Friday, March 23, 2007

Kisah hitam Hari polis:'Polis genggam dan ramas kemaluan saya'

Kisah hitam Hari polis:'Polis genggam dan ramas kemaluan saya'
Azamin Amin
Fri | Mar 23, 07 | 12:21:46 PM
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) - Walaupun ianya memalukan, namun demi mempertahankan hak dan maruah, perkara jelek seumpama ini perlu diceritakan dan didedahkan kepada umum supaya polis menjadi lebih berhemah dalam melakukan sesuatu tindakan.

Advertisement
Demikian menurut mangsa keganasan polis,Saari Sungib yang menceritakan semula pengalaman peritnya ketika ditangkap pada 18 Mac lalu di pekarangan The Summit USI kerana menyertai perhimpunan aman membantah tol yang dianjurkan oleh Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes).

"Buah zakar saya digenggam dan cuba diramas oleh anggota polis sewaktu penangkapan tersebut," katanya sewaktu membaca kenyataan medianya bersama Protes di pejabat agung PAS semalam.

"Ini perbuatan childish!Saya tidak malu untuk menceritakan.Selagi tidak didedahkan, polis akan bertindak sewenang-wenangnya dan itulah yang dimahukan supaya kita malu untuk melaporkan," tegas bekas tahanan ISA itu.

Beliau yang ditemani isteri, Aliza Jaaffar ketika sidang media berkata tindakan polis menangkapnya juga turut menyalahi undang-undang serta bertentangan dengan Artikel 5 Perlembangaan Malaysia yang menyatakan pihak yang menangkap perlu memberitahu terlebih dahulu sebab penangkapan dan kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang, namun yang terjadi kepadanya adalah sebaliknya.

Guna gari Siam
Pada hari tersebut semasa beliau berucap berhubung kenaikan tol, secara tiba-tiba bajunya ditarik serta direntap ke belakang dan pada masa yang sama juga kepalanya dihentak sehinggakan cermin matanya tercabut, katanya menceritakan kisah selanjutnya.

"Lehernya saya dipaut kuat dan terus diheret oleh beberapa anggota polis berpakaian preman," katanya.

"Kepala saya kemudiannya ditelangkup dan badan saya ditekan ke atas lantai dan sewaktu itulah tangan digari secara kasar," katanya Saari lagi di samping menunjukkan bajunya koyak dan cermin matanya yang patah.

Malah beliau mendakwa polis menggunakan gari Siam yang menyebabkan pergelangannya menjadi sakit dan menurut S.Arutchelvan (PSM) yang turut hadir di sidang media itu gari tersebut telah lama diharamkan penggunaannya kerana menyebabkan kesakitan dan kecederaan apabila pergelangan tangan bergerak ataupun ditarik.

Hadir sama Bendahari PAS yang juga penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli;Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo', dan Chang Lih Kang (Suaram).

Aksi ganas dan kasar polis itu turut dipertontonkan kepada para wartawan melalui rakaman video yang disumbangkan dengan ihsan Malaysiakini.com.

Kejadian seperti ini mengulangi siri keganasan polis terhadap rakyat jelata yang tidak bersalah selama ini antaranya yang pernah dirakamkan ialah kejadian 'bloody sunday' 28 Mei di KLCC yang kini menunggu laporan penuh inkuiri awam daripada Suhakam.(Difahamkan hari ini laporan tersebut akan dilancarkan di pejabat Suhakam).

Lebam ditubuh badan
Selepas dibebaskan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, beliau terus mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di salah sebuah klinik swasta.

Doktor dalam pemeriksaan melaporkan :"On examination he sustained multiple bruses and abrasion wound on both writs, left shoulder, right flank, right elbow and left hand."

(Pemeriksaan memdapati beliau mendapat pelbagai lebam dan kesan luka di kedua-dua pergelangan tangan, bahu kiri, rusuk kanan, siku kanan dan tangan kiri)

Sewaktu sidang media itu, beliau turut menunjukkan kesan parut pada lengan dan tangannya kepada wartawan yang hadir dan turut merakamkan beberapa keping foto keseluruhan lebam pada tubuh badannya.

Katanya beliau akan membuat laporan polis di bawah Seksyen 323 dan 342 Kanun Keseksaan kerana mendakwa pihak yang menangkapnya secara sengaja menyebabkan cedera ke atas dirinya.

"Menurut seksyen 342, saya telah ditahan secara salah kerana pihak yang menangkap tidak memberi amaran terlebih dahulu iaitu tidak memperkenalkan diri sebagai polis dan juga tidak berpakaian polis," katanya lagi.

Jika sabit kesalahan katanya boleh dikenakan hukuman tidak melebehi satu tahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Taktik buruk SB
Ditanya wartawan kenapa polis memperlakukannya sedemikian rupa, beliau secara peribadi berpandangan bahawa kemungkinan tulisan-tulisannya khususnya di Harakahdaily yang mendedahkan taktik buruk polis cawangan khas (SB) sewaktu beliau ditahan ISA menyebabkan polis mengasak beliau pada hari tersebut dan kemungkinan seolah-olah wujud perasaan 'dendam' terhadapnya.

Beliau yang mahu pihak berkuasa atau badan bebas menyiasat secara terperinci kejadian terbabit dan berharap supaya polis dalam melaksanakan tugas di masa akan datang lebih bertanggunjawab serta berhemah.

Di samping itu beliau turut menjelaskan tujuan laporan dan mendedahan ini dibuat supaya keselamatan dan hak orang ramai terjamin dan tidak mahu polis menyalah-gunakan kuasa, bertindak ganas dan sewenang-wenangnya hingga membelakang undang-undang negara serta membahayakan sesiapa sahaja.

Pada hari tersebut selain Saari seramai tiga orang awam serta seorang aktivis wanita reformasi ditangkap dalam perhimpunan aman di pasaraya The Summit USJ. - mks.

No comments: