Friday, March 2, 2007

Awas teknik-teknik mengelirukan semasa ditahan

Awas teknik-teknik mengelirukan semasa ditahan


Saari Sungib | abuurwah@gmail.com
Fri | Mar 02, 07 | 08:38:17 AM
Selain teknik "we know all", teknik-teknik lain yang digunakan oleh SB semasa soal-siasat ISA yang sama dengan teknik yang digunakan oleh CIA di Guantanamo Bay adalah:

"Repetition approach"
Teknik ini pada dasarnya adalah sama dengan teknik "rapid fire". Teknik rapid fire telah saya huraikan dengan panjang lebar dalam beberapa siri sebelum ini. Jika teknik rapid fire tujuan utamanya adalah untuk melahirkan rasa kecewa dalam diri tahanan, maka teknik repetition approach ini tidak ada tujuan selain daripada semata-mata meletihkan dan melahirkan rasa bosan dalam diri tahanan.

Ini kerana rapid fire biasanya dilakukan oleh ketua Pegawai Penyiasat (IO), sedangkan repetition approach ini hanya sekali-sekala sahaja digunakan oleh ketua IO. Dalam banyak keadaan teknik ini ditugaskan kepada timbalan ketua IO atau IO-IO lain dalam pasukan. Ada kalanya juga, teknik ini digunakan apabila satu pasukan baru mengambil-alih tugas soal-siasat terhadap tahanan.

Bagi tahanan yang berharap bahawa memberi kerjasama dengan menjawab soalan-soalan yang diulang-ulang itu boleh membuka peluang kepadanya untuk dibebaskan awal atau tidak dihantar ke Kem Kamunting, maka biasanya ia akan berusaha untuk mengatasi rasa bosannya itu. Proses membosankan tahanan oleh IO-IO dan juga proses mengatasi kebosanan oleh tahanan sebenarnya adalah bertujuan untuk meletakkan tahanan di bawah kawalan penuh IO-IO!

Keadaan ini akan mewujudkan rasa pergantungan dalam diri tahanan terhadap IO-IO. Satu manfaat yang hendak dicapai oleh IO-IO apabila wujud rasa rasa kebergantungan ini adalah agar hapus perasaan benci terhadap perbuatan dan tindakan IO-IO terhadap tahanan.

Setelah berlalunya 'proses kerjasama' tahanan dengan menjawab soalan-soalan yang diulang-ulang oleh IO-IO dan IO-IO pula sudah berpuas hati, maka wujudkan rasa seperti persahabatan di antara tahanan dengan IO-IO!

Tahanan akan merasakan bahawa IO-IO itu adalah rakannya! Tahanan akan menjadi terlupa bahawa selama proses berjalan ia sebenarnya telah dizalimi oleh satu undang-undang yang zalim!

Awas! Teknik ini amat mengelirukan. Saya tidak ada jawapan yang putus bagi menghadapi teknik ini. Saya sendiri ketika melalui proses ini mendapatinya sukar untuk tidak melayan soalan-soalan IO-IO yang berulang-ulang ditujukan kepada saya.

Apa yang penting adalah jika ia berlaku kepada anda, ingatkanlah diri anda bahawa tujuan teknik ini hanyalah bagi membuat anda merasa bosan. Jika anda cuba mengatasi perasaan bosan ini, risikonya adalah akan wujud rasa kebergantungan diri anda terhadap IO-IO itu.

Oleh itu berhati-hatilah agar ini tidak berlaku kepada anda!

Langkah terbaik adalah dengan anda tidak perlu bersusah payah mengatasi perasaan bosan anda itu. Ini anda lakukan dengan menjawab saja soalan-soalan yang dikemukakan walaupun ianya diulang-ulang berkali-kali.

Atau, kalau mampu anda boleh berdiam diri sahaja tanpa perlu menjawab. Itu pun jika anda sanggup dihukum dengan solitary confinement untuk beberapa hari kerana tidak mahu menjawab soalan-soalan mereka!

"File and dossier"
Teknik ini merupakan satu teknik yang digunakan oleh IO-IO dengan mempersalahkan anda kerana mereka sendiri telah dimarahi dan dipersalahkan oleh boss-boss atasan mereka.

Sandiwara ini bermula dengan mereka menampakkan diri mereka sebagai amat bersungguh-sungguh mencatatkan kenyataan-kenyataan anda semasa beberapa hari pertama soal-siasat.

Seorang IO akan ditugaskan oleh ketua IO dari semasa ke semasa keluar masuk bilik soal-siasat membawa lembaran-lembaran print-out daripada komputer yang menunjukkan itulah laporan yang telah mereka sediakan tentang siasatan terhadap tahanan.

Ketua IO akan berulang-ulang menyatakan bahawa mereka akan mengemukakan laporan tersebut kepada bos-bos atasan mereka. Sesudah boss-boss mereka berpuas hati, barulah laporan siasatan terhadap tahanan itu akan dibawa kepada satu pasukan khas di KDN – Kementerian Dalam Negeri.

Ketua IO menerangkan bahawa selepas pasukan elit KDN menyemak laporan tersebut dan membandingkannya dengan semua maklumat tentang tahanan, jika ada perkara yang tidak tepat dalam laporan tersebut, maka laporan siasatan itu akan diserahkan semula ke Bukit Aman.

Setelah IO-IO memperbetulkan perkara-perkara yang tidak tepat itu barulah sekali lagi laporan siasatan itu diserahkan kepada pasukan elit KDN. Bila pasukan elit KDN berpuas hati sepenuhnya, barulah laporan siasatan tersebut itu diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri.

Ketua IO dan IO-IO pembantunya akan berulang-ulang kali mengatakan bahawa sesudah laporan siasatan yang mereka sediakan diserahkan kepada pasukan elit KDN, mereka sudah tiada kuasa apa-apa lagi terhadap tahanan!

Mereka berkali-kali akan berkata mereka tidak suka menganiaya sesiapa. Mereka hanya membuat kerja penyiasatan. Tugas untuk mendalami laporan siasatan adalah kerja pasukan elit KDN. Pasukan inilah yang menasihatkan Menteri Dalam Negeri apa yang perlu dilakukan terhadap tahanan!

SB-SB, IO-IO dan Bukit Aman sudah tiada apa-apa kuasa lagi terhadap laporan siasatan yang telah diserahkan kepada pasukan elit KDN itu!

Kalau tahanan peka dan sensitif sepanjang sesi-soal siasat, tahanan akan sedar bahawa lenggok bahasa seperti ini berlaku sekitar tiga atau empat minggu selepas tahanan disoal-siasat.

Lenggok bahasa IO-IO seperti ini sebenarnya bercanggah dengan apa yang mereka sendiri tuturkan pada minggu pertama tahanan disoal-siasat oleh mereka. Pada peringkat awal, mereka mengatakan bahawa masa depan dan berapa lama tahanan akan disoal-siasat semuanya bergantung kepada mereka! Merekalah yang menentukan segala-galanya. Mereka jugalah yang akan menentukan nasib tahanan sama ada akan dihantar ke Kem Kamunting atau tidak!

Ingat jika ini berlaku kepada anda, sebenarnya anda sedang berada dalam fasa soal-siasat di mana ketua IO dan IO-IO sedang menyediakan anda untuk mereka gunakan teknik "file and dossier" terhadap anda.

Pada hari yang semalamnya ketua IO mengatakan bahawa beliau telah mengemukakan laporan siasatan terhadap anda, ketua IO akan masuk ke dalam bilik soal-siasat dengan menampakkan wajah yang murung, berserabut dan membebel-bebel mempersalah anda.

Ketua IO akan mengatakan bahawa dia telah dimarahi oleh boss-boss atasannya kerana terlalu mempercayai anda sehingga sanggup memuatkan maklumat yang tidak tepat dan palsu dalam laporan siasatan!

Ketua IO akan mengatakan kepada tahanan bahawa sepanjang beliau bertugas sebagai pegawai penyiasat tidak pernah beliau dimarahi sedemikian teruk oleh bos-bosnya. Kerana itu, beliau mesti bekerja lebih waktu dan tidak boleh balik malam untuk membetulkan perkara-perkara yang tidak tepat dalam laporan siasatan terhadap tahanan itu.

Teknik mempersalahkan anda yang digunakan oleh ketua IO biasanya tidak dalam bentuk agresif dan radikal. Sebaliknya ianya dilakukan dalam bentuk yang begitu emosional.

Teknik emosional yang digunakan oleh ketua IO dalam mempersalahkan anda itu sekali gus menampakkan seolah-olah beliau turut mempersalahkan dirinya sendiri kerana telah berjaya diperdaya oleh anda!

Jika anda tidak berhati-hati, secara spontan anda akan menjadi simpati dengan keadaan emosional yang dipamerkan oleh ketua IO itu. Untuk itu dengan tidak sedar anda akan terbawa-bawa mempertahankan beliau!

Bila keadaan ini wujud, anda akan merasa seperti kasihan terhadap ketua IO dan IO-IO dan seterusnya wujudlah hubungan yang lebih bersahaja antara anda dengan mereka.

Awas, jika ini berlaku kepada anda ingatlah bahawa teknik "file and dossier" hanyalah bertujuan untuk mewujudkan 'working relationship' yang lebih intim antara anda dengan IO-IO!

Sekiranya anda terjerumus ke dalam perangkap ini, satu hubungan emosional akan terjalin antara anda dengan mereka hinggakan anda tidak sedar bahawa seluruh proses tersebut sebenar telah mencabul hak asasi anda, merampas kebebasan anda dan ISA telah menzalimi diri anda serta keluarga anda!

Tidak hairan kenapa ramai bekas tahanan ISA seolah-olah tidak merasakan bahawa SB-SB itu adalah instrumen kejam pemerintah dalam mencabul hak asasi mereka serta menzalimi mereka di atas nama ISA!

Jika anda melalui fasa soal-siasat dengan IO-IO menggunakan teknik ini, ingatkan apa yang mereka katakan tentang pasukan elit KDN itu hanyalah bohong belaka. Tidak wujud perkara seperti itu. Seluruh operasi ISA adalah di bawah pengendalian penuh SB di Bukit Aman!

No comments: