Saturday, February 24, 2007

Batu Talam junamkan kredibiliti pilihan raya negara

Batu Talam junamkan kredibiliti pilihan raya negara


Ahmad Tajdid
Thu | Feb 15, 07 | 06:27:31 AM

"Barisan Nasional (BN) tidak perlu rimas dan risau kerana lawan mereka cuma budak yang tidak tahu apa-apa," kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa kepada pemberita di Kota Bharu, 18 Januari lalu.


Itulah politik. Ia boleh jadi sesuatu yang serius. Ia juga boleh menjadi sesuatu yang lucu, tidak penting, santai dan tidak menarik langsung!


Mood Husam itu juga menggambarkan apa yang berlaku di Batu Talam, Raub sepanjang 10 hari dalam bulan Januari 2007. Dari 16 Jan hinggalah ke 26 Jan, BN (yang diiktiraf sebagai parti super dan sukar ditandingi oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman) menggerakkan seluruh parti komponennya di Batu Talam untuk berhadapan dengan seorang calon Bebas - pemuda Tionghua berumur 21 tahun, yang tak tahu apa-apa tentang politik.


Semuanya berpunca dari tindakan PAS dan KeADILan yang membentuk pakatan Barisan Alternatif (BA) memboikot pilihan raya kecil itu bertujuan mendesak SPR melakukan reformasi total terhadap sistem pilihan raya di negara ini.


Setelah sekian lama diperbodohkan oleh SPR yang kemuncaknya dapat dilihat dalam pilihan raya umum ke-12 April 2004 lalu, kesabaran parti-parti pembangkang terhadap kerenah dan dolak-dalik SPR dan pemerintah sampai ke tahap maksimum.


Politik adalah sesuatu yang serius. Ia menentukan kepimpinan negara, dasar dan polisi negara, memberi kesan kepada ekonomi dan keadaan sosial negara, dan yang paling penting arah masa depan, maruah dan intergriti negara.


Tetapi intergriti politik di negara ini telah dimusnahkan oleh sikap acuh tak acuh SPR dan pemerintah terhadap aduan ketidakadilan, hilang kewibawaan dan kurangnya ketelusan dan akauntabiliti proses demokrasi dan pilihan raya.


Bertahun-tahun lamanya parti-parti pembangkang - yang menjadi tulang belakang, hidup mati dan denyut nadi demokrasi negara ini - menyuarakan pandangan agar peraturan, undang-undang dan pelaksanaan sistem dan proses pilihan raya dirombak bagi memberikan keadilan kepada semua parti-parti yang bertanding.


Namun apa yang sebaliknya berlaku, peraturan dan undang-undang pilihanraya dipinda bagi mengecilkan peluang dan kebebasan demokrasi. Lihat sahajalah kepada jumlah deposit yang dikenakan kepada calon, senarai pemilih yang meragukan, hinggalah kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menguntungkan BN, semuanya dibuat bagi mendatangkan kesukaran kepada parti-parti lawan BN untuk bertanding di padang yang sama rata.


Peranan media yang memualkan

Tidak kurang juga peranan media massa yang semakin jengkel dan memualkan. Salah guna media kerajaan khususnya RTM dalam menjadi jurubicara kempen BN bukan sesuatu yang ganjil.


Di Batu Talam, bukan sahaja calon Bebas yang hanya ditemani bapa dan saudara lelakinya untuk berkempen menjadi bahan belasahan media massa arus perdana, malah parti yang tidak bertanding pun menjadi mangsa.


Beberapa hari sebelum pembuangan undi, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dengan diapit calon BN menyebarkan fitnah kononnya wujud surat daripada Husam yang mengarahkan ahli dan penyokong PAS di Batu Talam keluar mengundi calon Bebas.


Surat yang dimegahkan Najib itu ternyata surat palsu yang direka propagandis Umno. Bukan sahaja Najib yang diperbodohkan malah media massa utama negara turut menyiarkan berita 'pendedahan' itu bagi memperbodohkan rakyat seluruhnya. Nyatalah Najib dengan bantuan media massa arus perdana mahu mengulangi kejelekan kempen BN pada PRU ke-8 kononnya Presiden Parti Semangat 46 yang bersekutu dengan PAS, Tengku Razaleigh Hamzah sanggup menjual agama kerana memakai sigah Kadazan berlambang salib ketika berkempen di Sabah.


Keputusan pilihan raya kecil Dun Batu Talam telah pun diketahui umum. BN menang dengan majoriti yang lebih besar kerana seluruh jentera kerajaan dan parti digerakkan di kawasan pedalaman itu. Najib sendiri berkampung di Batu Talam. Pun begitu, kenaikan kecil undi BN - sekitar 862 undi amat tidak berbaloi untuk BN.


SPR juga wajar menerima isyarat rakyat dengan merosotnya peratusan keluar mengundi kepada hanya 67.32 peratus, kurang 9.27 peratus berbanding pilihan raya umum 2004. Ini suatu yang luar biasa dalam sejarah pilihan raya kecil negara yang selalu mencatatkan pertambahan peratusan keluar mengundi berbanding PRU.


Jika kempen memboikot pilihan raya dibuat secara agresif, berkesan dan sistematik oleh PAS dan KeADILan, pastinya peratusan keluar mengundi akan lebih kecil.


Apa yang lebih menarik adalah fakta calon Bebas di Batu Talam:


  • Calon bebas, Ng Chee Pang, 22, mengakui ada pihak tertentu yang membayar wang pertaruhan berjumlah RM5,000 untuk beliau bertanding.
  • Ng mengakui tiada siapa yang memaksanya untuk bertanding, itu adalah pilihannya sendiri. "Saya bertemu bapa saya dan bertanya bagaimana untuk bertanding dan dia cadangkan platform Bebas,” katanya.
  • Ng hanya berkempen dengan dua pembantu iaitu bapanya, Ng Kwi Liang dan adiknya, Ng Chee Fu berbanding BN yang mengerahkan seluruh jentera parti dari seluruh negara dan menyalahgunakan harta dan jentera kerajaan tempatan, negeri dan Pusat.
  • Ng amat gembira kerana gambarnya tersiar di akhbar-akhbar dan televisyen serta tidak sabar-sabar untuk memberitahu teman wanitanya yang kini bekerja di Singapura.
  • Ng hanya berkelulusan Gred 3 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • Ng kurang fasih berbahasa Melayu dan kelihatan kebingungan apabila ditanya apakah yang akan dilakukan andai kata memenangi kerusi Batu Talam.

Dari segenap kekurangan yang ada pada calon Bebas, hanya 7,080 daripada 10,511 pengundi atau 67.32 peratus pengundi di Batu Talam keluar mengundi dengan 385 undi rosak dan lima kertas undi tidak dikembalikan.


Calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram mendapat 6,276 undi manakala Ng meraih 419 undi.


Pilihan raya kecil Dun Batu Talam memberikan gambaran betapa kroniknya kredibiliti dan intergriti proses pilihan raya negara. Rasuah, penyalahgunaan jentera kerajaan, SPR yang mandul dan lesu telah diinstitusikan dalam sistem demokrasi negara.


Hanya satu jawapan dalam menghadapi kemelut ini: REFORMASI DEMOKRASI!

No comments: