Saturday, February 24, 2007

Batu Talam yang berdwi-wajah

Batu Talam yang berdwi-wajah


Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif
Fri | Feb 23, 07 | 03:58:47 AM

Pilihan Raya Kecil DUN Batu Talam yang diadakan pada Ahad, 28 Januari 2007 mempunyai kepentingannya yang tersendiri yang bersifat dwi-wajah.


Dari satu segi, sungguhpun ia adalah pilihan raya ‘kecil’ tetapi implikasinya amatlah ‘besar’ dan ia boleh dilihat sebagai satu garis pemisah dan ‘kejutan budaya’ dalam sejarah pilihan raya negara.


Dari segi yang lain, pilihan raya kecil ini memperlihatkan bagaimana ‘talam-talam politik’ (the spoils of politics) telah melonjak dengan begitu hebat sekali yang mengingatkan kita kepada budaya 'potlach' masyarakat bumiputera Amerika yang kurang maju di mana anggota masyarakatnya berebut-rebut untuk mendapat habuan ekonomi.


Pada pagi 28 Januari, saya bersama dua rakan bertolak ke Batu Talam. Tujuan kami adalah untuk melihat suasana hari mengundi, apakah Umno dan BN masih ‘berpesta’ dalam keadaan pilihan raya kecil ini diboikot.


Kami sampai di Batu Talam sekitar jam 11.00 pagi, masa kemuncak untuk melihat aktiviti pengundian terutamanya untuk melihat mereka yang keluar mengundi iaitu apakah ia berkurangan (kesan dari boikot) atau sebaliknya. Di bandar kecil Cheroh di mana terdapat pengundi Cina yang agak ramai, aktiviti pilihan raya agak meriah. Kemeriahan ini sebahagian besarnya disumbang oleh enyokong-penyokong BN dari luar.


Puteri UMNO nampaknya masih bersemangat ‘berkempen’ sungguhpun tidak berdepan dengan pencabarnya. Selepas Cheroh kami bertolak ke Tersang 1, perkampungan FELDA yang dikatakan pengaruh PAS agak kuat. Suasana di sini sama meriahnya dengan Cheroh. Puteri UMNO rancak ‘berkempen’. Tetapi ada satu perkara yang membezakan Tersang 1 dengan Cheroh. Di sini kami melihat kehadiran pihak keselamatan bertopi merah dalam bilangan yang agak signifikan. Pada saya ini satu fenomena politik yang agak penting.


Pada bacaan politik pihak keselamatan, penyokong PAS adalah mereka yang lebih cenderung untuk ‘menggugat keselamatan negara’ berbanding pengundi Cina. Pada saya ini satu bacaan politik yang agak dangkal sifatnya.


Sejarah politik telah membuktikan bahawa penyokong PAS yang dikatakan ‘keras’ dan ‘ganas’ pada hakikatnya adalah mangsa kepada sistem politik Malaysia yang ‘keras’ yang terlalu menekankan aspek keselamatan secara yang berlebihan dan ini diburukkan lagi apabila ia dipolitikkan oleh pimpinan UMNO/BN. Suasana di Tersang 1 ini memperkukuhkan lagi pandangan orang seperti Dr. Mahathir bahawa Malaysia secara hakikinya adalah sebuah negara polis.


Kejayaan boikot

Apa yang menarik perhatian kami seterusnya adalah di dua tempat ini (Cheroh dan Tersang 1), tidak terdapat barisan pengundi yang panjang di pusat-pusat mengundi yang beratur untuk mengundi. Ini boleh dilihat sebagai kejayaan dari boikot. Andaian ini benar apabila keputusan pilihan raya memperlihatkan peratusan keluar mengundi menurun berbanding dengan pilihan raya umum 2004. Ini sudah semestinya tidak berbaloi untuk BN yang berkampung sekian lama untuk memenangi hati dan minda pengundi. Saya difahamkan bahawa Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa, berkampung berminggu-minggu di Tersang 1.


Satu lagi fenomena politik yang paling menarik dalam pilihan raya kecil Batu Talam ini adalah tidak ada satu pun poster atau kain rentang calon Bebas. Perkara ini tidak mengejutkan kerana ada pemerhati politik yang bependapat bahawa calon Bebas sebenarnya ditaja BN.


Dalam hal ini, pihak BA yang memboikot pilihan raya kecil Dun Batu Talam perlu bersedia menerima hakikat bahawa inilah model kempen pilihan raya yang akan digunakan oleh BN dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya BA membuat keputusan memboikot pilihan raya umum. BN akan menaja calon-calon bebas dalam pilihan raya bagi mewujudkan pertandingan sekaligus membuktikan bahawa sistem politik Malaysia masih bersifat demokratik.


Ini bermakna respons BN kepada boikot ini boleh bersifat dwi-wajah yang berlawanan. Pertama, sebagaimana yang disebut di atas, mereka tidak ambil kisah, malah lebih suka sekiranya BA memboikot pilihan raya umum yang akan datang. Dalam bahasa Inggeris: "They don’t give a damn about democracy as long as they have the power".


Kedua, tanpa persaingan hasil dari boikot, BN terutamanya Umno terluka egonya. Ini amat difahami kerana kerajaan pimpinan Pak Lah nampaknya beria-ria ke arah mempertingkatkan integriti dan ketelusan pentadbiran dan politik. Secara puratanya dapat dirumuskan bahawa kesan dari boikot ini lebih kepada faktor yang kedua ini.


Sungguhpun BN telah mengisytihar keputusan pilihan raya kecil Dun Batu Talam sebagai ‘menang besar’, ini terbukti tidak benar kerana peratusan mereka yang keluar mengundi merosot sebanyak 10 peratus berbanding pilihan raya umum 2004. Sepatutnya dalam keadaan tidak adanya lawan yang kredibel dan masih ‘berpesta’ ( dalam erti kata curahan habuan kebendaan masih berterusan) sepatutnya Umno mampu menarik keluar pengundi sekitar 90 peratus atau lebih. Tetapi ini tidak berlaku.


Calon Bebas yang besar kemungkinan ditaja oleh BN, nampaknya mampu meraih 400 lebih undi. Ini disebabkan pengundi biasa Cina terutamanya di pekan Cheroh bangkit menolak calon Umno kerana marah kepada parti yang bersifat ‘ultra Melayu’ seperti yang ditunjukkan dalam Perhimpunan Agung UMNO.


Ada juga di kalangan pengkaji politik yang berpendapat bahawa calon Bebas di Dun Batu Talam ditaja oleh Dewan Perniagaan Cina. Hasil dari tajaan ini, masyarakat Cina telah dijanjikan pelbagai projek yang bernilai kira-kira RM200 juta. Secara keseluruhannya, ‘pelaburan’ BN dalam pilihan raya kecil ini amatlah ‘besar’ iaitu sekitar RM400 juta atau lebih.


Pilihan raya kecil termahal

Atas dasar inilah, seorang penganalisa politik, yang juga rakan penulis merumuskan bahawa pilihan raya kecil Dun Batu Talam adalah pilihan raya yang paling mahal dalam sejarah politik Malaysia!


Keputusan pilihan raya kecil Dun Batu Talam juga memperlihatkan undi yang rosak adalah sekitar 385 undi. Besar kemungkinan undi rosak ini adalah undi Melayu yang terbahagi kepada dua kategori. Pertama, undi dari penyokong Umno sendiri yang sedar dan insaf dengan pendedahan yang dibuat oleh BA terutamanya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kelompok ini merosakkan undi sebagai tanda protes.


Kelompok kedua mungkin terdiri dari penyokong PAS yang mempunyai hubungan persahabatan dengan penyokong Umno. Mereka keluar mengundi tetapi mereka rosakkan undi agar ianya konsisten dengan keputusan pemimpin BA memboikot pilihan raya. Undi yang rosak terlalu sedikit untuk menjejaskan proses demokrasi sihat dan matang. Faktor yang lebih menjejaskan proses demokrasi yang sihat dan matang adalah kacacatan sistem pilihan raya yang bersifat struktural dan fundamental. Faktor inilah yang membawa kepada pemboikotan BA.


Selain dari penyokong PAS yang keluar mengundi untuk memprotes sebagaimana dirujuk di atas, secara puratanya penyokong BA akur dengan keputusan yang dibuat oleh pemimpin BA untuk memboikot pilihan raya kecil ini. Kami melawat dua markas besar PAS iaitu di Kampung Ria dan Sega. Kedua-dua markaz ini ditutup rapat, tidak ada aktiviti politik langsung. Pemimpin PAS kawasan pun tidak ada di rumah pada hari mengundi tetapi berada di kebun untuk bekerja seperti hari biasa.


Kemeriahan di pihak BN amat terasa. Poster dacing berwarna biru kelihatan di mana-mana sehinggalah ke pelosok kampung di pedalaman. Najib sendiri begitu bermati-matian berkampung di kawasan pilihan raya seolah-olah beliau sendiri yang bertanding. Masa kami membuat tinjauan pada hari mengundi, kami terserempak dua kali dengan Najib yang menggunakan kereta rasmi TPM disertai sekitar 15 buah kereta pengiring.


Kereta buruk kami terpaksa berhenti di tepi jalan bagi memberi laluan kepada rombongan Najib. Sekali lagi secara terbuka berlakunya penyalahgunaan wang rakyat dan melanggar etika pilihan raya.


Keghairahan Najib dalam pilihan raya kecil ini amat difahami apabila nama beliau sendiri dikaitkan dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu setelah ketua kumpulan pemikir beliau, Abdul Razak Baginda didakwa atas kesalahan bersubahat membunuh. Keputusan pilihan raya kecil memperlihatkan usaha-usaha keras Najib nampaknya tidaklah begitu berbaloi.


Dalam hal perbelanjaan untuk berkempen, terdapat banyak persamaan antara Umno dan BN dengan masyarakat bumiputera atau asli Amerika. Mereka berpesta dan membazirkan harta awam secara berleluasa. Had perbelanjaan yang diperuntukkan oleh SPR tidak dipatuhi BN.


Kerahsiaan undi nampaknya juga dicabuli. Menurut seorang rakan daripada sebuah NGO yang turut memantau pilihan raya kecil ini, semua pintu masuk di tempat mengundi dipasang dengan kamera khas. Ini satu tindakan yang tidak boleh diterima oleh mereka yang sihat pemikirannya. Paling tidak ia adalah satu bentuk tekanan psikologi, kalau pun tidak ugutan yang halus. Ini pasti akan menakutkan pengundi menyebabkan mereka tidak boleh bersifat bebas dan sekaligus menjejaskan prinsip kerahsiaan undi.


Selepas puas berpusing-pusing ke seluruh pelosok Dun Batu Talam, kami singgah di markas PAS dekat dengan rumah bekas Yang Dipertua PAS Raub, Tengku Puji Tengku Abdul Hamid untuk menunaikan solat Zohor.


Selepas menunaikan solat Zohor kami berangkat pulang dengan keyakinan bahawa pilihan raya kecil ini sememangnya sebuah ‘wayang kulit’. Di pertengahan jalan kami singgah untuk mengisi perut kami yang telah berirama. Bersama kami di meja bersebelahan, terdapat sekitar lima belas orang berpakaian rapi dengan memakai jaket ‘Penaja UMNO Sarawak’ turut menjamu selera.


Tentunya mereka juga mendapat sebahagian dari ghanimah pilihan raya yang telah disediakan. Ini turut membenarkan tanggapan kami bahawa pilihan raya kecil Batu Talam ini memperkukuhkan lagi hakikat bahawa budaya politik BN sememangnya bersifat ‘talam dua muka’.

______________________________

Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif ialah Pengarah, Center for Electoral Reforms Initiatives (CERI), Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

No comments: