Tuesday, February 27, 2007

Seks bebas di kalangan pelajar, bukti kerajaan tidak peka

Seks bebas di kalangan pelajar, bukti kerajaan tidak peka


Johari Jaafar
Tue | Feb 27, 07 | 08:11:04 AM
IPOH, 27 Feb (Hrkh) - Kajian yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan (UKM) yang mendedahkan 886 daripada 887 gadis mengaku bersetubuh memperlihatkan betapa seriusnya gejala sosial yang melanda remaja masa kini.

"PAS sudah lama bercakap menyatakan kebimbangan tentang gejala sosial, begitu juga dengan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain, tetapi nampaknya kerajaan tidak peka, malah dalam masa yang sama `menyuburkan' lagi gejala sosial dengan pelbagai aktiviti yang menjurus ke arah itu," demikian ditegaskan oleh Setiausaha Lujnah Penerangan PAS Pusat, merangkap Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, apabila mengulas kajian yang dibuat oleh pihak UKM tersebut.

"Selama ini kita bercakap tentang gejala sosial yang membimbangkan, kita minta kerajaan menutup `pintu pintu' ke arah mengembang-biakkan lagi gejala tersebut, tetapi kerajaan `tidak endah', sekarang ini ternyata apa yang merisaukan PAS itu berlaku", katanya.

Menurut beliau, statistik yang dikeluarkan oleh UKM itu hasil kajian pihak responden amat mengejutkan dan menakutkan, sekiranya gejala ini tidak dibanteras segera, masa depan negara akan hancur akibat perlakuan remaja masa kini yang tidak bermoral.

Hasil kajian itu juga mendedahkan 98 peratus pelajar mengaku mengambil dadah, 98 peratus juga terlibat dengan kongsi gelap dan 97.3 peratus terdedah dengan bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr Khaidzir Islam, turut mendedahkan didapati pelajar perempuan berumur dalam lingkungan 15 dan 16 tahun adalah paling berisiko terjerumas dalam pelbagai masalah disiplin termasuk untuk mencuba melakukan hubungan seks buat pertama kali.

"Kerajaan sebenarnya tidak serius membanteras gejala sosial kerana `pintu-pintu' ke arah kemaksiatan terbuka luas, macam mana gejala sosial dapat dibanteras."

"Jika kerajaan serius untuk mengekang gejala sosial daripada berlaku, ianya tidak sekadar mengadakan program yang berfaedah kepada remaja-remaja, tetapi dalam masa yang sama membiarkan unsur-unsur negatif berkembang ," tambahnya.

Menurutnya, program `amar makruf nahi mungkar' perlu diadakan selalu, di samping mengadakan kursus dan latihan yang menjurus kepada kebaikan memang digalakkan, tetapi program berbentuk mungkar tidak sepatutnya dibiarkan, konsert-konsert hiburan yang melalaikan yang menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan mesti dihentikan segera dan pusat-pusat hiburan yang menyuburkan maksiat mesti ditutup.

Sehubungan itu, jika Kerajaan BN tidak mampu membanteras gejala sosial, rakyat perlu bertindak dengan menggunakan kuasa yang ada pada mereka pada pilihan raya umum ke-12 nanti untuk menukar kerajaan yang mampu berbuat demikian dengan memilih PAS dan parti-parti pembangkang yang lain menerajui negara, tegasnya. - mks.

2 comments:

Anonymous said...

Selalunya begitu,pemimpin pembangkang lebih cenderung mengambil sikap 'menunjuk jari' ke arah orang lain dalam menghadapi sesuatu isu.Malah itu juga turut dilakukan oleh pengikut dan para simpatis.Lalu ianya kelihatan seperti satu budaya dan cara berfikir yang bersesuaian dengan lambang bendera pari itu.

Saya bukan anti PAS,tetapi kekadang merasa simpati dengan cara bertindak yg sebegitu di kalangan pemimpin pemimpin mereka yg sering tampil sebagai tokoh agama dalam masyarakat.

Dalam hal ini saya merasa adalah lebih baik kita semua mempersoalkan peranan 'masing masing' dalam usaha menangani masalah gejala sosial itu berbanding mempersoalkan peranan orang lain tentangnya.

Anonymous said...

"Dalam hal ini saya merasa adalah lebih baik kita semua mempersoalkan peranan 'masing masing' dalam usaha menangani masalah gejala sosial itu berbanding mempersoalkan peranan orang lain tentangnya"

peranan masing2 ialah jgn undi pemerintah yg xmahukan islam.Sepatutunya bila ade kuasa,gunakanlah kuasa tu utk kontrol semua benda2 haram.Sebaliknya,kuasa digunakan utk kepentingan masing2,utk hiburan.Nah,inilah bahana hiburan melampau....semua peminat AF la apekende lg rcgn kat msia...Nihla anak2 kamu.