Monday, March 12, 2007

Kampung Berembang dedah kezaliman BN

Kampung Berembang dedah kezaliman BN
Ustaz Ahmad Awang
Mon | Mar 12, 07 | 05:44:37 PM
PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menahan para penduduk Kampung Berembang dan beberapa orang aktivitis sosial kerana mengadakan protes terhadap pihak yang hendak merobohkan rumah-rumah di kawasan penempatan tersebut.

Penahanan itu bukan sahaja tidak wajar tetapi merupakan satu pencabulan ke atas hak penduduk kampung untuk mempertahankan rumah kediaman mereka yang telah diduduki untuk sekian lamanya.

Tindakan untuk merobohkan kawasan penempatan setinggan itu diambil sejajar dengan slogan ‘Setinggan Sifar’ yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor di bawah pimpinan Dato' Seri Dr Mohd. Khir Toyo.

Untuk merealisasikan dasar tersebut, kerajaan BN Selangor telah merobohkan setinggan-setinggan yang sesetengahnya telah didiami sejak lebih tiga dekad yang lalu.

Salah satu daripadanya ialah Kampung Berembang yang mempunyai majoriti penduduk orang Melayu dan merupakan satu-satu landmark orang Melayu yang tinggal di kawasan Ampang. Kewujudan Kampung Berembang telah lama dan menjadi sebahagian daripada entiti kawasan Ampang.

Kedudukannya pula tidak ubah seperti sebuah kampung di tengah-tengah kawasan perbandaran. Jadi, apabila pihak berkuasa tempatan bertindak merobohkan kawasan penempatan itu, ia telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuknya juga parti-parti politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Parti PAS sejak awal lagi telah bersama-sama dengan penduduk untuk mempertahankan kawasan kediaman mereka daripada diratakan oleh jentolak.

Malahan kisah perjuangan penduduk Kampung Berembang juga telah disiarkan dalam Harakah, Harakahdaily, TV PAS dan sebagainya. Demi untuk mempertahankan kampung halaman yang tercinta, para penduduk telah membawa kes mereka ke mahkamah.

Kes mereka akan dibicarakan pada 14 Mac 2007. Walaupun isu Kampung Berembang telah menjadi kes di mahkamah tetapi pihak berkuasa tempatan dan pemaju nampaknya terus bertindak menggila dengan merobohkan rumah-rumah yang terdapat di penempatan itu tanpa menghiraukan rayuan dan bantahan penduduk.

Tidak cukupnya itu, mereka meminta bantuan pihak polis yang telah bertindak kasar, kurang ajar dan tidak sopan kepada penduduk yang mahu bertahan di kawasan kampungnya. Dianggarkan seramai 60 buah keluarga masih bertahan dan berkampung di kawasan penempatan mereka.

Ke mana mereka hendak pergi kalau rumah mereka dirobohkan dan kampung mereka diratakan secara paksa tanpa sebarang rasa peri kemanusiaan.

Kenapakah masih ada rakyat yang pernah hidup merempat selepas negara kita mencapai kemerdekaan hampir 50 tahun yang lalu. Kalau dahulu, rakyat negara ini ditindas, didiskriminasi dan dinafikan haknya oleh pihak penjajah Inggeris.

Kini kerajaan BN telah bertindak jauh lebih kejam lagi dengan menghalau dan memperlakukan rakyatnya seperti anjing kurap yang tidak mempunyai maruah dan harga diri. Sesungguhnya kejadian Kampung Berembang telah mendedahkan sikap dan wajah hodoh sebenar kerajaan BN.

Para pemimpinnya telah menggunakan kuasa dengan sesuka hati tanpa mempedulikan suara dan nurani masyarakat bawahan. Kerajaan BN akn menggunakan apa sahaja untuk menjayakan agenda untuk memperkayakan para kroninya hatta dengan menghalau rakyat daripada rumah mereka dan mengkhianati amanah yang diberikannya.

Oleh itu, PAS menuntut supaya para penduduk dan aktivitis sosial yang ditahan dibebaskan tanpa sebarang syarat. Manakala pihak berkuasa yang bertindak secara ganas, agresif dan membelakangkan kod etika perlu dikenakan tindakan yang tegas.

Rumah-rumah yang telah dirobohkan perlu digantikan dengan segera atau dibayar ganti rugi mengikut harga semasa berserta dengan kerosakan harta benda yang lain. Begitu juga dengan sebarang bentuk proses dan langkah merobohkan rumah penghuni perlu ditangguhkan sehingga kes ini selesai dibicarakan di mahkamah.

Pada masa yang sama semua gangguan dan perbuatan menghalau penduduk yang masih tinggal di kawasan kampung mereka hendaklah dihentikan. PAS memandang serius apa yang berlaku dan dilakukan oleh kerajaan BN di Kampung Berembang. PAS akan terus memantau dan sekiranya perlu mengambil tindakan untuk memastikan hak penduduk tidak terus dicabuli.

Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments: