Sunday, February 25, 2007

Koleksi janji: Tambah lagi, tambah banyak-banyak, PM!

Koleksi janji: Tambah lagi, tambah banyak-banyak, PM!


Penarik Beca
Sat | Feb 24, 07 | 03:19:03 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menambahkan lagi koleksi janjinya.
Beliau berkata, berkata kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dilaksanakan dengan baik dan teratur dan membuahkan hasil, agar dapat menghilangkan, jika ada, keraguan rakyat terhadap dasar dan projek kerajaan.


Beliau tidak sekadar berjanji. Kali ini, semua orang berpeluang menyaksikan kerisauan Perdana Menteri.


Beliau berkata adalah sangat merisaukan jika rancangan di bawah RMK-9 tidak dapat dilaksanakan sebagaimana diharapkan, manakala terdapat cakap-cakap yang mengatakan pelaksanaan kerajaan adalah lemah.


"Tak apalah orang nak komen. Kita akan pastikan pelaksanaan yang baik, tersusun dan teratur akan membuahkan hasil. Jadi dengan itu lama kelamaan keraguan rakyat akan hilang," katanya.


Mungkinkah selepas tamat tempoh perlaksanaan RMK-9, kita akan mendengar sekali lagi Perdana Menteri berkata: "Banyak kerja ni, janji dulu dok tengah buat".


Bolehkah rakyat menikmati manfaat RMK-9? Mungkin, tetapi rakyat yang mana? Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin pernah mengingatkan, kalaupun RMK-9 dapat membawa Bumiputera mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekonomi, "tetapi wang tidak berada di dalam poket kita tetapi di dalam poket kroni dan anggota keluarga mereka yang berkuasa, ia tidak cukup bagus!"


Mungkin ada sang perkasa yang boleh menjamin janji Perdana Menteri kali ini boleh terlaksana. Tetapi si mulut besar mana yang berani memberi jaminan itu jika segala-galanya bergerak seperti siput?


Lantaran itulah bergantung-gantungan beribu-ribu pertanyaan di jarum jam. Adakah Perdana Menteri tahu apa yang beliau cakapkan? Tak tahu bagaimana hendak tahu adakah dia tahu.


Sukar untuk tahu kerana pada masa yang sama beliau berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat pada masa ini.


"Saya anggap prestasi wakil rakyat pada waktu ini sebagai baik tapi yang perlunya tingkatkan khidmat mereka," katanya.


Tak tahu bagaimana nak tahu kerana tidak ada siapa yang tahu sejauh manakah benarnya hikayat penglipur lara Perdana Menteri tentang laporan aktiviti tiga bulan sekali wakil-wakil rakyat Barisan Nasional kepadanya.


Yang kutu ini tahu ialah gambaran ringkas yang diberikan oleh Jeff Ooi dalam blognya, Screenshots, mengenai wakil-wakil rakyat yang sepatutnya bersama-sama rakyat yang mengundi mereka ketika kesengsaraan akibat banjir menderitakan hidup mereka.


Perdana Menteri, kata Jeff, ketika itu dalam perjalanan ke Perth beberapa jam selepas beliau pulang dari lawatan rasmi ke Turki dan Mediterranean. Beliau mendakwa beliau memantau banjir dari jauh .


Dalam kabinet Perdana Menteri, kata Jeff lagi, tujuh dari mereka adalah wakil-wakil rakyat di Johor. Di mana mereka? "Saya dan pembaca saya dapat mengesan hanya beberapa orang sahaja, mungkin anda boleh membantu jika anda tahu".


1. Ahli Parlimen Pagoh merangkap Menteri (Pertanian) Muhyiddin Yassin hanya menunjuk muka selepas banjir melanda.


2. Ahli Parlimen Kota Tinggi merangkap Menteri (Luar) Syed Hamid Albar tidak kelihatan dalam akhbar-akhbar ketika banjir.


3. Ahli Parlimen Tanjung Piai merangkap Menteri (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Ong Ka Ting sedang menikmati cuti di luar negara dan memasang alat 'kawalan jauh' dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan akhbar melalui para pembantunya di dalam negara.


4. Ahli Parlimen Sembrong merangkap Menteri (Pelajaran) Hishammuddin Hussein?


5. Ahli Parlimen Pasir Gudang merangkap Menteri (Pembangunan Usahawan dan Koperasi) Khaled Nordin?


6. Ahli Parlimen Labis merangkap Menteri (Kesihatan) Chua Soi Lek?


7. Ahli Parlimen Penggerang merangkap Menteri (Belia dan Sukan) Azalina Othman Said?


Bagaimana dengan anggota Exco kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)?


Juga dilaporkan bahawa kira-kira 40 orang ahli Majlis Perbandaran Kluang sedang dalam lawatan rasmi di Shanghai sejak 22 Disember, lima hari selepas banjir besar melanda Johor. Setakat itu sahaja yang dapat dikesan oleh Jeff.


Membaca laporan Jeff itu, tidak hairanlah jika Perdana Menteri begitu berbangga dengan prestasi wakil-wakil rakyat Barisan Nasional pada waktu ini yang, menurut beliau, "baik".


Teringat orang tua-tua yang selalu berpesan kepada kita apabila kita begitu galak berjanji dan memuji: Baik-baik...! (http://penarikbeca.blogspot.com)

No comments: