Thursday, March 8, 2007

Memorandum bantahan gejala rasuah

Memorandum bantahan gejala rasuah
BA, Gerak & Impak
Thu | Mar 08, 07 | 08:38:13 AM
Kepada: YAB. Dato' Seri Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia,

Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari 2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkipli Mat Noor.

Pendedahan yang dibuat hasil daripada satu laporan yang dibuat kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar oleh pegawai kanan BPR sendiri, iaitu Mohamad Ramli Manan memberikan satu gambaran yang amat jelas betapa komitmen Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menjadi anutan tadbir urus kerajaan iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah dan birokrasi kian terhakis.

Dalam keadaan pelbagai kemelut pentadbiran yang dibelenggu permasalahan rasuah dan etika pentadbiran melingkari pentabiran kerajaan hari ini, pendedahan terbaru oleh GERAK ini adalah ibarat menambah bebanan kerajaan untuk terus memperbetulkan keadaan yang kian parah dan jelek, sekaligus memalitkan imej dan akauntabiliti kerajaan yang gah dengan slogan akauntabiliti dan prinsip Islam Hadhari.

Ini ditambah lagi dengan pendedahan terbaru mengenai salah laku yang membabitkan Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Dato' Mohd Johari Baharum yang didakwa menerima sogokan lebih daripada RM5 Juta sebagai habuan untuk membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan beberapa jenayah berat. 3 kes yang didakwa ke atas Johari adalah:

i. Di dakwa berlaku pada Januari tahun ini apabila Johari dituduh mengarahkan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak, yang mana ketua penjenayah ini adalah merupakan adik kepada seorang lagi Timbalan Menteri;

ii. Mengeluarkan arahan pembebasan oleh seorang suspek yang disabit atas perjudian haram di Sabah pada bulan Februari lepas. Pendedahan yang dibuat oleh freewebs. com mendakwa Johari dirasuah RM3 juta untuk mengeluarkan arahan tersebut; dan

iii. Jaminan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak selepas penjenayah terbabit menyelesaikan dengan Johari dengan sejumlah wang tidak kurang daripada RM2.5 juta.

Dakwaan dan tuduhan yang dibuat ke atas Johari ini adalah amat berat dan memalukan, kerana ini sedikit sebanyak menunjukkan yang Johari telah melakukan pecah amanah ke atas Perdana Menteri sendiri yang juga merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ini juga membuktikan yang Perdana Menteri seolah-olah hilang kawalan apabila beliau tidak maklum dengan masalah yang dilakukan oleh timbalan beliau sendiri!

Apa yang dilihat oleh kami, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan segera dengan menggantung jawatan Ketua Pengarah BPR untuk melicinkan proses siasatan agar dengan inisiatif ini boleh mewujudkan elemen kepercayaan dan integriti di kalangan penjawat awam di Malaysia.

Meskipun beberapa pimpinan Umno/BN berpendapat bahawa adalah tidak wajar bagi Johari untuk melepaskan jawatannya atas alasan `man is innocent until proven guilty', tetapi mengikut prosedur amalan biasa kerajaan, khususnya didalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, beliau telah dipecat daripada parti dan Kerajaan meskipun pada ketika itu kes beliau baru di peringkat pertuduhan, malahan tidak pun dibawa ke mahkamah lagi pada ketika itu.

Justeru apakah rasional pihak kerajaan untuk tidak mengambil tindakan yang serupa ke atas Johari dan Zulkipli yang kes kedua mereka ini adalah jauh lebih berisiko dan berat berbanding kes Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Atas kapasiti sayap pemuda keADILan dan PAS, GERAK & IMPAK, kami mendesak Perdana Menteri, demi kepentingan negara dan demi membersihkan imej Perdana Menteri dan Kerajaan, supaya:

(i) Perdana Menteri perlu mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Penambahbaikan BPR untuk menyiasat kepincangan yang berlaku di dalam BPR itu sendiri dan juga menyiasat Standard Operation Procedure(SOP) di mana wujud kepincangan dalam sesuatu siasatan yang dijalankan oleh BPR;

(ii) BPR wajar diletakkan di bawah seliaan Parlimen Malaysia, bukan dibawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjamin ketelusan penyiasatan BPR ke atas sesuatu kes, khususnya kes-kes berprofil tinggi demi menjamin integriti BPR sebagai sebuah badan yang berwibawa;

(iii) Kerajaan dengan segera memulakan siasatan terhadap tuduhan-tuduhan yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah mendedahkan berkenaan pembelian 18 pesawat Sukhoi Su-30MK oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bernilai US$900 juta (RM3.2 bilion) yang menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan ketelusan urusniaga tersebut.

(iv) Kerajaan mengumumkan hasil siasatan 18 kes rasuah berprofil tinggi sebagaimana yang pernah diwar-warkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim. Meskipun beliau tidak lagi menjawat portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi kewajipan kerajaan atas kapasiti 'collective responsibility' untuk mendedahkan hasil siasatan kes-kes tersebut agar ia boleh memberi penjelasan yang sahih dan mutlak kepada rakyat agar tidak menimbulkan pelbagai spekulasi atas akauntabiliti kerajaan; dan

v) Status kes Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan juga Dato' Seri Rafizah Abdul Aziz didedahkan kepada umum setelah sekian lamanya diperam oleh kerajaan dan BPR.

Kami mendesak agar bantahan ini dipandang serius.

No comments: