Wednesday, February 28, 2007

20 tahun Harakah di bawah ehsan pemerintah, tiada ucap selamat ulang tahun

20 tahun Harakah di bawah ehsan pemerintah, tiada ucap selamat ulang tahun


Ahmad Lutfi Othman
Wed | Feb 28, 07 | 08:07:44 AM
Hari ini, genap 20 tahun lalu, 28 Februari 1987, PAS mendapat permit untuk menerbitkan Harakah secara mingguan. Seminggu sebelum muktamar tahunan ke-33 di Taman Melewar, pada 27 Mac 1987, keluaran sulung Harakah berjaya diterbitkan.

Perit getir karyawan Harakah melakar sejarah baru kewartawanan tanahair kerap diungkap apabila tarikh keramat itu diingati. Namun, selepas 20 tahun, apa sebenarnya yang perlu dirakamkan semula, ya... mungkin untuk kenangan pahit manis?

Dua dekad menempuh tribulasi sepatutnya mendewasakan Harakah, dan saya kira memang pun begitu, namun rekod penguasa berdepan kemunculan Harakah selama 20 tahun, begitu kelam dan menakutkan... sebenarnya, mengaibkan!

Mengingati tarikh 28 Februari ini mengingatkan kita tentang "keizinan pemerintah" membenarkan PAS bersuara secara sah dari segi undang-undang. Maknanya, kita hanya dapat bersuara selepas diberi izin, atau bahasa lain, dengan ehsan pemerintah. Tanpa permit mulut kita ditutup, bicara kita disekat, suara kita direntap.

Permit - yang perlu diperbaharui tiap tahun, dan boleh digantung atau ditarik balik bila-bila masa tanpa sebarang sebab dan tidak pula boleh dirayu ke mana-mana mahkamah - bagi saya adalah lambang penindasan dan kongkongan.

Semua pihak tidak dibenarkan bersuara kecuali dengan izin penguasa, bersama-sama syarat yang cukup ketat, yang jika dilanggar boleh menyebabkan permit dibatalkan.

Dahulunya kita tidak memerlukan permit penerbitan (PP) jika edarannya hanya untuk ahli-ahli sahaja. Selepas itu, biarpun ada syarat agar dihadkan kepada "dalam rumah sahaja" namun ia tidak dikuatkuasakan.

Apabila Harakah nampak "belangnya", operasi KDN dilancarkan sehingga pernah pada satu masa lidah rasmi PAS ini begitu sukar diperolehi dan timbul ungkapan popular, "nak beli dadah pun lebih mudah."

Langkah paling bacul dilakukan KDN di bawah menterinya Abdullah Ahmad Badawi apabila permit Harakah tamat pada 28 Februari 2000, tiga bulan selepas pilihan raya umum 1999. Kekerapan Harakah dipancung, daripada dua kali seminggu kepada 15 hari sekali. Ini bermakna fungsi Harakah sebagai sebuah akhbar alternatif dimusnahkan dengan begitu dahsyat.

Justeru, saya menjadi keliru bagaimana mahu menyambut ulangtahun Harakah ke-20 pada hari ini. Apa lagi yang masih berbaki untuk kita beri makna kepada konsep kebebasan akhbar di negara kita?

Apa pun, sekurang-kurangnya saya lebih bernasib baik berbanding teman baik saya di Suara Keadilan, Zunar, yang terpaksa beroperasi secara "haram". Tapi dari sudut lain Zunar mungkin lebih terasa lega kerana dia tidak bekerja di bawah ehsan pemerintah!

Okey, biarkan saya bertafakur sekejap di atas kezaliman KKDN ini... sebelum membuat coretan lebih panjang tentang usia 20 tahun Harakah.

No comments: