Muslimat digesa bela nasib pekerja wanita yang tertindas | | | |
Roy Rasul Mon | Feb 26, 07 | 09:15:00 AM | |
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) – Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, mahu Muslimat PAS muncul bersama Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez dan beberapa pejuang wanita lain untuk terus berjuang membela nasib kaum wanita dan pekerja wanita yang ditindas. Ini katanya, penindasan terhadap wanita di negara ini terus berlaku contohnya sebagaimana pernah diiklan dalam sebuah buku promosi tahun melawat Malaysia baru-baru ini yang turut menawarkan khidmat pelacuran. “Walaupun buku rasmi ini mendapat bantahan masyarakat dan pihak media tetapi ia memberi erti bahawa kaum wanita selama ini kembali menjadi seorang hamba, pada zaman yang kononnya sudah ada kebebasan untuk wanita,” katanya semasa berucap menutup seminar pekerja wanita anjuran bersama Lajnah Buruh & Peneroka Bandar PAS Pusat dan Lajnah HepDun Dewan Muslimat PAS Pusat." ![]() Malah katanya, membela golongan tertindas dan orang miskin adalah sebahagian daripada tugas Islam. Bagaimanapun katanya, mutakhir ini ada orang Islam yang hanya bekerja untuk beribadat manakala membantu golongan tertindas bukan kerja utamanya. “Allah SWT menyebut jika seseorang itu hanya bekerja untuk ibadatnya tanpa mempeduli anak-anak yatim dan orang miskin maka orang itu adalah sebagai ‘celaka’,” katanya lagi. Sementara itu seminar sehari suntuk yang dirasmikan Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli dihadiri kira-kira 200 peserta dari seluruh negeri termasuk pimpinan tertinggi muslimat PAS. Sebelum perasmian, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat memberi ucapan aluan. Seminar tersebut yang dilangsungkan di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, Taman Melewar semalam, membentang dua kertas kerja iaitu bertajuk; 'Pekerja Malaysia: Terpinggir di Bumi Kaya' oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, manakala ‘Dilema Pekerja Wanita Malaysia’ oleh Irene Fernandez. Pembentangan kertas kerja dimoderator oleh Senator Wan Ubaidah Wan Umar. Sementara itu acara kemuncak seminar yang bertemakan ‘Menjana Kebangkitan Baru Pekerja Wanita’ dihangatkan dengan forum bertajuk ‘Memperkasa Gerakan Pekerja di Kalangan Wanita’. Forum tersebut membariskan barisan panel daripada Presiden Parti Sosialis Malaysia, Prof Dr Nasir Hashim; Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan Aktivis Sosial & Ko-Ordinator BPDM, Anuar Tahir dan dipengerusikan oleh Aiman Athirah Al Jundi. ![]() Malah katanya, Muslimat sendiri akan berusaha untuk melahir tokoh atau aktivis pembela pekerja wanita daripada kalangan muslimat PAS di setiap negeri. Tambahan pula katanya, kaum wanita menguasai pasaran pekerja negara ini. Malangnya beliau mendakwa, tidak ramai pekerja wanita yang berada di bahagian pembuat keputusan dan ini menyebabkan suara mereka tidak didengari kerajaan. - mks. |
No comments:
Post a Comment