekanan: SPR perlukan pembaikan
Tingkatkan tekanan: SPR perlukan pembaikan
Dr Shafie Abu Bakar Fri | Mar 23, 07 | 09:00:31 AM | |
Malaysia memilih pemerintahan secara demokrasi sebagaimana ditegaskan di dalam perlembagaan bahawa: "The basic concept of the Federation Constitution, as that of Malaysia, was the formation of a democracy, of a representative government responsible to an electorate." (The Constitution of Malaysia, 1964: 32). Salah satu ciri penting di dalam pemerintahan secara demokrasi ialah mendapat kuasa atau `mandate` memerintah Negara melalui proses pemilihan rakyat yang dikenali dengan `pilihanraya`. Melalui kemenangan di dalam pilihanraya melayakkan calon pada peringkat parlimen menduduki Dewan Rakyat atau pada peringkat negeri menduduki Dewan Undangan Negeri. Parti-parti atau kumpulan individu yang menang secara mejoriti melayakkan mereka membentuk kerajaan memerintah pada peringkat Federal dan Negeri. Dengan ini dapat difahami bahawa pilihanraya adalah satu institusi berkonstitusi yang amat penting diperuntukkan dalam perlembagaan. Melaluinya dinaikkan atau dikekalkan sesebuah pemerintahan atau diturunkan sesebuah pemerintahan dan menggantikannya dengan yang lain. Perlembagaan memperuntukkan: ``Elections for both the House of Representatives and State Legislative Assemblies are conducted by the Election Commission under provisions of the Constitution, of federal law, and of the Commission’s own regulations.`` (Ibid.: 77). Badan yang mengendalikan pilihanraya ini amat penting. Jika amanah mengendalikan pilihanraya ini dikendalikan dengan baik, maka hasil pilihanraya dihormati dan diakui, tetapi jika dalam perjalanan pilihanraya berlaku penipuan, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan penyelewengan maka hasil pilihanraya dipersoalkan, tidak diiktiraf bahkan ditolak. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Sebagai sebuah Negara yang perlembagaannya berasaskan demokrasi dan pemilihan pemerintahnya melalui pengundian, maka badan yang diamanah dan dipertanggungjawabkan ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Badan ini atau yang seumpama dengannya telah diwujudkan bagi mengendalikan pilihanraya umum pertama 1955. Sejak itu hingga kini sudah 11 kali pilihanya umum telah diadakan. Setelah lebih setengah abad berlalu banyak kelemahan dan kepincangan di dalam SPR dan perjalanan pilihanraya berlaku. Ini dapat dilihat: Kedudukan SPR Kedudukan SPR adalah dipersoalkan, kerana ianya diletak di bawah kuasa Perdana Menteri dan bukannya sebagai sebuah badan tertinggi yang bebas. Perlembagaan menyebut: ``One of the Commission’s important functions is that recommending to the Prime Minister for ultimate decision …`` (Ibid.). Sebab itu dilihat SPR, bahkan ada tuduhan SPR sebagai alat kerajaan atau diperalatkan oleh kerajaan bagi mencapai cita-cita politik dan pengekalan kerajaannya. Kebebasan Pemerintah Mengubah Sempadan Pilihanraya Oleh kerana SPR di letak di bawah Perdana Menteri dan kekuasaan pemerintah, maka berlaku pengubahan sempadan pilihanraya secara sewenang-wenang menurut kepentingan parti pemerintah. Peruntukan perlembagaan mengatakan: ``The constitution (under the government) directs to commission to review the division into constituencies at eight to tens year intervals; and if parliament has by law admitted new states or altered the boundaries of any States, the commission may undertake a review of constituencies even if fewer than eight years have elapsed since law review.`` (Ibid: 77). Lantaran itu didapati banyak berlaku perubahan sempadan bagi pilihanraya contoh 2004 bersifat sewenang-wenang dan di luar kewajaran. Contoh persempanan semula bagi Parlimen Serdang dan DUN Bangi dan lain-lain, yang dilihat bagi menjamin kemenangan pihak pemerintah. Perubahan Persempadanan di Luar Dari Tempoh Terdapat perubahan persempadanan dilakukan (2005) di luar dari tempoh kebenaran yang dilihat bagi memperkukuhkan kedudukan parti pemerintah pada pilihanraya mendatang. Contoh kemasukan Taman-Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Koperasi LLN, Semarak dan Pasir Mas yang melibatkan 33 lokaliti yang asalnya berada di P. 101 Hulu Langat, N. 25 Kajang, Daerah mengundi Sungai Chua Satu (101/25/08) dipindahkan ke P.102 Serdang, N.26 Bangi Daerah mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12). Juga dipindahkan Taman Kajang Mewah melibatkan 7 lokaliti yang asalnya berada di P.101 Hulu Langat, N.25 Kajang Daerah Mengundi Sungai Chua Dua (101/25/06) dipindahkan ke Parlimen P.102 Serdang, N.26 Bangi, Daerah Mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12). Perpindahan ini melibatkan perpindahan bilangan pemilih daftar terkini seramai 1354 orang bagi daftar suku terakhir 2006. Perpindahan ini dilakukan secara senyap. Apabila perkara ini disedari, pihak PAS Serdang membangkitkan perkara ini (permulaan kepada SPR Selangor 2 Februari 2006) kepada pihak-pihak berkenaan, jawapan diberi SPR tidak berasaskan peruntukan undang-undang, kerana tiada peruntukan sedemikian wujud. (Rujuk PPRS (O)/PEN/51(49) bertarikh 7 Februari 2007). Berahsia Dengan Tarikh Pilihanraya Oleh kerana SPR berada di bawah Perdana Menteri, maka salah satu kesempatan digunakan ialah kuasa menentukan tarikh pilihanraya yang menjadi rahsia padanya, tarikh ini selalunya menjadi teka teki rakyat. Perdana Menteri sudah tentulah mengambil kesempatan memilih tarikh yang paling sesuai bagi kepentingan parti (BN) dan pemerintah. Perkara ini dilihat sebagai tidak wajar dan tidak adil. Mengapa Negara-negara lain seperti Indonesia, Taiwan, India dan sebagainya dapat menentukan tarikh pilihanraya secara terbuka dan jauh sebelum tarikh pilihanraya ? Undi Pos Peraturan-peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981 pecahan 25C banyak diexploitasi oleh pihak pemerintah bagi kepentingan parti pemerintah (BN), ramai dari kalangan keluarga seperti tentera dan polis yang boleh mengundi menurut saluran biasa diberi peluang mengundi secara pos. Pengundian pula bersifat tertutup. Ada pengakuan-pengakuan pihak yang patut mengundi secara sendiri dilakukan pengundian oleh ketua-ketua secara proksi. Terdapat peti-peti undi yang dijumlah seharusnya kalah diselamatkan oleh undi pos misteri. Ini menunjukkan undi secara pos sudah tidak releven dan perlu dihapuskan. Ada cara lain dapat dilaksanakan bagi mereka yang kritikal dan berada di perbatasan sempadan dan luar Negara (diplomat). Amalan-Amalan Dipersoalkan Selain dari kelemahan peruntukan undang-undang dan akta sebagaimana diperkatakan di atas banyak penyelewengan-penyelewengan berlaku bagi kepentingan pihak berkuasa. Daftar Pemilih Dan Export Pengundi Telah banyak dipersoalkan misalnya mengapa berlakunya peningkatan pengundi 2004 melebihi 85% di Terengganu bahkan pada setengah tempat sampai 98.33% (N 22 Manir), 88.84% (P 37 Marang) dan 90.11% (N 30 Kijal), padahal peratus normal antara 60 – 70% pengundi keluar mengundi. Dalam satu ceramah pada 9.3.2007 di Shah Alam disampaikan oleh Bekas Setiausaha UMNO dari satu kawasan Wilayah Persekutuan yang dipecat dari UMNO dan sebelumnya terlibat di dalam mengatur strategi kempen bagi UMNO memenangi pilihanraya kecil Kuala Brang (28 Ogos 2004) dan Pengkalan Pasir (6 Disember 2005) sebagai respon dari pertanyaan penulis berhubung dengan kemenangan BN di Terengganu (Mac 2004), beliau membuka rahsia, sememangnya pihak BN, khususnya UMNO membuat perancangan teratur bagi menawan Terengganu dan Kelantan dan memastikan Kedah tidak jatuh ke tangan PAS, ialah dengan mengexport pengundi-pengundi yang berlebihan dari Wilayah Persekutuan dan Selangor di samping membekalkan kad-kad pengenalan sementara kepada bukan warganegara ke negeri-negeri tersebut, khususnya Terengganu. Menurutnya ini adalah merupakan salah satu cara tipu helah yang dilakukan. Beliau mengaku BN, khususnya UMNO banyak menggunakan duit kerana setiap kerja perlu digerakkan dengan duit. Pemindahan dan Kemasukan Pengundi Terdapat berlakunya pemindahan pengundi pada satu DUN di keluarkan ke Dun yang lain sesama di dalam satu parlimen atau di luar dari satu parlimen. Pemindahan ini dilakukan tanpa permohonan dari pihak pengundi. Ini dilakukan oleh kerana ianya menyokong pihak lawan parti kerajaan, manakala yang dimasukkan ialah dari pihak penyokong parti kerajaan. Mengundi Lebih Dari Sekali Ini berlaku dengan adanya nama pemilih lebih dari satu tempat dan pemilih berkesempatan mengundi dan bergerak ke tempat mengundi yang lain dalam tempoh masa mengundi. Mereka yang seumpama ini ditaja dan dibiayai bagi membolehkan mereka mengundi. Satu cara lagi ialah pengundi yang ditaja seperti dari kalangan bukan warganegara yang diberi kad pengenalan sementara untuk mengundi antaranya dengan mengisi tempat pengundi yang telah mati. Jumlah pengundi yang mati yang daftar mereka tidak dilupuskan yang mungkin digunakan dalam pilihanraya Mac 2004 adalah seramai180,000. Setengah daripada mereka telah meninggal sejak 20 hingga tiga puluh tahun yang lepas lagi. (NST, November 19, 2006: 7). Memanipulasi Kertas Undi Dan Borang-Borang Hari mengundi hingga kepada pengiraan undi adalah merupakan puncak dari segi pertandingan pilihanraya. Dalam masa tersebut boleh berlaku berbagai tipu daya yang boleh mengalahkan lawan dengan secara batil. Salahlaku pengundi antaranya tidak membuang kertas undi, tetapi dibawa keluar untuk dijual kepada parti-parti tertentu bagi dimasukkan oleh pengundi lain ke dalam peti undi dan juga pembuangan kertas undi yang dibawa masuk secara lebih. Penipuan juga boleh berlaku semasa mengira kertas-kertas undi dan memasukkan jumlah dan keputusan undi. Sesuatu yang selalu diperingat dan ambil penting di dalam perhatian ialah penandatanganan bagi jumlah undi di dalam borang 14 dan salinan borang yang harus dipegang salinannya oleh pihak petugas. Banyak peristiwa dilaporkan kelalaian pihak petugas yang tidak menyerahkan borang 14 dan tidak mengambil tandatangan membawa kepada terbukanya ruang penipuan dalam mana jumlah undi dapat diubah dan mengubah keputusan seseorang calon yang sepatutnya menang menjadi sebaliknya. Penyalahgunaan Kuasa Banyak penyalahgunaan kuasa boleh berlaku di dalam proses pilihanraya antaranya pemberian wang atau habuan-habuan tertentu, menggunakan peruntukan kerajaan, kemudahan kerajaan bagi kepentingan parti seperti kenderaan kerajaan, media kerajaan, menggunakan pegawai-pegawai, kakitangan kerajaan dan kemudahan kerajaan dengan bertopengkan pelancaran atau pembukaan projek tertentu yang pada hakikatnya merupakan kempen. Di samping itu menyekat hak-hak yang seharusnya didapati parti lawan. Satu penyalahgunaan kuasa yang amat serius dan tiada sebarang peruntukan akta dan undang-undang yang dilakukan pada pilihanraya Mac 2004, dan tidak pernah berlaku sebelum itu ialah penambahan waktu mengundi di Negeri Selangor dari jam 5.00 petang hingga jam 7.00 petang. Penyalahgunaan kuasa dan tindakan di luar dari akta dan undang-undang ini seharusnya membatalkan pilihanraya Mac 2004 di Selangor. Penyalahgunaan kuasa juga berlaku semasa `Caretaker Government`, iaitu sesudah perletakan jawatan kerajaan yang memerintah hingga tempoh keputusan pengundi. Kerajaan yang memerintah nampaknya tidak mematuhi kehendak dan batas-batas yang dibenarkan kepada `Caretaker Government`. Perlunya Perombakan dan Pembaikan SPR Dari pembicaraan di atas memperlihatkan wujudnya kelemahan beberapa peruntukan dalam perlembagaan, juga akta-akta dan perjalanan pilihanraya. Kelemahan-kelemahan ini banyak diexploitasi oleh parti pemerintah bagi mengekalkan kemenangan. Berikut dari berlakunya kekecohan di dalam pilihanraya Mac 2004 Pengerusi SPR Tan Sri Rashid Abdul Rahman sendiri menyedari kelemahan SPR dan beliau mencadangkan agar ditubuhkan badan bebas menyiasat kelemahan SPR. Katanya: ``Badan bebas itu perlu turut dianggotai oleh parti-parti pembangkang utama bagi mengkaji secara menyeluruh kekuatan dan kelemahan SPR,`` menurutnya, ``Laporan oleh badan itu kelak hendaklah lengkap, telus dan mengandungi fakta-fakta yang perlu diketahui umum. Walaupun kebanyakan kritikan terhadap SPR berkaitan dengan daftar pemilih, pihaknya beranggapan bahawa kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kedudukan Pengerusi dan ahli-ahli SPR yang akan datang tidak terjejas kerana kelemahan-kelemahan yang mungkin berulang. Ini kerana selagi undang-undang termasuk daftar pemilih sedia ada diguna pakai, selagi itulah ia akan dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengannya.`` (UM, 25 Mac 2004: 1). Pada waktu yang lain Abdul Rashid disamping mengumumkan 180,000 pengeluaran nama pengundi yang telah mati beliau menyeru pihak kerajaan: `` The government should review election laws to put them on par with standards in most developed countries and developed ones, such as India,`` Menjawab wawancara NST, Abdul Rashid bercakap tentang, ``duplication of voters` names in the electoral roll, allegation of phantom voters, claims that the commission was not transparent, shortcoming of the law, balanced media coverage and the position of a caretaker government.`` (NST, November 19, 2006). Sewaktu lain semasa menyampaikan ucaputama di dalam majlis, Badan Pengurusan Pilihanraya – Suatu Elemen penting Dalam menghasilkan integriti pilihanraya Demokratik di Bangi, beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya: ``Badan itu distruktur semula dan undang-undang serta peraturan pilihanraya di bawahnya yang sudah berusia 50 tahun dirombak secara drastic. Kajian semua itu bertujuan menjadikan SPR dan proses pilihanraya yang sering dikritik pelbagai pihak, menjadi lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat Negara ini.`` (UM, 9 Januari, 2007: 1). Walau bagaimana harapan Abdul Rashid ini tidak pernah diberi perhatian dan tidak mendapat respond dari pihak pemerintah. Kerana pihak pemerintah yang juga pemimpin parti-parti yang memerintah (BN) tahu, Abdul Rashid setakat ini hanya bercakap dan tidak bertindak. Bahkan sikapnya yang kadang-kadang dilihat double standard, tidak konsisten dan bercelaru tidak diyakini oleh pembangkang. Abdul Rashid di samping menyuarakan pendapat agar SPR dirombak, pada ketika yang lain maukan SPR diberi kuasa yang lebih, maukan pengkritik-pengkritik memberi fakta penyelewengan SPR, pada hal beliau sendiri yang menyedari kelemahan-kelemahan SPR dan memperkatakan tentang kelemahannya. Beliau juga membela SPR tidak berpihak kepada pihak pemerintah. Mutakhir Abdul Rashid membela bahawa SPR adalah bersifat telus (BH, 22.3.07: 3), tetapi banyak bukti memperlihatkan sikap berpihak SPR bahkan diperkudakan oleh pihak pemerintah. Sokong SPR Dirubah Cadangan agar SPR dirubah datang dari banyak pihak antaranya dari pihak penyelidik seperti yang dilakukan pelajar Ph. D. Wong Chin Huat di Essex University yang mengkaji sistem pengundian di Malaysia Barat dari 1982-2004 yang mendapati sudah ketinggalan zaman, tidak demokratik dan perlu dirubah (the Sun, January 15, 2007: 10). Desakan juga datang dari `Bersih` iaitu kumpulan pendesak yang maukan perjalanan pilihanraya berjalan secara bersih. Mereka maukan agar senarai daftar pilihanraya dibersihkan, pengundi ditanda jarinya dengan dakwat untuk mengelak dari mengundi berulang kali dan maukan undi secara pos dihapuskan. Desakan juga datang dari NGO-NGO, Persatuan maukan pilihanraya secara adil dan telus, kalangan akademik dan pemerhati-pemerhati politik bebas. Pihak parti-parti pembangkang sememangnya memprotes terhadap ketidakadilan perjalanan pilihanraya terutama pada Mac 2004 yang dianggap kacau dan bercelaru. Sebagai memprotes terhadap perjalanan pilihanraya yang tidak adil pihak pembangkang memulau dari menyertai pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 januari 2007. Siapakah Yang Tidak Setuju SPR Dirubah? Mereka tidak lain dari pemimpin-pemimpin dari parti BN yang memerintah. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib selaku Ketua Penerangan Umno berkata: ``the country would not have developed so well and been economically progressive if it had chosen an inappropriate electoral system.`` (the Sun, Much 12, 27, 2007: 2). Datuk Sri Chia Kwang Chye, Setiausaha Agung Gerakan berkata: ``The Country has conducted general election 11 times without problem and everyone respected the results. So no reform is needed.`` (Ibid.), manakala Datuk Fu Ah Kiow Ketua Biro Publisiti MCA berkata: ``The current system served the country well, so there was no need for reform.`` (Ibid.), manakala Datuk S. Sothinathan Naib Presiden MIC agak enggan memberi komen, kerana bimbang takut tersilap sebagaimana kesilapan yang pernah menimpa dirinya dulu. Pendapat yang agak berlainan dari pihak parti pemerintah datangnya dari Datuk Shahrir Abdul Samad Ahli Parlimen Johor Bahru. Beliau berkata, ``Penyemakan semula badan itu sememangnya tepat pada masanya bagi meningkatkan keberkesanan perjalanan pilihanraya,`` Menurutnya, ``Walaupun selama ini SPR telah menguruskan proses pilihanraya dengan baik, namun kelemahan masih ada kerana sistem yang digunakan SPR telah berusia 50 tahun.`` (UM, 10 Januari 2007: Dalam Negeri : 3). Kempen Ke Arah Perubahan Jelaslah pihak Kerajaan, kecuali Shahrir, tidak mau kepada perubahan, perombakan atau pembaikan, bukan mereka tidak peka, tetapi kerana kepentingan. Dengan pengekalan SPR sebagaimana yang ada, maka dengan kelemahan yang ada pada SPR, mereka dapat mengexploitasi dan mengekalkan kuasa sebagaimana mereka pernah lakukan selama ini. Sebab itu kempen kesedaran hendaklah terus dilakukan agar rakyat sedar bahawa adalah hak mereka untuk mendapat perjalanan pilihanraya yang adil dan telus. Sebarang penyelewengan adalah pengkhianatan terhadap hak mereka. Kepungan idea dan kesedaran hendaklah dilakukan agar pegangan dan pendapat BN dan tokoh-tokoh yang berpendapat tidak perlu kepada perombakan SPR terpinggir kepada satu sudut yang memerangkap mereka sehingga dilihat sebagai tidak releven dan berkepentingan serta hilang kepercayaan rakyat. Cara yang dilakukan dan berterusan hendaklah melalui berbagai cara seperti penerangan melalui media letronik, internet, laman web, blog, tv bebas hatta melalui SMS, melalui media cetak, akhbar, majalah, risalah, sepanduk, kain rentang dan pamphlet, bahkan penerangan juga dilakukan melalui kuliah, usrah, ceramah, foram, syarahan, diskusi, perbincangan dan himpunan rakyat. Perombakan dan Pembaikan Perombakan yang dimaksudkan bukan sekadar menambahkan kuasa kepada SPR sebagaimana dikehendaki oleh Pengerusi SPR, kerana dengan penambahan kuasa belum tentu dapat memperbaiki perjalanan dan jika dikatakan fungsi SPR setakat menjalankan pilihanraya, maka barangkali nama dan ruanglingkup SPR perlu diubah daripada SPR misalnya kepada `Suruhanjaya Pelaksana Demokrasi` (SPD). Dengan SPD ianya tidak saja bertanggungjawab melaksanakan perjalanan pilihanraya, tetapi secara berterusan dapat memantau pemerintahan dan memastikan ianya tidak menyeleweng dari melaksanakan pemerintahan berlandaskan demokrasi. Parti-parti politik juga dipantau agar kegiatan tidak terkeluar dari landas-landas demokrasi. Walau apa pun bagi merombak dan memperbaiki badan SPR kini hendaklah melalui penubuhan Suruhanjaya Bebas. Anggota Suruhanjaya hendaklah terdiri dari hakim-hakim atau mantan hakim, pemimpin-pemimpin NGO yang dihormati, wakil-wakil partai-partai politik berkedudukan, para professional yang releven dan orang-orang perseorangan yang berjasa dan dihormati. Orang ramai juga diberi peluang memberi pendapat dan pandangan. Di dalam merangka akta dan aturan SPD atau yang seumpamanya mungkin melibatkan kedudukan SPD, skop dan ruanglingkup, kuasa yang diperuntukkan, keahlian, pilihanraya, penentuan tarikh pilihanraya, aturan-aturan, penentuan kemenangan (secara majoriti atau proportionate (perkadaran) pengundi, kesalahan-kesalahan, hukuman-hukuman, pemerhati dalam dan luar dan sebagainya yang mencerminkan keadilan dan ketelusan serta berpiawaian antarabangsa. Sekian. Bangi, 03 Rabiul Awal 1428. |
Thursday, March 22, 2007
Islam Hadhari sesat dan menyesatkan - Presiden PAS
Islam Hadhari sesat dan menyesatkan - Presiden PAS
Bashir Ishak Thu | Mar 22, 07 | 09:23:45 AM | |
ARAU, 22 Mac (Hrkh) - "Saya berani katakan bahawa ianya sesat walaupun Pak Lah telah memberikan amaran agar tidak diperlekehkan. Saya dah tulis buku yang sudah dicetak tiga empat kali tapi sehingga kini kerajaan Umno tak jawab lagi. Mereka juga tidak menjawab cabaran PAS untuk bermuzakarah secara ilmu." Demikian pernyataan tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa berceramah di Guar Sanji dekat sini sempena pelancaran Dana Pilihan raya PAS Perlis baru-baru ini. Menurutnya lagi, membesarkan perkara-perkara khilafiyah dalam masyarakat pada zaman ini adalah kerja-kerja yang boleh merosakkan Islam. Katanya, perkara-perkara khilafiyah dalam agama ini adalah benda lama yang sudah ada sejak zaman para sahabat, tabiin dan imam mazhab yang mana mereka tidak pernah bertelingkah dalam perkara furuk atau cabang. "Tapi mereka tidak berbalah dalam perkara furuk kecuali masalah pokok. Inilah dia orang Islam berbalah bab talqin, qunut, sapu muka tapi arak dan judi dibenarkan, hudud dan khisas tak laksana." "Dan dibiarkan orang tak tutup aurat. Tak apa wanita baca warta berita kepala tak tutup tapi mula dengan Assalamualaikum. Salam tu sunat, buat yang sunat tingal wajib, kenapa tak ditegur yg ini?" soalnya. Katanya lagi, Islam Hadhari merupakan satu ajaran menyeleweng yang memang sesuai dengan Umno kerana perlaksanaannya hanya dipandu mengikut kehendak mereka sendiri. "Saya berani katakan bahawa ianya sesat walaupun Pak Lah telah memberikan amaran agar tidak diperlekehkan. Saya dah tulis buku yang sudah dicetak tiga empat kali tapi sehingga kini kerajaan Umno tak jawab lagi. Mereka juga tidak menjawab cabaran PAS untuk bermuzakarah secara ilmu," katanya. Menurutnya, pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan pemimpin Umno itu bercelaru dan tiada unsur tiada amar makruf dan nahi munkar. "Masa dia mahu Islam mereka baca Al-Quran,baca doa dan bila tak mahu dia buat ikut suka, semua jadi celaru," ujarnya. Beliau juga mengulangi penegasannya tentang istilah Islam Hadhari yang tidak kena pada penggunaannya. "Hadharah adalah tamadun. Tamadun perlu ikut Islam, Hadharah Islamiyah ialah tamadun ikut mengikut Islam, Islam hadhari pula Islam kena ikut tamadun, jadi celaru tak tahu betul salah," jelasnya. Baginya, pendekatan Islam Hadhari hari inilah yang membiarkan umat Islam berbalah tentang perkara-perkara khilafiyah. "Dia biar orang Islam berbalah bab khilafiyah. Tak jadi masalah perkara ini kerana memang dia suka," katanya lagi. Beliau memberikan contoh bagaimana zaman pemerintahan British perintah dulu, masyarakat dibiarkan berbalah perkara-perkara furuk sedangkan yang memrintah negeri adalah penjajah. "Masa tu tak ada mikrofon untuk azan jadi digunakan beduk untuk memberitahu waktu solat, ada yang kata boleh ada yang kata bidaah. Bergaduh bab beduk negeri orang putih perintah!" katanya. Menurut Tuan Guru, Islam memnyuruh kita mengambil pendekatan menyedarkan rakyat. Jadi, PAS dan parti Islam yang lain mengambil pendekatan demokrasi yang membolehkan kebebasan bercakap, bersuara, menegur serta mengkritik dan mengajak orang. "Walaupun ada sekatan dan penipuan, kejayaan mengajak orang kepada Islam secara memujuk dan memberi penjelasan yangg difahami adalah lebih afdhal dari jalann lain. Sebab itu PAS memasuki pilihanraya kerana ia adalah saluran terbaik untuk menyedarkan rakyat walaupun perlaksanaanya tidak betul," tegas beliau. Menurutnya, tanggungjawab yang perlu dipikul sekarang ialah mengajak orang Islam kembalikan pemerintahan Islam dan kedaulatan Islam sepertimana yang dilakukan ulama terdahulu untuk menubuhkan PAS untuk mengajak umat Islam berjuang melalui jalan demokrasi. "Kita buat perubahan, kita bentuk kerajaan yang dipilih dengan sokongan rakyat dan menjadi tanggungjawab kita orang Islam untuk tunjuk kepada orang bukan Islam cara pemerintahan Islam,"katanya. Baginya, Umno tidak mampu menunjukkan contoh yang baik di dalam pemerintahan sedangkan dalam pemerintahan sesebuah negeri ada cara Islamnya. "Kita orang Islam kena tunjuk kebaikan dan keadilan Islam. Umno yang taja Islam Hadhari menunjukkan contoh yang memalukan Islam. Cara Hadhari ni orang Islam pening, orang bukan Islam tak faham," katanya lagi. Majlis pelancaran dana pilihan raya PAS Perlis ini diadakan di rumah seorang aktivis PAS, Abi Jamrah Ismail. Selain ceramah, turut diadakan majlis makan malam bersama pemimpin di tempat yang sama. - mks. |
PM biarkan rakyat terus keliru – Husam
PM biarkan rakyat terus keliru – Husam
Maslan Yusoh Thu | Mar 22, 07 | 02:22:58 PM | |
MACHANG, 22 Mac (Hrkh) – Mungkinkah usaha Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mencetus konsep menggunakan jenama Islam hanya untuk menobatnya lebih Islamik berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebenarnya bukan sekadar menenggelamkan populariti mantan perdana menteri sebelumnya, sebaliknya mesej utama menyaingi PAS yang merupakan pesaing terdekat bagi menarik sokongan orang Melayu di negara ini. Dan ‘resepi’ Islam ciptaan Abdullah terbukti berjaya pada pilihan raya umum lalu. Setakat ini Umno masih berada di hadapan apabila berjaya menggulakan rakyat dengan habuan kebendaan bersendikan Islam. Kekeliruan demi kekeliruan diteruskan di bawah konsep Islam Hadhari dan modal insan. Islam Hadhari sepatutnya dikenali sebagai Hadharah Islamiah. Begitu juga modal insan adalah pembangunan insan. Perdana Menteri membiarkan kekeliruan itu terus berlaku dan enggan menerima segala teguran dibuat pihak lain. Merungkai persoalan itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, modal insan yang diceduk dari istilah human capital adalah perkataan yang dicetus golongan sekular Barat. “Ia bukan dari tamadun Islam. Pendekatan itu jauh berbeza dengan konsep pembangunan insan yang sudah lama dipraktikkan di Kelantan. Human capital tidak lebih seperti mahu melahirkan seorang peniaga yang pintar." “Sedangkan konsep yang ditekan dalam Islam ialah pembangunan insan. Pembangunan insan membawa mesej manusia perlu ada perasaaan kasih sayang dan belas ihsan,” katanya di hadapan ribuan penduduk di Kampung Pangkal Chuit, Temangan dekat sini, malam tadi. Pendedahan itu biar pun tidak sesuai untuk masyarakat kampung, namun cuba membuka minda terhadap kekeliruan yang dibiarkan berlangsung dalam pentadbiran perdana menteri sekarang. Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri menjelaskan mengambil kira konsep pembangunan insan, kerajaan Kelantan melaksanakan skim Kifaalah bagi warga emas berumur 60 tahun. Menurutnya, ramai penduduk kampung yang sudah lama bekerja, misalnya sebagai pemandu kereta sewa, penoreh dan petani, namun tidak mampu menyimpan wang sehingga RM2,500 bagi masa depan keluarganya. Mengambil kira masalah itu, kerajaan negeri menganjurkan program Takaful Warga Emas (Kifaalah) bagi membolehkan mereka yang didaftar apabila meninggal dunia menerima pampasan sebanyak RM2,500. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi mencarumkan kira-kira 140,000 warga emas di bawah skim Kifaalah. Ketika menjawab persoalan Umno mengapa pampasan mahu dibayar kepada orang yang sudah mati, katanya sudah banyak program lain diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu penduduk yang masih hidup. Antaranya program Jihad Ternak yang baru diwujudkan bagi melahirkan ramai penduduk yang mampu menternak kambing jenis jamnapari kacukan baka dari Indonesia dan India. Program lain yang diwujudkan termasuk Gerakan Berdikari, bantuan input pertanian, bantuan persekolahan dan banyak lagi. Adun Temangan, Dato’ Hassan Muhamad berkata, selepas memperlekehkan usaha kerajaan negeri mewujudkan program Kifaalah, akhirnya Umno Kelantan cuba menirunya pula. Bagaimanapun program insurans hayat itu bukan untuk rakyat sebaliknya hanya manfaat ahli-ahli Umno. Hadir sama pada program itu, Adun Pulai Chondong, Haji Zulkifli Mamat dan Pengurus Besar Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail. Pada ceramah itu juga seramai 89 bekas ahli Umno dari Kampung Jakar, Banggol Kerian, Bechak Kemuning, Pangkal Chuit dan Kampung Raja menyerah borang menyertai PAS. Mereka diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Pangkal Pulai, Rosli Ibrahim, 38 dan Raja Ibrahim Raja Abdullah, 74 dari Kampung Raja. - /mj |
Umno punca gejala sosial membarah
Umno punca gejala sosial membarah
Zaili Muhammad Thu | Mar 22, 07 | 02:27:03 PM | |
MELAKA, 22 Mac (Hrkh) - Kecelaruan dan kesombongan pemimpin Umno menolak Islam sebagai dasar pemerintahan negara adalah punca utama menyebabkan berlakunya permasalahan gejala sosial yang kian parah serta melibatkan pelbagai peringkat masyarakat. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan untuk mengangkat darjat atau taraf manusia dari binatang tapi Umno tidak mahu mengikut petunjuk yang dibawa oleh Nabi sebaliknya mengikut akal fikiran pemimpin mereka yang 'haru-biru' itu. Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad walaupun sudah 50 tahun merdeka, akhlak masyarakat kini makin teruk kerana persekitaran negatif yang dibentuk oleh Umno lebih kuat tarikannya. "Contohnya televisyen, majalah, radio, disko dan kedai judi mempengaruhi pemikiran rakyat serta menjadi guru kepada remaja dalam membuat tindakan." "Lesen judi yang dikeluarkan di Melaka 83, Kedah (51), Selangor (320) dan jumlah keseluruhannya 1822 kecuali Kelantan serta Terengganu tiada lesen judi diluluskan, itulah sebab rakyat susah dibentuk," tegasnya. Seterusnya beliau menjelaskan, punca berlakunya gejala 'Mat Rempit' ialah kerana Umno sekat ceramah sementara masjid dan surau dibelenggu menyebabkan remaja jahil tentang Islam lalu melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. "Bangsa lain berpolitik untuk mendapatkan kuasa tetapi Umno berpolitik untuk dapatkan sehelai kain batik dan RM30, ini namanya politik bodoh," tambahnya lagi. Sementara itu di majlis yang sama YDP Kawasan Kota Melaka, Ustaz Abdul Rahman Jaafar berkata, pemimpin Umno telah jelas gagal menjaga akidah umat Islam sehingga menyebabkan pemuda-pemudi rosak akhlaknya. "Lantaran itu menjadi kewajipan kita menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya,selagi BN tidak ditumbangkan jangan harap Islam dapat ditegakkan di negara kita," jelasnya. - mks. |
Sempena Hari Polis: Keganasan di Summit USJ bukti imej polis semakin buruk
Sempena Hari Polis: Keganasan di Summit USJ bukti imej polis semakin buruk
Azamin Amin Thu | Mar 22, 07 | 06:20:22 PM | |
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Hrkh) - Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-200 dikecam oleh pelbagai pihak kerana bertindak ganas dalam menyuraikan perhimpunan membantah kenaikan tol secara aman yang diadakan di Summit USJ 18 Mac lalu. Bendahari PAS yang juga penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes), Dr Hatta Ramli berkata bahawa kejadian tersebut menyebabkan imej polis semakin bertambah buruk dan akan menambahkan lagi keresahan orang ramai terhadap keselamatan diri dan hilang keyakinan terhadap tanggungjawab polis selama ini. "Sikap polis semakin melampaui batas dan tidak profesional langsung malah ada kalanya bersikap diskriminasi, " katanya ketika sidang media Protes yang diadakan di Pejabat Agung PAS dekat sini pagi tadi bagi menjelaskan kejadian yang berlaku tempoh hari. Turut hadir sama dalam sidang media tersebut yang dihadiri oleh puluhan wartawan ialah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; mangsa keganasan yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Gombak, Saari Sungib dan isteri, Aliza Jaafar; Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo', S.Arutchelvan (PSM) dan Chang Lih Kang (Suaram). "Nampaknya sempena Hari Polis ini tiada sebarang perubahan berlaku malah diburuk lagi dengan kejadian ini dan kita berharap supaya badan bebas seperti IPCMC dapat ditubuhkan." "Supaya dapat memantau tindakan dan gerak kerja polis agar lebih berhemah dan memastikan hak dan keselamatan orang ramai lebih terjamin," katanya lagi. Kemaluan digenggam polis Beliau turut kesal apabila polis menggunakan pelbagai strategi untuk 'melumpuhkan' satu-satu demostrasi yang secara asasnya bertujuan memberi penerangan kepada rakyat atas sesuatu isu yang berlaku dan menunjukkan suara bantahan terhadap kerajaan yang semangnya dibenarkan dalam perlembagaan negara. Antara kaedah yang digunakan yang membunyi siren polis dengan kuatnya,semburan gas pemedih mata, penggunaan helikopter yang ada kalanya terbang rendah yang membahayakan nyawa dan operasi penangkapan yang dilakukan secara ganas dan merbahaya hingga mengakibatkan kecederaan. "Perhimpunan yang dilakukan adalah secara aman dan sekiranya ianya tidak sah (tiada permit), tugas polis adalah menyuraikan secara berhemah atau meminta penganjur membatalkannya bukan mengkasari dan mengganasi peserta," katanya lagi. Dalam sidang media tersebut, Saari turut mendedahkan secara terperinci pengalaman beliau ketika ditangkap oleh polis di samping menunjukkan bukti-bukti gambar kecederaan yang beliau alami termasuk menunjukkan kesan parut pada tangannya. "Sambil mengasari saya, polis mengenggam kemaluan saya. Satu perbuatan 'childish'!" katanya yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas sidang media tersebut. Tian Chua turut menyelar tindakan polis tersebut dan menyatakan bahawa Saari adalah individu yang tidak takut, gentar atau lari apabila ditahan polis. Rakaman video ditayangkan kepada media "Dia pernah ditahan ISA dan ditangkap beberapa kali jadi dia tidak takut lagi untuk ditahan lagi maka apa perlunya polis mengasari beliau dengan sebegitu rupa?" soalnya. Beliau turut menjelaskan selama ini beberapa siri perhimpunan yang diadakan sentiasa berjalan secara aman dan orang ramai berada dalam keadaan tenang dan bersantai sahaja, namun yang menjadikan tegang dan kucar-kacir adalah tindakan provokatif dan ganas polis dalam menyuraikan perhimpunan tersebut. Turut ditayang kepada media yang hadir, rakaman video kejadian tersebut dan antara babak yang memegunkan para wartawan ialah kekasaran polis terhadap Saari seolah-olah beliau seorang 'penjenayah' . Ditanya wartawan kenapa polis memperlakukannya sedemikian rupa, beliau secara peribadi berpandangan bahawa kemungkinan tulisan-tulisannya khususnya di Harakahdaily yang mendedahkan taktik buruk polis cawangan khas (SB) sewaktu beliau ditahan ISA menyebabkan polis mengasak beliau pada hari tersebut dan kemungkinan seolah-olah wujud perasaan 'dendam' terhadapnya. Tian Chua turut mengumumkan bahawa perhimpunan membantah tol akan diadakan lagi pada 22 April di Leisure Mall, Cheras dan akan mengadakan siri demonstrasi secara bulanan selagi kerajaan tidak memenuhi tuntutan rakyat dan Protes berhubung kenaikan tol. Antaranya ialah mendedahkan semua perjanjian konsesi tol, pendirian dan pertimbangan kerajaan dalam menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi sehingga mengabaikan kepentingan orang awam dan menimbang semula atau mebubarkan terus kadar tol yang sedia ada. "Ternyata siri bantahan kita selama ini mendatang kesan dan menggusarkan kerajaan." "Akhirnya membuatkan kerajaan terpaksa mendedahkan kepada rakyat keuntungan berlipat kali ganda kutipan tol yang tidak diketahui rakyat selama ini," katanya yang merujuk kepada pendedahan Menteri Kerja Raya berhubung keuntungan 23.6 billion kutipan tol di 19 lebuh raya di negara ini. - mks. |
Subscribe to:
Posts (Atom)