Friday, March 9, 2007

Umno Selangor kukuhkan cengkaman ke atas surau, masjid

Umno Selangor kukuhkan cengkaman ke atas surau, masjid
Saidah Hairan
Fri | Mar 09, 07 | 07:40:46 AM
SHAH ALAM, 9 Mac (Hrkh) - Umno mengukuhkan cengkamannya ke atas surau dan masjid di Selangor berdasarkan arahan pejabat agama Islam daerah dan negeri yang menghendaki borang senarai pegawai dan AJK-nya disah dan ditandangani Adun atau Ketua Umno Bahagian.

Sebagai contoh, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling baru-baru ini mengedarkan surat arahan dan format borang senarai pegawai dan AJK surau di bawah kariah masjid kepada semua nazir masjid negeri Selangor.

Surat arahan tersebut ditandatangani Pegawai Tadbirnya, Haji Mohamad Nawi Abu Bakar, bertarikh 29 Januari 2007 dan salinan kepada, Pejabat Adun Kota Anggerik; Batu Tiga; Taman Medan; Kota Damansara; Paya Jaras; Seri Setia; Meru dan Sri Muda.

Satu salinan turut diberi kepada pejabat Umno Bahagian (1) Serdang; Petaling Jaya; Kelana Jaya dan Petaling Jaya Selatan.

Pendedahan itu dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Ramli Sidom di pejabat PAS, Shah Alam, semalam (8 Mac).

Surat itu mengarahkan; Arahan memaklumkan tempoh tamat pegawai dan AJK surau negeri Selangor pada 15 Jun dan mengedarkan format borang senarai pegawai dan AJK kepada semua surau di bawah kariah masjid bagi tempoh 16 Jun 2007 hingga 15 Jun 2010.

Surat bilangan (67) dlm. JAI.SEL.BPM/01/056 Jld.2 bertarikh 19 Januari 2007.

Pihak Jabatan Agama berharap semua nazir masjid bekerjasama dan membantu pihak kami untuk membuat pengumuman berkenaan sebelum solat Jumaat, mengadakan perjumpaan bersama pihak surau di bawah kariah bagi memaklumkan tempoh tamat pegawai dan AJK surau dan mengedarkan borang senarai pegawai dan AJK surau untuk diisi lengkap.

Borang mestilah bertaip komputer dan bertandatangan dan bercop rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ketua Umno Bahagian bagi Adun bukan Islam sahaja dan disimpan satu salinan ke dalam disket/CD.

Borang yang telah lengkap mestilah dihantar ke Unit Pengurusan Masjid, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling Tingkat 6, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam sebelum 1 Mac.

Ustaz Ramli berkata, selama ini Umno menuduh PAS mempolitikkan masjid tetapi sekarang terbukti dalam pelantikan semula AJK surau Selangor, parti itu menganggap seolah-olah masjid hak miliknya.

Beliau mempersoalkan, kenapa perlu campur tangan Ketua Umno Bahagian dalam menentukan AJK surau sedangkan surau atau masjid bukan premis biasa yang boleh ditentukan oleh orang politik.

Katanya, arahan tersebut amat mendukacitakan dan Pemuda PAS menyarankan kepada Majlis Agama Islam Selangor supaya pelantikan AJK surau dan masjid mestilah diserahkan kepada ahli kariah.

PAS Selangor akan mengkaji dari aspek perundangan dan akan menghantar memorandum kepada Mais dan Sultan Selangor, katanya. - lanh

No comments: