Monday, February 26, 2007

Dakwaan ke atas Ketua Pengarah BPR, Gerak tuntut penjelasan PM


Dakwaan ke atas Ketua Pengarah BPR, Gerak tuntut penjelasan PM


Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Feb 26, 07 | 08:01:37 AM
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Perang anti rasuah yang dijalankan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berjaya selagi mana pentadbirannya dibayangi kemelut rasuah dan individu yang didakwa mempunyai rekod bersekongkol dengan kegiatan itu.

Malah sikap berdiam diri yang dipamerkan Abdullah terhadap banyak laporan penyelewengan yang dihadapkan ke atas individu yang berada di sekelilingnya mengundang kebimbangan rakyat akan kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri.

Terbaru beliau dikaitkan dengan isu mengekalkan kontrak Ketua Pengarah Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkifly Mohd Noor, seorang Ketua Pengarah yang berkhidmat sejak Julai 2001 iaitu semasa pemerintahan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohammad Noor dalam sidang medianya hari ini berkata, pihaknya mendapat sepucuk surat yang menyatakan secara khusus beberapa kes yang didakwa membabitkan Zulkifly.

ImageBeliau berkata demikian ketika mengadakan sidang medianya di Pejabat Gerak di Kelana Jaya hari ini.Turut hadir ialah, Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS, Haji Mahfuz Omar dan Eksekutif Koordinator Gerak, Badrul Hisham Mohd Noor serta bekas tahanan ISA (kumpulan reformasi), Abdul Ghani Haroon.

Menurut Ezam surat bertarikh 4 Julai 2006 tersebut ditandatangani oleh individu yang bernama, Mohammad Ramli Abdul Manan (Pegawai Siasatan DG45), dan pihak BPR katanya telah mengesahkan penama pernah berkhidmat dengan badan itu sebelum ini, kata Ezam.

Bagi Ezam, soal kesahihan dan siapa yang mendedahkan surat itu tidak penting tetapi dakwaan jenayah yang terkandung dalam surat itu adalah serius memandangkan ianya membabitkan orang penting dalam kerajaan.

PM perlu segera jawab
Beberapa hari lalu Gerak telah hantar kepada PM secara tangan di Putrajaya dan Gerak meminta PM melihat serius seterusnya ambil tindakan pantas dengan melakukan siasatan, katanya.

"Ini adalah soal membabitkan wibawa BPR dan PM yang menyatakan keazaman membanteras rasuah dan penyelewengan," katanya lagi.

"Kandungan surat itu menimbulkan kecurigaan terhadap kes-kes rasuah yang dikelolakan siasatannya oleh Zulkifly sendiri dan ia membawa implikasi besar kepada negara kerana kebiasaanya kes-kes besar yang pernah dibuat terhadap beberapa kes berprofil tinggi akan dikelola oleh Ketua Pengarah BPR," katanya.

Beliau juga curiga, setelah sekian lama surat ini (mengikut tarikh 4 Julai 2006) diserah kepada PM dan Ketua Polis Negara, namun tiada sebarang kenyataan dibuat sama ada ianya fitnah atau sebaliknya.

"Apakah sudah ada fail ini maka ini akan dijadikan 'alat' supaya senang kes ini supaya senang berkerjasama dengna PM yang bekerja sama pada masa itu, kerana dua kali sambung kontrak ini satu yang pelik."

Justeru, beliau menggesa PM menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kes-kes yang pernah dikelolakan oleh Ketua Pengarah BPR ini dan kes terhadapnya kerana ianya mencurigakan.

"Kita tidak mahu tunggu lagi, kita bimbang ia membabitkan Ketua Pengarah BPR, dan babitkan banyak kes lain, menteri dan kes profil tinggi, jika dakwaan dalam surat ini benar, ia meletak kedudukan Ketua Pengarah BPR itu dalam keadaan yang boleh kompromi untuk tidak menyiasat kes -kes lain yang besar."

Diarah henti
"Pengalaman saya dalam kerajaan, jika kes membabitkan menteri ia akan merujuk terus kepada PM. Siasatan BPR dalam kes Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Dato' Seri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik oleh BPR tidak berguna kerana diarah PM ketika itu untuk dihentikan," katanya.

Menjelaskan mengenai kes-kes yang direkod dalam surat Mohammad Ramli, Ezam berkata kes yang diadukan adalah kes sebelum Zulkifly menjadi Ketua Pengarah BPR, iaitu semasa menjadi polis, dan Zulkifly hanya menjadi Ketua Pengaerah BPR pada tahun 2001.

Dalam hal yang berkaitan, Gerak juga meminta penjelasan diberikan oleh pihak berkuasa polis samada samada polis telah mengadakan siasatan atau merekod laporan tersebut kerana surat itu juga telah dialamatkan kepada Pejabat Ketua Polis Negara.

"Saya juga nak tanya adalah surat ini telah difailkan atau direkodkan kerana pengadu mahu ianya diberi rekod polis.Adakah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah siasat atau membersihkan kes ini," katanya.

Gerak juga menggesa kerajaan menghentikan sementara khidmat Zulkifly sehingga siasatan ke atas Ketua Pengarah BPR itu selesai dan namannya dibersihkan jika didapati tidak bersalah, katanya.

Lapor kes PM dan anak menantu
Terdahulu sebelum ini, Gerak juga telah membuat satu laporan kepada BPR berhubung tuntutan mengadakan satu siasatan terhadap Perdana Menteri atas dakwaan mengagihkan kontrak kepada keluarganya.

Berdasarkan laporan yang dibuat, Gerak berpendapat BPR telah mempunyai asas yang cukup untuk memulakan siasatan ke atas penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri dan keluarganya di dalam pengagihan kontrak kerajaan di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, kata Ezam.

Sebagai Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, Abdullah mesti dipertanggungjawabkan dan siasatan mesti dimulakan terhadapnya,katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan laporan itu kepada BPR hari ini.

Laporan itu diterima oleh Penolong Penguasa, Pusat Pengurusan Maklumat dan tatatertib BPR, Haryazi Baharom di Ibu pejabat BPR pada 4 Disember lalu bagi pihak Ketua Pengarah BPR Malaysia di Putrajaya.

Sementara pada 26 Oktober 2006, Abdullah Badawi dalam sidang medianya telah membuat kenyataan dan disiarkan dalam hampir semua media utama yang mana dalam kenyataannya terkandung pengakuan beliau sendiri tentang agihan kontrak kerajaan yang diperolehi oleh syarikat yang mempunyai kepentingan anaknya Kamaluddin Abdullah.

Selain itu Abdullah juga mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengagihkan kontrak kepada anaknya semasa bekas Presiden Umno itu menjadi Perdana Menteri.

Pengakuan serius
Pengakuan ini merupakan satu pengakuan yang serius mengenai penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri, kata Ezam.

Melalui laporan ini juga dipanjangkan laporan polis yang telah dibuat Gerak pada 1 November lalu di Balai Polis Dang Wangi, katanya.

"Bersama laporan ini kami kepilkan dua laporan polis terdahulu antaranya satu laporan mengenai Military Cookhouse Privatisation Agreement' yang merupakan tender yang dianugerahkan secara luar biasa kepada Kamaluddin," kata Ezam.

Selain itu beliau juga menyerahkan salinan perjanjian tender kerajaan yang di tandatangan kerajaan Malaysia dan Kamaludin Abdullah.

Dalam laporan yang sama Ezam juga menyerahkan laporan mengenai transaksi penggabungan ECM Libra dan Evenue Capital dan beberapa laporan dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Semua dokumen tersebut diyakini cukup untuk membantu BPR memulakan siasatan ke atas Penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri dan keluarganya, katanya lagi.

BPR harus melihat laporan ini dengan serius khususnya apabila persepsi dunia melihat Malaysia semakin parah dari sudut jenayah rasuah, ujarnya.

"BPR harus memulakan siasatan dan mengheret mereka ini ke muka pengadilan atau mengisytiharkan mereka ini bersih dari amalan penyalahgunaan kuasa dan korupsi,"katanya. - mks.

1 comment:

Anonymous said...

Aduhai Malaysiaku
Salah kah kalau aku mempunyai rasa ini "Malaysia ni ada PM ke tak ade?". Terasa seoalh-olah kapal yang tiada nakhoda.tiada apa yang boleh aku banggakan. Renungkanlah!