Sunday, February 25, 2007

Pemilihan Ketua AMK, AMKNS laungkan sokongan kepada anak didik Ezam

Pemilihan Ketua AMK, AMKNS laungkan sokongan kepada anak didik Ezam


Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Feb 24, 07 | 04:19:45 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan Parti KeADILan Rakyat (KeADIlan) dan sayap parti bagi tahun 2007 bakal menyaksikan pertarungan antara muka-muka 'popular' dalam KeADIlan.


Dari jawatan Presiden hinggalah ke jawatan di bahagian sayap Angkatan Muda KeADIlan (AMK) menyaksikan dua atau tiga nama yang dicalonkan bagi jawatan tertinggi setiap sayap dan pusat.


ImageCalon Presiden sahaja menyaksikan Penasihat KeADIlan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendapat banyak pencalonan sementara isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini menyandang jawatan Presiden turut dicalonkan, meskipun dalam satu kenyataannya, Dr Wan Azizah sedia memberi jalan kepada Anwar untuk menerajui parti bagi tahun 2007.


Untuk rekod, setakat ini Anwar telah menerima pencalonan sebagai Presiden dari Badan Perhubungan KeADIlan Negeri Selangor dan beberapa bahagian di Perak dan Pulau Pinang.


Pemilihan parti pula akan diadakan pada Mei ini dalam Persidangan Kongres KeADILan tahun 2007.


Pencalonan di peringkat pemuda juga tidak kurang hebatnya, selepas mantan Ketua AMK, Ezam Mohd Noor melepaskan jawatannya pada september tahun lalu, kedudukan kerusi Ketua AMK panas dengan pencalonan kini tertumpu kepada dua nama besar dalam AMK, iaitu Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin seorang Peguam muda dan aktivis reformasi yang juga rakan Ezam, Badrul Hisham Shaharin yang cukup terkenal dengan kisah ditahan polis semasa berdemonstrasi.


Perlu matang, dan sejarah perlu diambil iktibar

Dalam satu kenyataan yang diberi AMK Negeri Sembilan (AMKNS), Ketuanya, Ariffin Berham berkata, melihat sejarah pertandingan dalaman parti ini (ahli dan khususnya pimpinan) seharusnya menjadi lebih matang dan sejarah pemilihan lepas seharusnya dijadikan ikhtibar.


Pemilihan kali ini menjadi lebih penting kerana pasukan yang dipilih kali inilah akan menerajui parti menghadapi pilihan raya umum yang terlalu hampir, katanya.


Sikap berlapang dada dan bekerja keras seharusnya menjadi pegangan setiap pemimpin dan bukan bekecil hati dan berpandangan sempit, katanya.


AMK seharusnya diberikan petunjuk baru melalui pemilihan parti kali ini untuk melihat wajah ’winning team’ yang muda, berani dan penuh strategi untuk memacu AMK pusat menghadapi pilihan raya akan datang, katanya.


Badrul miliki 'track record' gerak kerja bersama NGO

Menurut Ariffin, berdasarkan ’track record’ gerak kerja selama ini maka AMKNS menyatakan sokongan dan dokongan terbuka kepada Badrul Hisham untuk mengisi kekosongan Ketua Angkatan Muda Malaysia yang ditinggalkan oleh Mohamad Ezam.


Pengalaman Badrul Hisham bergerak bersama NGO termasuk di peringkat antarabangsa amat diperlukan oleh gerakan muda seperti AMK, katanya.


Penglibatan beliau sebagai perancang dan sanggup berada di barisan paling depan dalam banyak program reformasi khususnya selepas penangkapan ISA-Reformasi dan terus bergerak aktif sehingga kini adalah bukti komitmen beliau yang tidak berbelah bagi terhadap agenda perubahan negara, katanya.


Pemimpin 'winning team'

Pengalaman bergerak bersama Badrul dalam AMKNS telah menyebabkan AMKNS begitu yakin jika Badrul Hisham terpilih menjadi Ketua AMK maka ia mampu memacu AMK Pusat dengan wajah 'winning team'.


AMKNS berharap agar kepimpinan dan pengalaman Badrul Hisham dapat dicurahkan ke arah memantapkan lagi Angkatan Muda keADILan, katanya.


ImageBadrul Hisham juga menggalas tugas sebagai Eksekutif Koordinator Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang dipimpin Ezam sekarang sebelum dan selepas meninggalkan semua jawatan penting dalam KeADILan.


Gerak adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif dan lantang menyuarakan isu-isu rasuah, penyelewengan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung isu rasuah serta penyelewengan.


Terbaru, Gerak yang kini dipimpin bersama Ezam dan Badrul Hisham akan membuat satu pendedahan berhubung salah laku jenayah Pegawai Tinggi Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 26 Februari ini dalam satu sidang media khas Ezam di pejabatnya di Kelana Square.


Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali kini mendahului pencalonan bagi jawatan timbalan presiden parti itu.


Azmin dijangka membuat pengumuman sama ada bertanding atau tidak sewaktu mesyuarat PKR Gombak pimpinannya yang akan berlangsung di Anjung Rahmat, jam 9.00 pagi esok.


Selepas sepuluh bahagianKeADILan mengadakan mesyuarat masing-masing Azmin mendahului dengan mendapatkan enam pencalonan manakala penyandang jawatan tersebut, Syed Husin Ali menerima dua pencalonan.


Dua lagi pemimpin KeADILan yang turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden ialah Ketua Penerangannya, Tian Chua (bahagian Tanjung) manakala bahagian Merbok pula mencalonkan bekas Ketua AMK, Ezam Mohd Noor.


Azmin mendapat pencalonan daripada bahagian Lumut, Kelana Jaya, Bagan Serai, Ketereh, Bukit Gantang dan Sungai Petani.


Sementara Syed Husin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden, mendapat dua pencalonan iaitu dari bahagian Kuala Kangsar dan Sabak Bernam.


Anwar pula mendahului pencalonan untuk jawatan Presiden dengan tujuh pencalonan sementara dua bahagian lagi mencalonkan Wan Azizah untuk mempertahankan jawatan tersebut.


Manakala bahagian Merbok yang bermesyuarat semalam mencalonkan bekas Timbalan Presiden KeADILan, Abdul Rahman Othman untuk bertanding jawatan Presiden.


Bahagian yang mencalonkan Wan Azizah ialah Sungai Petani dengan Kuala Kangsar. Kecualil Merbok, yang lainnya mencalonkan Anwar.


Sebanyak 167 bahagian PKR di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat bahagian yang bermula pada 1 Februari lalu dan dijadual berakhir pada 31 Mac depan.


Setiap bahagian akan menghantar 12 perwakilan ke Kongres Nasional PKR di Seremban, Mei depan yang terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian serta yang dipilih dalam mesyuarat perwakilan.


Pencalonan yang dibuat di peringkat bahagian akan dihantar ke ibu pejabat untuk calon-calon mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan tersebut.

1 comment:

Anonymous said...

assalamu'alaikum wbt

selamat memilih pemimpin utk PKR...

jgn jadi cam UMNO, krn nak menang, sanggup guna politik wang...

jadilah cam PAS, pemimpin nya bekerja bukan kerana habuan dunia...

TAHNIAH DI ATAS PELANCARAN BLOG INI...SEMOGA DAPAT DIJADIKAN SEBAGAI SALAH SATU SALURAN UNTUK MENYAMPAIKAN MAKLUMAT BENAR SECARA LEBIH BERKESAN DALAM DUNIA TANPA SEMPADAN...