Sunday, February 25, 2007

Skuad intip: Perdana Menteri jangan campur tangan kuasa Raja-Raja Melayu

Skuad intip: Perdana Menteri jangan campur tangan kuasa Raja-Raja Melayu


Abdul Aziz Mustafa
Sat | Feb 24, 07 | 03:22:56 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mestilah menghentikan segera campur tangannya dalam bidangkuasa Raja-Raja Melayu dengan kenyataan-kenyataan yang dilaporkan sebagai arahan mengenai pentadbiran hal ehwal ugama Islam.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri yang mahu kerajaan-kerajaan negeri menghentikan usaha mewujudkan kumpulan pengintip bagi mengesan perbuatan sumbang atau maksiat dalam kalangan umat Islam adalah campur tangan dalam urusan Raja-Raja Melayu.


"Perdana Menteri tidak sepatutnya mendahului Raja-Raja Melayu dalam isu tersebut. Ia bertentangan dengan Perlembagaan yang menetapkan supaya Raja-Raja Melayu yang membuat keputusan mengenai perkara itu kerana ia berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal ugama Islam."


"Memandangkan dakwaan penubuhan skuad mengintai dan menangkap pasangan melakukan perlakuan sumbang dikaitkan dengan negeri Terengganu, Perdana Menteri jelas tidak menghormati dan membelakangkan Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya mengulas laporan Bernama bahawa Perdana Menteri arah kerajaan negeri hentikan kegiatan pengintipan.


Mahfuz menggesa Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang akan datang memberikan ingatan yang tegas kepada Perdana Menteri supaya jangan mendahului Raja-Raja Melayu dalam urusan pentadbiran hal ehwal ugama Islam.


"Apa yang lebih dikesali ialah sikap Perdana Menteri yang meremehkan nahi mungkar atau pencegahan kemungkaran apabila membangkitkan soal mengganggu peribadi."


"Kenyataan Perdana Menteri itu mencerminkan sifat sebenarnya Islam Hadhari yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri," katanya.


Kenyataan Perdana Menteri itu juga, kata Mahfuz, mengingatkan rakyat kepada peristiwa penyerbuan kelab The Zouk oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dimana para pelaku maksiat terselamat dan para penguatkuasa agama berada di kandang orang salah.


"Semuanya berlaku di zaman Islam Hadhari tajaan Perdana Menteri," katanya.


Kenyataan Perdana Menteri itu, katanya lagi, mencetus kekeliruan mengenai pencegahan makasiat serta kebebasan peribadi dalam undang-undang pentadbiran hal-ehwal Islam dan boleh menyebabkan orang-orang Islam merasa hina dan 'apologetic' dengan tindakan pihak berkuasa agama yang bertujuan mengawal akhlak umat Islam malah akan menyebabkan penganut agama lain mencemuh Islam.


Dalam kenyataannya, Perdana Menteri berkata tindakan mengintip boleh dilihat sebagai mengganggu peribadi.


"Kita tidak payah wujudkan kumpulan pengintip. Kalau ada apa-apa yang buruk berlaku, jelas orang nampak, kita tahu ada undang-undang tentang kelakuan tidak senonoh di khalayak. Tapi kalau hendak mengintip pergi sana sini dilihat mengganggu peribadi," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Usaha menangani gejala sosial sudah dianggap sebagai extremism oleh sesetengah pihak terutama mereka yang membenci Islam. Malah usaha ini dianggap sebagai 'putting Malaysia as the laughing stock of the world'. Cakap orang putih pulaklah: It's not a laughing matter when babies are being dumped like trash or 886/887 girls have had their sex experience.