Sunday, March 11, 2007

PAS tetap sertai pilihan raya umum akan datang - Presiden PAS

Image
PAS tetap sertai pilihan raya umum akan datang - Presiden PAS
Azamin Amin
Sun | Mar 11, 07 | 10:32:39 AM
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Hrkh) - PAS telah memutuskan dalam mesyuaratnya hari ini untuk tetap menyertai pilihan raya umum akan datang demi memulihkan demokrasi negara yang telah pincang dan menyelamatkan nasib rakyat jelata yang semakin terbeban selama ini.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang berkata PAS akan terus bersama rakan-rakan Barisan Alternatif (BA) dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam agenda menuntut demokrasi yang adil dan akan menyertai pilihan raya sebagai jalan dan peluang untuk memulih demokrasi yang telah dirosakkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

"Dalam masa yang sama PAS akan terus meningkat perjuangan bersama rakan BA dan NGO supaya berlaku reformasi dalam demokrasi negara ini dan kita bersama-sama akan berdepan dengan pilihan raya walaupun wujud peraturan-peraturannya yang tidak adil," katanya ketika sidang media yang diadakan sejurus selepas mesyuarat bulanan yang pertama kali diadakan di Pejabat Agung PAS yang baru.

"Kita masuk bertanding supaya rakyat dapat diselamatkan melalui demokrasi bukannya ditipu dan diperbodohkan melalui demokrasi," katanya lagi.

Mesyuarat hari ini katanya membincangkan dua perkara penting iaitu isu pilihan raya umum dan isu-isu semasa seperti kenaikan harga barang, tol dan juga Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menggugat nasib rakyat jelata khususnya para petani, nelayan, buruh pekerja kilang dan rakyat termiskin.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh seluruh pimpinan daripada Dewan Harian PAS,Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan pesuruhjaya negeri seluruh Malaysia.

Turut hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan Haji Mohamad Sabu.

Ustaz Hadi turut menyatakan bahawa wujud demokrasi yang luar biasa bagi negara ini kerana sehingga kini tarikh pilihan raya juga masih menjadi teka teki kepada umum sedangkan negara-negara yang mendokong sistem demokrasi yang lain telah mengetahui tarikhnya lebih awal.

Kemenangan BN tidak demokratik
Lebih malang lagi katanya proses pilihan raya berlaku dengan pelbagai kepincangan seperti wujud pengundi pos, daftar pemilih yang tidak bersih, sokongan daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), media yang tidak bebas dan peluang bersuara pihak pembangkang yang dinafikan yang semuanya menjurus ke arah untuk menjamin kemenangan BN secara tidak demokratik.

"Rakyat yang menjadi hakim dan juri pun tidak berupaya dan tidak mampu untuk membuat keputusan yang tepat sebaliknya hanya mendengar, melihat dan membaca laporan dari satu pihak sahaja serta laporan yang benar daripada pembangkang sering kali dinafikan," katanya lagi.

Ketika ditanya wartawan sama ada PAS akan terus membawa agenda 'Negara Islam' dalam pilihan raya akan datang, Ustaz Hadi menjawab bahawa dalam perlembagaan ianya dibenarkan sambil memberi contoh bahawa negara-negara lain yang mendokong ideologi komunis, kapitalis, fasis masih boleh diterima oleh rakyatnya, maka beliau yakin 'Islamic State' yang ingin ditonjolkan oleh PAS boleh diterima oleh orang bukan Islam.

"Anda boleh rujuk Kelantan sebagai contoh yang baik bahawa PAS diterima oleh bukan Islam malah sehingga kini tiada sebarang aduan diterima bahawa orang bukan Islam di Kelantan ditindas dan dianiaya," katanya.

"Dan sehingga kini PAS masih mendapat kepercayaan dan mandat daripada rakyatnya kerana telah berjaya membuktikan Islam yang dibawa, adil kepada semua."

"Islam dari segi agama, tidak boleh memaksa orang bukan Islam menganutinya tetapi Islam sebagai wadah politik boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat," katanya lagi.

Beliau turut ditanya tentang kemungkinan PAS akan meletakkan dan menambah calon-calon wanita dalam pilihan raya akan datang, Ustaz Hadi berkata isu pencalonan bagi wanita bukanlah sesuatu yang baru malah telah diputuskan semenjak pertama kali pilihan raya diadakan.

Faktor Anwar Ibrahim
"Pilihan raya 1959 sebagai bukti PAS berjaya mengangkat dan memartabatkan kaum wanita sehingga ke Parlimen dan wanita yang pertama itu ialah Allahyarhamah Khadijah Sidek," katanya.

Berhubung persetujuan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding sebagai calon Presiden KeADILan dan seandainya berjaya, menjadi satu persaingan dan menggugat pengaruh dan sokongan rakyat terhadap PAS, beliau menjelaskan bahawa PAS dan KeADILan mempunyai hubungan yang erat sebagai rakan, malah apa jua keputusan yang dilakukan, dihormati bersama.

"PAS meraikan kesanggupan Anwar untuk memimpin KeADILan dan kita menghormati beliau yang masih mempunyai pengaruh, sama ada di dalam atau di luar Umno termasuk di dalam kerajaan yang akan memberi sokongan kepadanya sama seperti sokongan pada tahun 1999," katanya lagi.

Beliau turut menjawab pertanyaan wartawan bahawa sehingga kini PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dengan DAP, namun atas kapasiti dan sifat sebagai rakan pembangkang, PAS masih bersama menentang kezaliman, mempertahankan demokrasi dan memperjuangkan keadilan serta hak-hak asasi manusia bersama dengan semua parti pembangkang termasuk juga DAP.

"Namun, dalam konteks pilihan raya kita tidak ada sebarang hubungan dengan DAP setakat ini," katanya lagi.

Turut ditanya tentang keyakinan PAS merampas kembali Terengganu, beliau positif tentang perkara itu, malah pada pilihan raya umum 2004, rakyat masih memberi sokongan kepada PAS namun hasil 'post mortem' yang dijalankan beberapa kawasan menunjukkan ada kawasan yang menurun dua peratus dari segi sokongan dan ada yang meningkat tiga peratus tetapi penambahan pengundi yang luar biasa melebihi penduduk kawasan yang menimbulkan kesangsian sehingga menyebabkan PAS kalah.

Masuk pilihan raya, beri peluang kepada rakyat
Ditanya tentang tarikh pilihan raya, Ustaz Hadi secara berseloroh menjawab: "Kilat sabung menyabung, petir telah memancar dan guruh sudah berdentum namun ramalan kaji cuaca adakalanya tepat dan adakalanya tidak."

"Jangan tanya saya, tanya Perdana Menteri tetapi PAS telah sediakan payung sebelum hujan," katanya sambil disambut gelak para wartawan yang hadir.

Dalam pada itu Setiausaha Agung PAS, Kamarudin Jaffar ditanya tentang kesanggupan PAS untuk menyertai pilihan raya walaupun tuntutan PAS dan Bersih terhadap proses pilihan raya tidak dipenuhi oleh SPR sama sekali, beliau berkata walau apa pun pertimbangan dan alasan, penyertaan PAS dalam pilihan raya amat penting dalam negara.

"Kalau kita tak masuk , atas apa alasan sekalipun, seperti penyelewengan, penipuan, pengundi hantu atau undi dua kali namun masalah itu kita tidak dapat selesaikan hanya dengan tidak menyertai pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas majlis makan bersama para wartawan.

" Malah ianya akan memburukkan lagi keadaan. Penyertaan PAS dalam pilihan raya dari segi demokrasinya adalah untuk memperjuangkan dan membela nasib rakyat di samping memberi peluang kedua kepada rakyat dalam menunjukkan sikap tidak puas hati mereka terhadap kerajaan BN dan Umno selama ini yang menyusahkan mereka," katanya lagi. - mks.

No comments: