Tuesday, February 27, 2007

Shahrir dirayu elak tuduhan 'pecacai' Khairy

Shahrir dirayu elak tuduhan 'pecacai' Khairy


Abdul Halim Mohd Rashid
Tue | Feb 27, 07 | 10:18:01 AM
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Hrkh) - Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) tidak akan dihormati sedikitpun oleh rakyat jika terus mengambil sikap berpuas hati dengan penjelasan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tentang apa yang didakwa sebagai penggabungan ECM Libra Bhd dan syarikat milik kerajaan, Avenue Capital Resources Bhd.

"PAC jangan berkerja melepas batuk di tangga sahaja dalam menyiasat apa yang sering disebut sebagai misteri ular lidi (ECM) menelan naga (Avenue) itu."

"Lebih dari itu, saya merayu Pengerusi PAC Datuk Shahrir Abdul Samad mengelakkan dirinya dari sebarang tindakan yang boleh menyebabkan beliau dituduh menjadi 'pecacai' menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar.

Selepas mendapat penjelasan Nor Mohamed mengenai apa yang didakwa sebagai penggabungan ECM dan Avenue itu, Shahrir menyatakan: "Untuk berkata kami berpuas hati (terhadap penjelasan yang diberi), tidak tepat kerana PAC melibatkan wakil daripada pelbagai parti politik. Kami mempunyai tahap kepuasan yang berbeza.

"Kerajaan berpendapat bahawa memandangkan SC (Suruhanjaya Sekuriti) tidak mempunyai halangan dan majoriti pemegang saham kedua-dua syarikat mahu bergabung, penggabungan perlu dilakukan tanpa campur tangan".

Mahfuz menyifatkan kenyataan Shahrir itu memburukkan lagi kemarahan rakyat terhadap apa yang sering disebut sebagai misteri ular lidi menelan naga itu.

"Jika benar SC tidak mempunyai halangan, apakah yang ia menyebabkan tidak mempunyai halangan sedangkan perkara itu dibantah dan dikecam oleh pelbagai pihak?"

"Benarkah tuduhan bahawa pihak SC seolah-olah diacukan pistol di kepala mereka sehingga terpaksa mendiamkan apa jua halangan?" beliau mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan sejauh manakah benarnya dakwaan kononnya majoriti pemegang saham kedua-dua syarikat mahu bergabung.

"Benarkah dakwaan pengendali blog anotherbrickinwall.blogspot.com bahawa penggabungan itu diluluskan oleh para pemegang saham Avenue dengan majoriti kira-kira 60 hingga 70 peratus sahaja, itupun termasuk "managing shareholder", yang dengan peliknya turut mengundi," kata beliau.

Jika kelulusan penggabungan itu tidak bersih dari perkara-perkara yang pelik, Mahfuz mempersoalkan kewajaran dakwaan SC bahawa ia tidak mempunyai apa-apa halangan terhadap apa yang sering disebut sebagai misteri ular lidi menelan naga itu.

No comments: