Friday, March 2, 2007

Pelantikan TKP DBP, pihak kesatuan mungkin bawa kes ke mahkamah

Pelantikan TKP DBP, pihak kesatuan mungkin bawa kes ke mahkamah


Ali Bukhari Amir
Fri | Mar 02, 07 | 12:48:55 AM
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mungkin akan membawa isu berhubung pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) DBP yang terbaru ke mahkamah sekiranya isu tersebut tidak dapat diselesaikan secara dalaman.

Yang Dipertua kesatuan Hasni Abas berkata keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat kesatuan pada 22 Februari lalu.

"Kita tidak dapat menerima keputusan ini kerana ia membabitkan soal perundangan dan akta yang kami gunakan selama ini untuk melantik seseorang bagi mengisi jawatan-jawatan tertentu."

"Kita perlu memastikan bahawa amalan pelantikan kepimpinan ini berjalan dengan baik berasaskan undang-undang DBP. Jika tidak, hal ini akan berterusan dan diamalkan sebagai suatu budaya pula."

"Akhirnya," kata Hasni, "kita sudah tidak lagi mempedulikan peraturan. Apabila hal ini berlaku, suatu masa nanti kenaikan pangkat seseorang adalah berasaskan perasaan suka atau tidak suka oleh seseorang individu ke atas individu lain, tanpa mempedulikan kelayakan akademik mereka."

Hasni berkata, tindakan mahkamah dibuat apabila pihak kesatuan melihat telah tiada penyelesaian melalui kaedah lain.

"Sepucuk surat telah kami terima daripada pihak pengurusan. Ia menyebutkan, pelantikan sudah pun dibuat dan kami perlu menerimanya dan bekerja seperti biasa," kata beliau.

Ketika ditanya, tidakkah hal menghebahkan isu ini ke media akan menjejaskan nama baik DBP, Hasni berkata, hal menjaga nama baik itu bermula daripada pihak atasan dan ia melibatkan semua pihak.

"Jika mahu menjaga nama baik, jangan melakukan hal yang bertentangan dengan peraturan. Yang kami lakukan sekarang adalah respon terhadap amalan pihak atasan sebelum ini."

"Pihak kesatuan boleh menjaga nama baik, tetapi pihak atasan harus juga menjaga nama baik dengan mengikut segala proses pelantikan yang telah sedia ada," kata beliau.

Seorang ahli kesatuan DBP yang enggan disiarkan namanya berkata, kes ini perlu diberi perhatian serius memandangkan DBP adalah lambang dan asas kepada kewujudan tamadun Melayu.

"Sebelum ini hal pelantikan seperti yang sama telah diamalkan di beberapa jabatan. Tetapi, kami tidak membawa kes ini kerana ia melibatkan orang-orang bawahan. Selain itu, kita tiada sebarang bukti seperti dokumen yang kuat untuk mengesahkan hal tersebut," kata sumber itu. - mks.


No comments: