Sunday, March 4, 2007

Bermain dengan istilah tidak selesai gejala sosial

Bermain dengan istilah tidak selesai gejala sosial


Ketua Penerangan PAS Pusat
Sat | Mar 03, 07 | 07:18:43 AM
Kenyataan Media Mac 2007
Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja mulai mendapat perhatian daripada masyarakat. Ini ekoran daripada peningkatan kes-kes gejala sosial yang didapati sudah sampai ke tahap parah. Belum pun selesai masalah yang berkaitan dengan dadah kini timbul pula masalah seks bebas yang melampau dan golongan remaja yang mengadakan perlumbaan haram yang dikenali sebagai Mat Rempit. Kegaiatan Mat Rempit bukan sahaja tidak lagi terkawal tetapi sudah sampai ke peringkat mengancam keselamatan masyarakat dan anggota penguatkuasa. Kegiatan lumba haram ini melibatkan golongan remaja lelaki dan juga perempuan. Kegilaan mereka berlumba jelas membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Apa yang lebih dikesalkan ialah kegiatan itu turut membabitkan berbagai-bagai bentuk perlakuan yang tidak senonoh seperti pergaulan bebas, seks beramai-ramai dan menjadikan perempuan sebagai pertaruhan mereka.

Apa yang lebih dibimbangkan ialah kegiatan Mat Rempit turut mengundang perlakuan-perlakuan devian yang lain termasuk pergaduhan, pembunuhan, mencuri dan perbuatan jenayah yang lain. Kebanyakan daripada Mat Rempit merupakan golongan remaja Melayu dan juga pelajar-pelajar sekolah. Merebaknya kegiatan ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada sistem sosial masyarakat kita. Pihak kerajaan harus bertindak secara bersepadu untuk menangani masalah ini. Begitu juga dengan anggota-anggota masyarakat turut mempunyai peranan untuk mengawal gejala sosial ini daripada terus merebak. Bagaimananpun tindakan yang telah diambil ke atas golongan Mat Rempit dapat diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga. Tindakan Putera UMNO membela golongan Mat Rempit kononnya itu merupakan cara yang terbaik untuk mendekati dan membawa mereka balik ke pangkal jalan hanya lebih memburukkan lagi masalah yang sedia.

Apa yang dilakukan oleh Putera UMNO itu tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mencari sokongan dan populariti politiki. Memang wajar untuk kita mendekati golongan Mat Rempit. Tetapi perlu diingatkan bahawa ia tidak bermakna kita harus merempit bersama-sama dengan golongan tersebut. Begitu juga memberikan berbagai-bagai stigma, label dan istilah terhadap golongan Mat Rempit tidak akan menyelesaikan gejala sosial. Malahan ia seolah-olah menjadi satu pengiktirafan kepada golongan Mat Rempit bahawa kewujudan mereka adalah sebahagian daripada realiti dan entiti masyarakat. Penggunaan istilah-istilah dalam konotasi yang negatif seperti Dajal Rempit, Katak Rempit, Kodok Rempit dan sebagainya hanya akan mengundang lebih banyak tindakan negatif daripada para Mat Rempit. Kerajaan BN pernah menggunakan istilah najis dadah tetapi masalah dadah tidak juga selesai. Bahkan masih menjadi barah dan wabak yang menghantui kehidupan masyarakat kita.

Manakala tanda amaran yang diletakkan pada kotak rokok dan pengharaman rokok nampaknya tidak menghalang remaja daripada membeli rokok dan orang ramai daripada menghisapnya. Satu pendekatan yang lebih tegas dan praktikal perlu dicari untuk menangani massalah Mat Rempit dan gejala sosial yang lain. Daripada menghabiskan masa untuk mencari istilah yang sesuai untuk digunakan kepada golongan Mat Rempit, lebih baik masa itu digunakan untuk mrangka strategi dan menyusun gerak kerja bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut atau pun mengurangkan kadar gejala sosial sehingga ke pasas yang paling minimun.

Ustaz Haji Ahmad Awang
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments: