Saturday, February 24, 2007

Bahasa kasar di Parlimen: Ahli Parlimen BN gagal berhemah

Bahasa kasar di Parlimen: Ahli Parlimen BN gagal berhemah
Azamin Amin
Fri | Feb 23, 07 | 06:26:55 AM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) - Bahasa kasar yang dipertahankan dan digunakan sesetengah ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mencermin akhlak dan nilai budi sebenar wakil yang dipilih oleh rakyat dan kegagalan mereka dalam mematahkan hujah pembangkang dengan cara berhemah.


Ahli Parlimen (Kubang Kerian - PAS) yang juga Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata bahasa kasar turut melambangkan emosi ahli parlimen BN yang tidak terkawal dan hilang pertimbangan dalam membahaskan sesuatu isu di Dewan Yang Mulia itu.


"Yang penting ialah mesejnya jelas dan sampai bukan penggunaan bahasa kasar yang dianggap penting oleh sesetengahnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.


Beliau diminta mengulas pendirian tiga ahli parlimen antaranya Pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang menyatakan terdapat keadaan yang mendorong mereka menggunakan ‘bahasa kasar’ seperti penggunaan perkataan oleh pihak pembangkang kadangkala amat keterlaluan dan sebagai ahli Parlimen BN terpaksa bangun dan patahkan hujah dengan menggunakan bentuk bahasa yang sama.


Salahudin bagaimanapun menyanggah pandangan Raja Ahmad dan mempertahankan bahawa bahasa yang digunakan oleh PAS adalah berbentuk sinikal, berlapik dan sinis.


"Sekiranya ada sekalipun, takkanlah tabiat dan kaedah buruk itu juga yang mahu digunakan semula. Adakah kata-kata seperti 'bodoh'dan 'monyet' boleh mematahkan hujah?" katanya.


Daya intelektual lemah

"Ini menunjukkan daya intelektual dan kemampuan ahli parlimen BN dalam mematahkan hujah pembangkang amat lemah sehingga terpaksa guna bahasa kasar,malah membuktikan mereka gagal mengawal emosi mereka," katanya lagi.


Selain itu katanya ahli-ahli parlimen perlu menghormati Parlimen sebagai Dewan yang Mulia dalam membahaskan satu-satu isu dan penggunaan bahasa tersebut tidak menyelesaikan masalah dan kemungkinan mesej yang ingin dilontarkan tidak kesampaian malah menambah ketegangan serta menimbulkan suasana tidak puas hati di kalangan ahli parlimen.


"Selalu sebut Dewan Yang MUlia pada perbahasan tetapi orang yang di dalamnya tak menunjukkan kredibiliti sebagai seorang yang mulia," katanya.


"Jangan lupa, rakyat sentiasa menilai mutu perbahasan dan akhlak seseorang ahli parlimen bergantung kepada bahasa yang digunakan," katanya lagi.


Salahudin menyatakan bahawa prinsip utama dalam perbahasan mestilah diutamakan iaitu memperjuangkan dan mengemukakan masalah-masalah rakyat dan negara dengan mempamerkan ketinggian akhlak, nilai budi dan bahasa yang sopan.


"Apa yang penting,pengawalan emosi penting dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diharapkan oleh rakyat kepada kita," katanya yang turut membidas pandangan Ahli Parlimen Sri Gading, Dato' Mohamed Aziz dan Ahli Parlimen Jasin, Dato' Mohd. Said Yusof yang turut terkenal dengan penggunaan bahasa kasar di Parlimen.


"Tunjukkan kewibawaan anda sebagai seorang ahli parlimen yang ada nila-nilai murni pada seorang manusia apabila berbahas," saran beliau.


Dalam pada itu, Salahudin turut sependapat dengan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas dalam satu kenyataannya baru-baru ini bahawa, “Ini bermakna cara kita berfikir bergantung kepada bahasa manakala pertuturan kita mencerminkan fikiran. Sebab itulah bahasa bersifat mantiqi.” - mks.

No comments: