Thursday, March 22, 2007

PM biarkan rakyat terus keliru – Husam

PM biarkan rakyat terus keliru – Husam
Maslan Yusoh
Thu | Mar 22, 07 | 02:22:58 PM
MACHANG, 22 Mac (Hrkh) – Mungkinkah usaha Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mencetus konsep menggunakan jenama Islam hanya untuk menobatnya lebih Islamik berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Advertisement
Sebenarnya bukan sekadar menenggelamkan populariti mantan perdana menteri sebelumnya, sebaliknya mesej utama menyaingi PAS yang merupakan pesaing terdekat bagi menarik sokongan orang Melayu di negara ini.

Dan ‘resepi’ Islam ciptaan Abdullah terbukti berjaya pada pilihan raya umum lalu. Setakat ini Umno masih berada di hadapan apabila berjaya menggulakan rakyat dengan habuan kebendaan bersendikan Islam.

Kekeliruan demi kekeliruan diteruskan di bawah konsep Islam Hadhari dan modal insan. Islam Hadhari sepatutnya dikenali sebagai Hadharah Islamiah. Begitu juga modal insan adalah pembangunan insan.

Perdana Menteri membiarkan kekeliruan itu terus berlaku dan enggan menerima segala teguran dibuat pihak lain.

Merungkai persoalan itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, modal insan yang diceduk dari istilah human capital adalah perkataan yang dicetus golongan sekular Barat.

“Ia bukan dari tamadun Islam. Pendekatan itu jauh berbeza dengan konsep pembangunan insan yang sudah lama dipraktikkan di Kelantan. Human capital tidak lebih seperti mahu melahirkan seorang peniaga yang pintar."

“Sedangkan konsep yang ditekan dalam Islam ialah pembangunan insan. Pembangunan insan membawa mesej manusia perlu ada perasaaan kasih sayang dan belas ihsan,” katanya di hadapan ribuan penduduk di Kampung Pangkal Chuit, Temangan dekat sini, malam tadi.

Pendedahan itu biar pun tidak sesuai untuk masyarakat kampung, namun cuba membuka minda terhadap kekeliruan yang dibiarkan berlangsung dalam pentadbiran perdana menteri sekarang.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri menjelaskan mengambil kira konsep pembangunan insan, kerajaan Kelantan melaksanakan skim Kifaalah bagi warga emas berumur 60 tahun.

Menurutnya, ramai penduduk kampung yang sudah lama bekerja, misalnya sebagai pemandu kereta sewa, penoreh dan petani, namun tidak mampu menyimpan wang sehingga RM2,500 bagi masa depan keluarganya.

Mengambil kira masalah itu, kerajaan negeri menganjurkan program Takaful Warga Emas (Kifaalah) bagi membolehkan mereka yang didaftar apabila meninggal dunia menerima pampasan sebanyak RM2,500.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi mencarumkan kira-kira 140,000 warga emas di bawah skim Kifaalah.

Ketika menjawab persoalan Umno mengapa pampasan mahu dibayar kepada orang yang sudah mati, katanya sudah banyak program lain diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu penduduk yang masih hidup.

Antaranya program Jihad Ternak yang baru diwujudkan bagi melahirkan ramai penduduk yang mampu menternak kambing jenis jamnapari kacukan baka dari Indonesia dan India.

Program lain yang diwujudkan termasuk Gerakan Berdikari, bantuan input pertanian, bantuan persekolahan dan banyak lagi.

Adun Temangan, Dato’ Hassan Muhamad berkata, selepas memperlekehkan usaha kerajaan negeri mewujudkan program Kifaalah, akhirnya Umno Kelantan cuba menirunya pula.

Bagaimanapun program insurans hayat itu bukan untuk rakyat sebaliknya hanya manfaat ahli-ahli Umno. Hadir sama pada program itu, Adun Pulai Chondong, Haji Zulkifli Mamat dan Pengurus Besar Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail.

Pada ceramah itu juga seramai 89 bekas ahli Umno dari Kampung Jakar, Banggol Kerian, Bechak Kemuning, Pangkal Chuit dan Kampung Raja menyerah borang menyertai PAS.

Mereka diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Pangkal Pulai, Rosli Ibrahim, 38 dan Raja Ibrahim Raja Abdullah, 74 dari Kampung Raja. - /mj

No comments: