Tuesday, February 27, 2007

Pertubuhan pelajar haram: PKPIM desak BTN betulkan penyelewengan fakta

Pertubuhan pelajar haram: PKPIM desak BTN betulkan penyelewengan fakta


Ali Bukhari Amir
Mon | Feb 26, 07 | 11:41:04 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Isu pertubuhan pelajar haram dan persatuan pelajar yang menggugat ketenteraman awam seringkali menjadi topik perbualan hangat dalam beberapa siri ceramah anjuran Biro Tata Negara (BTN) dalam beberapa kawasan kampus sejak belakangan ini.


Justeru, Exco Penerangan dan Perhubungan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam suatu kenyataannya kepada Harakahdaily baru-baru ini berkata, pihaknya mendesak BTN dan penceramahnya agar berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang fakta mengenai status pertubuhan pelajar di negara ini.


"Saya hadir dalam acara anjuran BTN Wilayah Persekutuan bersama Bahagian Pembangunan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (BPPUIAM) pada 25 Februari lalu. Pada slot ketiga, sekitar jam 2.30 petang, saya rasa terkilan kerana pengisian yang sepatutnya diberikan agar pelajar mempunyai semangat cintakan negara tidak berlaku."


"Sebaliknya, slot Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM) sesi 05/06 petang itu telah tersasar daripada matlamat asal sebenar. Penceramah, Sulhairil Hafiz Suliman telah membawa pengisian itu ke arah perbincangan seperti menanam doktrin anti demokrasi dalam kalangan warga kampus UIAM," kata Muhammad Faisal.


Pengisian yang disampaikan Sulhairil itu, menurut Faisal, telah dimanipulasikan untuk memastikan mahasiswa membenci pertubuhan-pertubuhan kebajikan mahasiswa lain seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Foot Not Bomb (FNB), Kelab Remaja Islah (Karisma) dan sebagainya, dengan mendakwa pertubuhan tersebut sebagai “haram, ganas dan menggugat ketenteraman dan keselamatan negara".


"Saya amat terkejut apabila mendengar PKPIM turut disenaraihitamkan sebagai pertubuhan haram. Sedangkan, menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), PKPIM adalah sebuah pertubuhan pelajar yang berdaftar dan sah di sisi perundangan negara. Nombor pendaftarannya adalah 1569. PKPIM juga telah didaftarkan sebagai pertubuhan pelajar yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM)."


"Jadi, kebanyakan mahasiswa tidak berpuas hati kerana fakta Sulhairil adalah tidak benar dan pengisian beliau lari daripada objektif sebenar BTN. Tidak hairan, kenapa penceramah telah dilontarkan pelbagai soalan yang bertalu-talu dari mahasiswa, khususnya tentang objektif sebenar slot tersebut diadakan. Ekoran daripada pelbagai persoalan dilontarkan, maka pengisian beliau yang sepatutnya dijadualkan tamat pada 4.30 petang, terpaksa dihabiskan awal iaitu sekitar 4.00 petang," kata beliau.


Beliau berkata, pengisian pertama bertajuk “Ancaman Keselamatan Dalam Negara” oleh Hamim Ahmad dan pengisian kedua (Pendidikan Politik) tidak membangkitkan sebarang masalah dalam kalangan mahasiswa.


"Kami mendengar kedua-dua slot tersebut dengan penuh minat. Hanya slot ketiga yang bermasalah. Jadi, saya mendesak agar mereka yang tidak bertanggungjawab mendakwa PKPIM sebagai pertubuhan haram, menarik balik tuduhan tersebut kerana hal ini merupakan satu penghinaan kepada undang-undang Malaysia memandangkan badan pelajar ini adalah pertubuhan yang berdaftar dan sah," kata Muhammad Faisal lagi.


Tambah beliau, pihaknya memang menyokong penuh program BTN ini diteruskan dengan pelaksanaan yang berlandaskan norma-norma positif tanpa sebarang unsur fitnah antara satu sama lain.


"Jika tidak dikawal penyelewengan fakta ini, maka hal ini pasti akan lebih memburukkan nama baik dan imej mahasiswa. Oleh itu, saya harap agar pelaksanaan program BTN dapat dikaji semula untuk memastikan objektif sebenar dalam pembinaan jatidiri, memupuk rasa tanggungjawab dan cintakan negara dalam kalangan mahasiswa dapat dicapai," kata Muhamad Faisal. - mks.


No comments: