Monday, February 26, 2007

Pinjaman buku teks dibatal kerana protes Kementerian Pelajaran?

Pinjaman buku teks dibatal kerana protes Kementerian Pelajaran?


Abdul Halim Mohd Rashid
Mon | Feb 26, 07 | 07:34:04 AM
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Adakah pembatalan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) secara otomatik pada tahun 2008 merupakan satu bentuk “protes” oleh Kementerian Pelajaran kerana peruntukan pembangunan kementerian itu dipotong dengan banyak daripada RM24.2 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) kepada RM17 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK9)?

Persoalan itu dibangkitkan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk A Kadir Jasin.

"Apakah kerana RM100 juta niat baik itu terpaksa dibatalkan? Atau apakah ini satu bentuk “protes” oleh pihak kementerian kerana peruntukan pembangunan Kementerian Pelajaran dipotong dengan banyak daripada RM24.2 bilion di bawah RMK8 kepada RM17 bilion di bawah RMK9?" beliau mempersoalkan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, dilaporkan berkata cadangan memberi buku teks percuma kepada semua pelajar tahun depan dibatalkan kerana memerlukan perbelanjaan tambahan RM104 juta setahun.

Mengulas begitu ramai pengunjung blognya yang menyentuh pembatalan itu, Kadir berkata, tidak menghairankan jika orang ramai mendapati isu pembatalan skim buku teks untuk semua sebagai membingungkan dan tidak masuk akal.

Pada 5 Februari lalu, katanya, Utusan Malaysia memetik Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sebagai berkata di Kepala Batas (kawasan Parlimen PM) bahawa semua pelajar sekolah di negara ini tanpa mengira status dan kedudukan kewangan keluarga mereka akan menikmati Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) secara automatik pada tahun 2008.

"Hishammuddin memilih kawasan Parlimen Perdana Menteri dan sebuah majlis Umno untuk mengumumkan berita baik itu".

Hishammuddin berkata, melalui pelaksanaan tersebut semua pelajar tidak perlu lagi melalui prosedur ketat termasuk menyertakan butir-butir kewangan keluarga bagi mendapatkan skim berkenaan.

Menurut Menteri Pelajaran lagi, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan dana yang mencukupi bagi meluaskan kemudahan itu kepada semua pelajar tanpa dibelenggu sebarang masalah terutama yang membabitkan soal birokrasi.

``Setakat ini kerajaan sudah memberikan kemudahan SPBT kepada lebih 80 hingga 90 peratus pelajar termasuk anak-anak guru yang menikmatinya secara automatik bermula tahun ini.

``Apa salahnya kalau kita luaskan kemudahan ini kepada baki 10 peratus yang tidak mendapatnya. Apa yang penting kita perlu pastikan tiada pelajar terpinggir daripada menerima kemudahan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gemilang 2020 anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Kepala Batas dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Pada 18 Februari, kata Kadir, Bernama pula melaporkan: “ Akhir tahun lepas, Kementerian Pelajaran mengumumkan skim pinjaman buku teks akan diberikan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun 2008.

Langkah kementerian tersebut menerima pujian dan sanjungan daripada ramai ibu bapa, terutamanya mereka yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan dibebani dengan perbelanjaan yang besar untuk membeli buku-buku teks.

"Ini menunjukkan kementerian prihatin dengan keperluan ibu bapa," kata kalangan orang ramai.

Tiba-tiba, menurut Kadir, langkah murni itu ditarik balik dengan begitu cepat. Noh berkata langkah itu telah dibatalkan kerana beberapa faktor.

Antaranya ialah kementerian terpaksa menanggung kos sebanyak lebih daripada RM104 juta lagi jika langkah itu dijalankan serta, setelah kementerian mendengar rayuan daripada pihak penerbit dan pengedar buku teks.

Noh menjelaskan skim pinjaman buku teks akan kekal pada sistem sekarang di mana hanya pelajar yang pendapatan keluarga tidak lebih daripada RM2,000 sebulan layak untuk skim tersebut.

Mengulas pembatalan itu, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad berkata: "Saya terkebil-kebil setelah membaca laporan berkenaan.

"Saya tanya diri saya sendiri: apa dah jadi ni? Kerajaan boleh batalkan skim buku teks yang meliputi seluruh pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara mulai 2008, semata-mata kerana tak mau menanggung kos tambahan yang melebihi $100 juta?"

"Apa hal ni? Hari tu kata boleh, hari ni kata tak boleh? Ingat ini iklan biskut ke? Sekejap ada, sekejap tak ada? Ini masalah rakyat. Ini masalah kesejahteraan dan keselesaan rakyat."

"Bukankah dua hari lalu, Perdana Menteri kata bahawa indeks keselesaan rakyat Malaysia kini meningkat? Jadi, tidakkah dolak-dalik seperti ini akan merdumkan indeks keselesaan yang diheboh-hebohkan itu?"

Tindakan itu, katanya, akan dipersoalkan oleh rakyat ketika beratus-ratus juta ringgit dibelanjakan untuk membeli pesawat pewah untuk kegunaan Perdana Menteri dan, menurut dakwaan Perdana Menteri, untuk pembesar-pembesar negara.

"Rakyat akan tanya, beli belon [bahasa Sarawak, ertinya kapalterbang] beratus-ratus juta ringgit kenapa boleh? Belon tu bukan boleh dinikmati manfaatnya oleh berjuta-juta manusia yang memerlukannya."

"Tapi, kenapa boleh? Buku teks yang membantu hidup berjuta-juta rakyat jelata, kenapa tak boleh?"

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Tahniah Hdailyblog! Cek rasa ni pengurusan ni sama ngan pejabat Harakah no. Kalau tak sama pun takpa, asalkan berita tu kita leh komen.

Er...SDahij pun ada sini ka? Takpa lah. Dia pun dia, asal cek leh komen nanti no.


Wassalam
Amir Hamzah
hamirak2004@yahoo.co.uk

Jamna said...

http://jamna.blogspot.com/

Aneh! Itulah reaksi yang dapat saya nyatakan terhadap beberapa isu yang melibatkan badan eksekutif tertinggi di negara kita.

Sebagai seorang bapa kepada lima anak yang sedang bersekolah, pengumuman memanda Menteri Pendidikan dua tahun lepas bahawa kerajaan akan menyediakan pinjaman buku teks kepada semua murid sekolah bermula sessi persekolahan tahun 2008 amat melegakan saya. Ia melibatkan penjimatan wang yang agak besar ketika musim sessi sekolah bermula. Awal tahun ini sahaja, sejumlah wang yang saya mampu kumpul dan asingkankan khusus untuk biaya awal persekolahan tidak cukup. Terpaksa pula saya meminjam wang simpanan isteri saya. Entah bila pula nak bayar semula, saya sendiri kurang pasti. Untung juga tidak pinjam dengan “Ah Long”, kalau tidak bunganya (riba’) saja boleh mencapai puluhan ribu ringgit. Walhal, saya pasti ramai juga di luar sana yang terpaksa mengadu nasib pada “Ah Long” kerana tiada alternatif lain.

Tetapi, bila minggu lepas memanda Perdana Menteri pula mengumumkan bahawa kerajaan menarik balik hasratnya untuk memberikan pinjaman buku teks kepada seluruh warga pelajar, saya kecewa dan mengandaikan sesuatu yang amat tidak kena berlaku kepada sistem dan pengendalian kabinet Malaysia. Dinyatakan oleh memanda PM bahawa dengan sesungguhnya negara kita tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan buku teks kepada seluruh warga pelajar yang meilbatkan ongkos ratusan juta ringgit. Mungkinkah memanda PM lupa, kira-kira beberapa purnama lalu beliau mengumumkan peruntukan khas RMK-9 sebanyak RM600 juta untuk diagihkan melalui ketua-ketua bahagian “Parti Cap Keris” seluruh negara. Wang sebanyak itu pastinya lebih dari cukup kalau sekadar untuk membeli buku teks anak-anak sekolah.

Ada pihak menyebut bahawa memanda Menteri Pendidikan tidak merujuk kepada kabinet ketika mengumumkan keputusannya untuk memberikan pinjaman buku teks dua tahun lalu. Kalau itu yang sebenarnya terjadi, kenapa perlu mengambil masa dua tahun untuk membuat pembetulan? Apakah mungkin kabinet Malaysia selembab itu?

Apakah juga mungkin seorang menteri kabinet boleh mengumumkan sesuatu program yang melibatkan ratusan juta ringgit duit negara tanpa merujuk kepada persidangan kabinet? Apakah mungkin menteri kita sampai begitu tahap tidak cerdiknya? Bagaimana pula dengan tahap kecerdikan memanda menteri lainnya? Apakah tidak mungkin mereka semua itu sebenarnya dua kali lima?

Dua hari lepas, kabinet membuat keputusan pula untuk membatalkan tawaran hadiah cabutan bertuah kereta nasional kepada warga Malaysia yang menukar kad pengenalan mereka kepada Mykad sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. Sekonyong-konyongnya, tindakan itu karut! Begitulah kata memanda menteri yang menjaga urusan dalam negeri.

Hakikatnya, tiada siapa yang meminta diadakan hadiah dan tiada siapa memohon diadakan cabutan bertuah. Angin tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba sahaja memanda menteri terdahulu menawarkan hadiah. Mungkin kerana teramat gembiranya beliau mendapat isteri baru yang digelar “wanita Melayu tercantik” waktu itu. Tetapi janji adalah janji….oh yaa, mungkin…kecuali janji menteri! Saya teringat seorang bekas ilmuan negara sekonyong-konyong berpantun, “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri”.

Angin tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba sahaja memanda menteri baru membatalkan tawaran hadiah yang dijanjikan oleh menteri lama. Kalau arwah P. Ramlee masih hidup, mungkin beliau boleh buat filem lawak yang hebat dengan cerita ini. Kalau dulu ada filam “Musang Berjanggut”, musang jenis apa pula agaknya yang layak diberi nama untuk menggambarkan situasi kabinet negara kita sekarang.

Begitu juga halnya dengan keputusan kabinet untuk menawarkan hadiah kepada warga yang mendapat bukti bergambar pemandu yang melanggar peraturan jalanraya. Keputusan tersebut dibatalkan semula selepas 3 hari diumumkan. Apa dah jadi dengan kabinet Malaysia dan seluruh memanda yang berada di dalamnya? Anda berada dalam badan tertinggi membuat keputusan berkenaan dengan polisi negara yang melibatkan kehidupan dua puluh juta manusia.

Takkan pak menteri kita bermesyuarat dan buat keputusan macam para JKKK bermesyuarat dan buat keputusan. Mestilah dibincang secara tuntas, baik buruk ditimbang sebaik mungkin, dan segala pandangan diambil kira, barulah boleh buat keputusan. Tapi, kalau itu semua telah dilakukan, bagaimana mungkin sesuatu keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat kabinet boleh dibatalkan selepas 3 hari sahaja. Apakah mereka menggunakan kaedah melontar duit syiling di dalam membuat keputusan sepertimana para pelajar sekolah yang kurang cerdik meneka jawapan dalam soalan objektif? Tentunya itu tidak logik dilakukan oleh para memanda yang gajinya berbelas ribu tak termasuk pelbagai elaun dan kemudahan lainnya

Anonymous said...

Saya nak tambah sikit pada "entunya itu tidak logik dilakukan oleh para memanda yang gajinya berbelas ribu tak termasuk pelbagai elaun dan kemudahan lainnya" oleh jamna>

Gaji berbelas ribu.
Elaun menteri, wakil rakyat, dan pelbagai jawatan dalam kerajaan.
Elaun meeting dan perjalanan.
Letrik dan air free.
Driver dan orang gaji free.
Minyak kereta free (entah berapa banyak kereta)
Cuti free (rakyat ramai cuti pun tak mampu!)

Selain dari yang atas, berapa banyak syarikat lantik crony dan proxy mereka sebagai direktor.

Dah tu leh bagi menantu saham syarikat kat BSKL tu - free gak!

Tak cukup tu, nak dijual pula Malaysia ni. Hai...manalah kita nak menetap nanti ye?

- Syapina