Monday, March 5, 2007

Selepas enam tahun siap hospital masih tidak digunakan?

Selepas enam tahun siap hospital masih tidak digunakan?


Helmi Khalid
Mon | Mar 05, 07 | 05:32:48 AM
POKOK SENA, 5 Mac (Hrkh) - PAS mendesak agar kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas menyiasat punca mengapa Hospital Sultanah Bahiyah di sini gagal digunakan sekalipun berlarutan hingga enam tahun.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Haji Mahfuz Omar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata kegagalan menggunakan hospital berkenaan seolah ada sesuatu yang tidak kena sekalipun pada asasnya semua bangunan telah siap dibina.

Image
Haji Mahfuz sedang memberikan kenyataan media di hadapan kompleks Hospital Sultanah Bahiyah yang telah pun siap namun masih tidak digunakan sehingga kini.
Katanya, kegagalan itu amat dikesali rakyat dan mendapat kemurkaan Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah ketika bertitah merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini.

Sambung Mahfuz, Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid jangan hanya pandai mengeluarkan kenyataan bahawa dia tak tahu apa-apa dan kesal dengan kelewatan itu, sepatutnya sebagai menteri besar pihaknya boleh meminta jawapan bertulis dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya.

"Ini bukan kes persengketaan antara Menteri Kesihatan dan Menteri Kerja Raya, ini hak rakyat, rakyat membayar cukai untuk memperolehi khidmat kesihatan yang sewajarnya, bukan nak dengar kedua-dua menteri itu saling tuduh menuduh."

"Kalau nak bergaduh ia tidak menyelesaikan masalah, cari punca masalah, dedahkan kepada rakyat dan cari jalan penyelesaian, bukannya buat seperti yang ditunjukkan oleh dua menteri berkenaan," tegas beliau.

Sambung beliau, mesti ada punca yang menyebabkan kelewatan menggunakan hospital berkenaan, selagi tidak ada pihak mahu mendedahkan punca sebenar, selagi itu menteri besar akan jawab dia tak tahu apa-apa, ini tak ubah seperti perangai Perdana Menteri yang akan menjawab tak tahu apa-apa dalam setiap isu yang timbul melibatkan kredibiliti kerajaan yang dipimpin.

"Sampai bila Mahdzir nak jawab dia sedih dan tak tahu apa-apa, Pedu Resort yang terpaksa ditutup dari menjadi pusat pelancongan dalam kawasan yang diwakilinya sendiri pun dia tak tahu, saya percaya banyak lagi jika disoal dia akan jawab dia tak tahu apa-apa sebab baru jadi MB Kedah dua tahun.

"Kalaulah begini sikap seorang MB, amat malang untuk masa depan kerajaan dan rakyat Kedah," ujar Mahfuz.

Selain itu beliau memberitahu, pihaknya akan menulis surat kepada Perdana Menteri untuk mendesak penubuhan Jawatan Kuasa Bebas serta mahukan penjelasan terperinci tentang punca sebenar kelewatan itu.

Telah ada enam tarikh pembukaan hospital terbabit sebelum ini, malangnya semua tarikh-tarikh itu terpaksa ditangguhkan.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz juga mahu kerajaan Kedah memberikan jawapan kukuh kenapa berlakunya kelewatan pembayaran elaun kepada Pengerusi dan Ketua JKKKK di negeri ini.

"Kerajaan terpaksa memperuntukkan RM 3 juta untuk melangsaikan bayaran elaun tertunggak selama enam bulan iaitu dari bulan Julai hingga Disember tahun lalu."

"Saya dimaklumkan bahawa elaun JKKK dibayar terus oleh Kementerian Luar Bandar kepada semua Kerajaan Negeri pada setiap bulan, mengapa berlaku tunggakan bayaran di Kedah," soalnya.

Ujar beliau, adakah kerajaan Kedah menggunakan dahulu wang berkenaan dan adakah kerajaan menunggu sumbangan dari pihak taukeh-taukeh nombor ekor barulah kerajaan mampu membayar elaun JKKK.

"Kerajaan perlu sedar, JKKK bukan dari kalangan tokoh korporat, mereka hanya petani dan orang kampung, semua kerja berhubung dengan masyarakat diletakkan di atas bahu JKKK, tetapi kerajaan mengambil kesempatan dengan melewatkan bayaran elaun kepada mereka," ujar Mahfuz.

Beliau mengulas demikian ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan hospital terbabit di Jalan Langgar, dekat sini, baru-baru ini yang turut dihadiri Adun PAS-Bukit Pinang, Haji Mohd. Rohsidi Othman. - mks.

1 comment:

Anonymous said...

Kasihan orang Alor Staq... Bila lah depa nak ada hospital baru tu yek? Yang ada ni pu macam 'sardin' sampai ada pesakit yang kene baring atas katil tepi koridor sementara nak tunggu ada katil kosong..

Apa nak jadi dengan kera*jaan kita ni ye...