Friday, March 9, 2007

Siasat kes rasuah biarpun ketua sendiri

Siasat kes rasuah biarpun ketua sendiri
Ustaz Ahmad Awang
Fri | Mar 09, 07 | 04:32:01 AM
PAS memandang berat mengenai tindakan bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Johor, Mohamad Ramli Abdul Manan membuat laporan dan memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung salah laku rasuah membabitkan Ketua Pengarah (KP) BPR, Dato' Seri Zulkipli Mat Noor.

Begitu juga dengan laporan mengenai pencabulan seks yang dilakukan oleh beliau terhadap seorang suri rumah beberapa tahun yang lalu. Walaupun beberapa laporan telah dibuat kepada pihak polis dan BPR tetapi belum ada tindakan diambil ke atas beliau.

Oleh itu, PAS mendesak supaya siasatan dibuat segera terhadap laporan dan aduan tersebut. Walaupun kes ini berprofil tinggi dan melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan tetapi siasatan yang rapi perlu dibuat tanpa memilih bulu.

Pihak polis dan BPR harus diberikan kebebasan sepenuhnya untuk melakukan siasatan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak. Ini dapat menjaminkan supaya siasatan yang dilakukan itu adalah adil, telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Kegiatan rasuah harus ditangani dengan serius apatah lagi kalau ia membabitkan pegawai BPR sendiri.

Sebagai sebuah badan yang ditubuhkan untuk mencegah dan menangani kes-kes yang berkaitan dengan rasuah, BPR perlu bertindak sejajar dengan peruntukan undang-undang dan kuasa yang dimilikinya tanpa sebarang perasaan takut meskipun yang disiasat itu ialah ketua yang menjaga badan itu. Pihak BPR harus bertindak dengan tidak melihat kepada status seseorang.

Bagi memastikan siasatan dapat dilakukan secara bebas maka sudah sewajarnya KP BPR mengundurkan diri dan melepaskan jawatan yang disandangnya. Ini kerana aduan yang dibuat terhadap beliau telah menjatuhkan imej dan kredibiliti BPR yang sebelum ini pun sudah dipertikaikan oleh pelbagai pihak khususnya parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (BN).

Selagi mana KP BPR berada pada kedudukannya, selama itu BPR akan terdedah kepada pelbagai bentuk tekanan dan gangguan untuk mengendalikan kes berkenaan. Dalam hal ini, Pak Lah tidak sepatutnya membuat kenyataan mempertahankan kedudukan Zulkipli Mat Noor.

Memang tidak dinafikan bahawa beliau belum didapati bersalah tetapi demi untuk memastikan kesungguhan kerajaan untuk membenteras jenayah rasuah maka sudah seharusnya orang yang disiasat kerana terbabit dengan rasuah tidak lagi diberikan tugas untuk mengetuai BPR.

Jika tidak akan menimbulkan pertentangan daripada segi kepentingan. Malahan ia juga akan menimbulkan persoalan mengenai sejauh manakah keberanian BPR untuk bertindak dengan menyiasat bos nombor satu badan itu.

Kenyataan bekas Pengarah BPR Sabah bahawa aduan sudah lama dibuat tetapi tidak ada tindakan yang diambil merupakan testimoni yang cukup penting bahawa wujud semacam tangan halus yang menghalang siasatan daripada dijalankan terhadap golongan yang berpengaruh dan berkedudukan tinggi. Kini, semuanya sudah terdedah dan kes ini telah menarik minat masyarakat umum.

Jadi, tidak ada lagi alasan dan sebab untuk menutup kes ini. Kalau ikan yang sudah busuk sama ada di kepala atau ekor, baunya akan tetap dapat dihidu. Biarlah siasatan dibuat secara terbuka dan jangan pula ada usaha untuk menyembunyikannya.

Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments: