Wednesday, February 28, 2007

Pelantikan Anwar akan tamatkan spekulasi masuk Umno

Pelantikan Anwar akan tamatkan spekulasi masuk Umno


Ali Bukhari Amir
Wed | Feb 28, 07 | 09:38:36 AM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) – Pencalonan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan sendirinya akan menamatkan spekulasi bahawa Anwar akan kembali semua ke pangkuan Umno, demikian menurut Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


“Anwar adalah antara pengasas PKR dan ahli-ahli parti itu mahu beliau terus mengetuai parti itu,” kata beliau baru-baru ini.


“Kami sedang menunggu keputusan mesyuarat semua bahagian yang akan tamat pada Mac ini. Kami jangka hampir keseluruhan bahagian akan bersetuju dengan usul itu. Sekarang mesyuarat antara bahagian sedang berjalan dan kita menunggu hasil keputusan mesyuarat itu,” kata Khalid.


Sebelum ini, kritikan Anwar ke atas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung isu pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Sharibuu telah dilihat adalah sebagai usaha Anwar untuk menjatuhkan Najib sekali gus sebagai laluan untuk beliau kembali kepada Umno, demikian menurut beberapa komentar di beberapa media alternatif.


“Pelantikan Anwar sebagai Presiden akan menguatkan lagi tekad perjuangan untuk meneruskan agenda reformasi. Jadi, spekulasi bahawa dia memasuki Umno berikutan serangannya ke atas Najib berhubung kes Altantuya itu, akan terhenti dengan sendirinya melalui pencalonan ini,"katanya.


Pencalonan Anwar sebagai Presiden bagi menggantikan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diputuskan dalam mesyuarat PKR Bahagian Kelana Jaya pada 11 Februari lalu.


“PKR melihat, 'kesalahan' beliau sebelum ini ada motif dan unsur politik. Jadi, beliau bukan seorang pesalah dalam erti kata yang sebenarnya."


“Kita mempunyai alasan yang kuat mencalonkan beliau. Anwar adalah pensyarah di universiti antarabangsa. Kini, beliau sudah kembali menumpukan kegiatan politiknya dalam Malaysia walaupun ada sekatan undang-undang yang menghalang penyertaannya dalam politik sehingga April, tahun depan."


Mengulas kemungkinan akan timbulnya bantahan pihak-pihak tertentu ke atas usul pencalonan Anwar, Khalid berkata, beliau tidak menolak hal itu mungkin berlaku.


“Kita jangkakan semua pihak akan menerimanya. Kalau ada bantahan sekalipun, mungkin semua itu ada kaitannya dengan kelulusan daripada pihak pendaftar pertubuhan (ROS),” kata beliau. - mks.

No comments: