Tuesday, March 6, 2007

Dia masih lagi di situ...

Dia masih lagi di situ...


Muhammad Nor Abd Samad
Fri | Mar 02, 07 | 11:29:45 AM
Pada kesempatan balik kampung baru-baru ini aku berpeluang berkunjung ke kedai mamak 'favourite' ku di bandar Temerloh, kira-kira 6 kilometer dari kampungku, yang telah begitu lama tidak aku kunjungi.

Sejak aku menetap di Kuala Lumpur, kira-kira 20 tahun yang lalu sudah jarang benar aku berkesempatan mengunjugi kedai ini. Mungkin kerana aku balik kampung cuma sesekali, dan apabila balik pun sibuk pula dengan urusan keluarga. Lalu tiada masa untuk ke sana. Paling akhir aku berkunjung, setahun yang lalu dan aku pun sudah tidak ingat tarikhnya.

Kedai mamak ini merupakan kedai mamak terawal di bandar Temerloh. Dan ia merupakan kedai makan yang agak 'famous' juga di bandar ini pada suatu ketika dulu.

Sejak aku di bangku sekolah, iaitu sekitar tahun 70-an, aku kerap benar mengunjungi kedai ini. Setiap kali aku 'turun' ke bandar terutama pada hari keramaian seperti Hari Raya atau hujung minggu, aku pasti akan mengunjunginya, sama ada bersendirian atau bersama rakan-rakan ataupun saudara mara.

Aku sukakan roti canainya yang gebu dan kuah karinya yang 'kaw'. Aku biasanya akan makan dua keping roti canainya. Jarang sekali aku makan dua keping roti canai di tempat lain.

Sesekali aku akan makan rojaknya yang juga agak 'best' bila kena dengan air sirap. Teh tariknya juga 'kaw'. Nescafe tariknya pula OK, menepati seleraku.

Cuti balik kampung yang ini aku mempunyai masa terluang untuk mengunjungi kedai mamak ini sekali lagi. Pada satu pagi yang cerah, aku pergi sendirian tanpa ditemani isteriku. Isteriku memang agak 'allergic' dengan kedai mamak, justeru dia tidak mahu ikut sekali. Dia tidak mahu makan masakan mamak, terutama roti canai. Katanya dia geli tengok lengan mamak yang berbulu dan berminyak itu menguli tepung seterusnya menebar roti canai. Dia lebih rela makan biskut kering daripada makan roti canai mamak, katanya. Dia tidak mahu pergi. Aku tidak cakap apa. Aku pergi sendirian.

Selain roti canai dan rojak yang terus 'maintain' rasanya, tidak ada apa yang menariknya kedai mamak ini. Biasa sahaja. Tetapi ia banyak menghimpun nostalgia bagi penduduk daerah ini. Suatu ketika dahulu, di sinilah tempat utama untuk dijadikan lokasi pertemuan bagi ramai orang untuk berbual sambil minum-minum dan menjamu selera.

Di sinilah tempatnya untuk bawak member belanja makan. Malah ada teruna dara yang menjadikannya tempat 'berdating', memandangkan kedai ini turut menyediakan ruang-ruang tertutup untuk pasangan memadu kasih tanpa gangguan.

Meskipun sepanjang 30 tahun ini telah wujud banyak kedai-kedai kopi yang lain di bandar ini, namun aku dapati masih ramai yang mengunjungi kedai mamak ini. Dan, golongan yang datang sebahagian besarnya terdiri daripada 'orang-orang lama' yang turut berkongsi nostalgia dengan kewujudan kedai mamak ini. Yang turut membesar dan menjadi dewasa bersama kewujudannya. Justeru, meskipun bangunannya telah kelihatan agak usang namun keberadaannya masih terus relevan.

Kunjunganku kali ini menyaksikan Hamzah, si pemilik kedai masih ada di situ. Di kedai itu. Berdiri di belakang kaunter dengan ramah menyapa setiap pelanggan yang memasuki kedainya.

Seperti dulu. Tapi selepas lebih 30 tahun, wajahnya jelas telah dimakan usia. Kepalanya tidak lagi berambut. Licin dan berkilat. Dia kini agak bongkok sedikit dan kerut diwajahnya semakin banyak.

Tapi dia masih di situ. Selepas lebih 30 tahun dia masih di situ. Penuh komited dan ceria seperti dulu juga. Begitulah dia seiingat aku. Dan ini tiba-tiba mengundang perhatian dan 'respect' ku.

30 tahun bukanlah tempoh waktu yang singkat. Jika pokok, 30 tahun telah menjadi balak dan telah layak ditebang dan dijual. Jika lelaki perempuan berkahwin, mungkin telah ada anak dan menantu, dan mungkin juga cucu. 30 tahun tempoh masa yang lama dan Hamzah masih lagi di situ. Terus ceria dan ramah menyambut dan mengusik pelanggannya.

Melaksanakan satu tugas untuk satu tempoh masa yang lama memerlukan kekuatan yang jitu. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya. Tidak ramai orang mampu bertahan melakukan sesuatu pekerjaan untuk tempoh yang lama dengan penuh komited dan ceria. Hamzah telah melakukannya dan aku kagum dengan keupayaannya.

Pada kunjunganku kali ini aku bukan sahaja kenyang kerana dapat makan dua keping roti canai dan segelas Nescafe tarik, tetapi dapat mencari sedikit kekuatan melalui kewujudan Hamzah.

Aku tiba-tiba teringat akan tulisan seorang cendikiawan, "ukuran kuat seseorang itu bukanlah pada jauhnya dia berjalan, tetapi pada selama mana dia mampu bertahan di suatu tempat".

3 comments:

Anonymous said...

hehe...ini mesti kedai Old Town best memang roti dia sedap, aku tak makan roti canai tapi aku makan tosai dan capati ....

Anonymous said...

oh ya lupa tadi ...kedai OLD TOWN tu masakanya bukan pure mamak dah, tukang masakanya ialah seorang Melayu bernama Hussein begitu juga pembuat roti canai, juga Melayu. OLD TOwn kini berkembang dan tak lama akan akan membuka cawangan pertama dilokasi berhampiran Bank Islam, Temerloh. jengoklah blog saya http://darigaunghati.blogspot.com

Anonymous said...

Ok. Nama kedai tu 'Old Town'ek? Mula baca ingat 'Old Town' kat Petaling Jaya, Selangor.

Apapun, kawan percaya ada maksud lebih dalam oleh penulis.

Pada kawan, ianya boleh ditujukan kepada perjuangan PAS: sejauh mana keimanan kita dalam perjuangan untuk menegakkan hukum Allah di bumi ini.

Kawan juga perhatikan ada segelintir aktivis yang terikut dengan irama yang di bawa oleh pihak lawan. Kepada mereka, kawan nasihatkan: janganlah kita cuba menari Flamengo mengikut irama Ghazal - naya kita nanti.

- Aktivis