Wednesday, February 28, 2007

Jangan gadai kedaulatan negara melalui FTA

Jangan gadai kedaulatan negara melalui FTA


Mohd Azmi Abdul Hamid
Mon | Feb 26, 07 | 11:49:12 PM
Teras mendesak supaya Perdana Menteri jangan lagi menanda tangani FTA dengan Amerika kerana ia akhirnya akan mengakibatkan negara terjual apabila kesannya masih belum cukup diteliti terhadap pelbagai kepentingan negara.

Kami melihat dengan Malaysia terheret dengan perjanjian perdagangan secara mengikat ini , kedaulatan Malaysia akan tergadai melalui hanya satu tanda tangan seorang Perdana Menteri.

TERAS tidak dapat menerima perjanjian sepenting itu hanya diputus oleh desakan seorang Menteri Kabinet iaitu Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa tanpa semua Menteri Kabinet menghalusi implikasi dari perjanjian tersebut ke atas bidang mereka masing-masing.

Soalnya apakah dengan hanya hujah Menteri berkenaan seluruh Jamaah Menteri termasuk Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet harus menerimanya bulat-bulat sedangkan implikasi dari perjanjian tersebut sangat besar bukan sahaja dari segi ekonomi malah juga dari sudut sosio-budaya , politik dan keselamatan negara.

TERAS juga membantah dengan keras jika perjanjian FTA ini terus ditandatangani hanya kerana kita mahu tunduk kepada Amerika yang mengguna kuasa Presiden Bush untuk mempercepatkan proses kelulusan perjanjian sebelum Jun 2007.

Kami mengambil perhatian bahawa Malaysia harus menimbang dengan teliti kenapa negara seperti Korea dan Thailand telah menolak FTA dengan Amerika. Sudah tentu ada sebab yang kukuh kenapa negara-negara tersebut berbuat demikian.

Mesyuarat Jamaah Kabinet , Jumaat minggu ini difahamkan akan membincangkan untuk memutuskan menandatangani FTA dengan Amerika. TERAS membantah jika Perdana Menteri bersetuju untuk meneruskan perjanjian tanpa memberi masa yang mencukupi serta mendapat pandangan yang lebih banyak dari pelbagai pihak seperti NGO .

Sesungguhnya FTA bagi TERAS adalah agenda imperialis Amerika untuk mengembangkan hegemoninya di rantau ini dan seluruh dunia amnya. Sebab itu kesan FTA secara jangka panjang perlu diteliti sbelum keputusan muktamad dibuat.

TERAS melihat pelbagai implikasi negatif akan berlaku jika FTA ini diteruskan. Antaranya ialah:

1. Perdagangan yang akan membunuh industri tempatan.Melalui liberalisasi perdagangan dalam bidang perkhidmatan , pertanian , kesihatan , pembekalan dan konstruksi , pengusaha tempatan Malaysia akan terpaksa bersaing dengan pembida dari syarikat gergasi Amerika. Jaminan pekerjaan akan berkembang di negera ini tidak dapat dipastikan kerana pekerja tempatan tidak semestinya menjadi pilihan utama syarikat Amerika.

2.Bidang pembekalan kerajaan (procurement) yang selama ini dijamin oleh kerajaan hanya akan diberi kepada syarikat tempatan akan turut terjejas kerana liberalisasi tender akan mendedahkan Malaysia kepada semua syarikat Amerika yang mahu masuk dalam tender pembekalan kepada kerajaan. Walaupun Rafidah menjelaskan Amerika akan mengambilkira kepentingan syarikat tempatan , itu tidak menjamin bahawa dalam jangkamasa panjang syarikat-syarikat Amerika tidak akan menguasai sektor pembekalan.

3.Dalam sektor kesihatan kesan yang paling parah ialah dalam soal perkhidmatan dan bekalan ubat-ubatan. Rakyat Malaysia akan terdedah kepada kos kesihatan yang tidak tertangggung kerana syarat mendapat bekalan ubat dari syarikat Amerika akan menjadi tuntutan utama mereka dan kos mendapat ubata-ubatan akan berada ditangan syarikat Amerika. Ubat generik yang lebih murah akan ternafi dari diperolehi oleh rakyat kerana ia tidak dibenarkan oleh syarikat asal dari Amerika yang menghasilkan ubatan tersebut.

4.Bidang pertanian tempatan juga akan terdedah kepada tekanan dari bekalan bahan pertanian dari Amerika. Bukan sahaja benih , baja dan peralatan akan dikuasai oleh Amerika malah hasil yang lebih murah akan dilambakkan ke pasaran Malaysia yang akan menjejaskan petani-petani tempatan.

5. Sektor perkhidmatan seperti pendidikan , perbankan , insurans , perundangan dan pengangkutan juga akan terbuka kepada persaingan dengan syarikat Amerika. Tidak ustahil nanti semua sektor ini akan berada dalam kuasa syarikat luar apabila mereka dikatakan dapat memberi perkhidmatan yang lebih murah dan berkesan.

Dari implikasi ini sahaja kami melihat tindakan yang gopoh dari kerajaan untuk menandatangai FTA dengan Amerika akan sebenarnya menjual negara melalui hanya satu perjanjian.

TERAS merasakan ini adalah satu tragedi besar kepada kedaulatan Malaysia yang akan menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 50 tahun. Dengan FTA , perjuangan kedaulatan 50 tahun kemerdekaan negara itu akan lenyap begitu sahaja dan menjadi sia-sia.

TERAS mendesak supaya Menteri-menteri Kabinet yang lain jangan menerima bulat-bulat hujah Datuk Rafidah. Mereka harus menuntut supaya FTA ini ditangguh terlebih dahulu sehingga mereka dapat meneliti dengan lebih terperinci implikasi dari perjanjian ini selengkapnya.

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

No comments: