Wednesday, February 28, 2007

SMART : Perjanjian konsesi telah ditandatangani sebelum perbincangan kabinet?

SMART : Perjanjian konsesi telah ditandatangani sebelum perbincangan kabinet?


Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Feb 28, 07 | 07:12:08 AM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Bila-bila masa sahaja, warga Lembah Klang yang ingin lari dari kesesakan trafik di sepanjang jalan Sungai Besi menuju ke Tol Lebuh Raya Utara Selatan (Seremban ke Kuala Lumpur) akan dihidangkan dengan pembukaan Lebuh Raya SMART yang dikatakan memiliki sistem lebuh raya yang canggih dan efisyen bagi mengelak banjir dan kesesakan lalu lintas.


Projek yang dijalankan oleh, SMART Tunnel Sdn Bhd (anak syarikat milik Gamuda MMC) ini dilaporkan telah siap sepenuhnya dan hanya menanti untuk dilancarkan penggunaannya.


Begitupun desas-desus mengenai kadar tol yang akan dikenakan telahpun kedengaran malah ada pihak yang mendakwa memiliki dokumen perjanjian antara konsesi tol SMART dengan kerajaan yang dikatakan telah ditandatangani pada Julai 2004.


Meskipun sebelum ini Menteri Kerja Raya Dato' Seri S.Samy Vellu telah menyatakan bahawa harga tol yang akan dikenakan bagi lebuh raya SMARTmasih dalam, namun kenyataan itu hari ini dihambat dengan pendedahan Angkatan Muda KeADIlan yang menyatakan telah memiliki dokumen perjanjian tersebut dengan kadar tol yang ditetapkan.


Lagi dokumen didedah

Pemangku Ketua Angakatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin semasa mengadakan sidang medianya di pejabat KeADILan Pusat di Brickfields pagi tadi menyatakan dokumen itu diperolehi dari seorang warganegara yang amat prihatin terhadap kepentingan rakyat.


"Saya bimbang selepas kita mendedahkan dokumen ini, ianya akan diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA).Saya nak sanggap kenyataan Samy yang menyatakan bahawa harga tol yang akan dikenakan masih dalam perbincangan."


"Sebenarnya mengikut perjanjian yang ditandatangani, harga tol telah ditetapkan, dan sebagai pengamal undang-undang saya lihat dokumen perjanjian itu merupakan satu kontrak yang sah dari segi undang-undang yang mengikat kedua-dua pihak, justeru apa justifikasi yang menyatakan ia sedang dirunding," katanya kepada wartawan.


Apa yang dikesalkan perjanjian itu didakwa telah ditandatangani meskipun kerajaan menyatakan ianya masih dalam perbincangan untuk memperhalusi beberapa perkara, katanya.


Dalam dokumen yang didakwa sebagai dokumen perjanjian SMART itu beliau berkata, dua perkara yang penting yang perlu didedahkan dalam intipatinya iaitu mengenai kadar tol dan jangka waktu yang dikenakan.


Jangan guna OSA

"Saya tak mahu dedahkan keseluruhan perjanjian dan yakin bukan dokumen OSA, tetapi saya khuatir jika kita dedahkan dokumen itu ianya akan diklasifikasikan sebagai OSA, seperti yang pernah terjadi dalu," katanya lagi.


Untuk itu beliau mendesak Samy untuk menyahkan pengklasifikasian dokumen itu dari menjadi dokumen OSA kerana baginya pertimbangannya kini adalah hak dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan maklumat secara telus dan tepat.


Menurut Shamsul Iskandar, AMK melihat implikasi beban ekonomi yang akan ditanggung generasi akan datang dengan kadar tol seperti yang dinyatakan dalam dokumen perjanjian itu iaitu bermula dengan RM2.00 dan akan melonjak kepada RM7.00 bagi tahun 2030.


Kadar itu katanya terlalu tinggi dan melihat kepada jangkaan pendapatan kepada pihak konsesi, ianya hanya akan menguntungkan syarikat konsesi sahaja sedangkan aliran keuntungan atas perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan kira-kira RM2.0 bilion bagi menyempurnakan SMART tidfak dinyatakan.


Hapuskan OSA

"Akhirnya saya nak tegaskan KeADIlan akan terus perjuangkan akta kebebasan maklumat. Dengan akta ini kita akan dapat tahu apa yang berlaku antaranya rundingan kerajaan dengan syarikat GLC yang mana ada di dalamnya kepentingan rakyat,"katanya.


Apa yang penting baginya ialah kerajaan perlu bertindak secara telus dan adil dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan syarikat korporat semata-mata.


AMK cabar Samy

Sementara itu Naib Ketua AMK, S.Manikavasagam pula mencabar Samy untuk mengemukakan dokumen perjanjian antara SMART dengan kerajaan itu dalam masa tujuh hari demi kepentingan awam.


"Apa yang terkandung dalam dokumen ini ialah melibatkan duit rakyat dan rakyat perlu tahu.Jika samy gagal kemukakan perjanjian itu saya minta BPR dan polsi segera mengambil tindakan ke atas Menteri kerja Raya itu," katanya.


"Jika bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) boleh didakwa kenapa Samy tidak boleh didakwa?Siapa beliau, beliau bukan Perdana Menteri, jadi AMK menggesa supaya polis dan BPR ambil tindakan tegas ke atas Samy," katanya tegas.

No comments: