Thursday, March 22, 2007

Sempena Hari Polis: Keganasan di Summit USJ bukti imej polis semakin buruk

Sempena Hari Polis: Keganasan di Summit USJ bukti imej polis semakin buruk
Azamin Amin
Thu | Mar 22, 07 | 06:20:22 PM
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Hrkh) - Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-200 dikecam oleh pelbagai pihak kerana bertindak ganas dalam menyuraikan perhimpunan membantah kenaikan tol secara aman yang diadakan di Summit USJ 18 Mac lalu.

Advertisement
Bendahari PAS yang juga penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Tol (Protes), Dr Hatta Ramli berkata bahawa kejadian tersebut menyebabkan imej polis semakin bertambah buruk dan akan menambahkan lagi keresahan orang ramai terhadap keselamatan diri dan hilang keyakinan terhadap tanggungjawab polis selama ini.

"Sikap polis semakin melampaui batas dan tidak profesional langsung malah ada kalanya bersikap diskriminasi, " katanya ketika sidang media Protes yang diadakan di Pejabat Agung PAS dekat sini pagi tadi bagi menjelaskan kejadian yang berlaku tempoh hari.

Turut hadir sama dalam sidang media tersebut yang dihadiri oleh puluhan wartawan ialah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; mangsa keganasan yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Gombak, Saari Sungib dan isteri, Aliza Jaafar; Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo', S.Arutchelvan (PSM) dan Chang Lih Kang (Suaram).

"Nampaknya sempena Hari Polis ini tiada sebarang perubahan berlaku malah diburuk lagi dengan kejadian ini dan kita berharap supaya badan bebas seperti IPCMC dapat ditubuhkan."

"Supaya dapat memantau tindakan dan gerak kerja polis agar lebih berhemah dan memastikan hak dan keselamatan orang ramai lebih terjamin," katanya lagi.

Kemaluan digenggam polis
Beliau turut kesal apabila polis menggunakan pelbagai strategi untuk 'melumpuhkan' satu-satu demostrasi yang secara asasnya bertujuan memberi penerangan kepada rakyat atas sesuatu isu yang berlaku dan menunjukkan suara bantahan terhadap kerajaan yang semangnya dibenarkan dalam perlembagaan negara.

Antara kaedah yang digunakan yang membunyi siren polis dengan kuatnya,semburan gas pemedih mata, penggunaan helikopter yang ada kalanya terbang rendah yang membahayakan nyawa dan operasi penangkapan yang dilakukan secara ganas dan merbahaya hingga mengakibatkan kecederaan.

"Perhimpunan yang dilakukan adalah secara aman dan sekiranya ianya tidak sah (tiada permit), tugas polis adalah menyuraikan secara berhemah atau meminta penganjur membatalkannya bukan mengkasari dan mengganasi peserta," katanya lagi.

Dalam sidang media tersebut, Saari turut mendedahkan secara terperinci pengalaman beliau ketika ditangkap oleh polis di samping menunjukkan bukti-bukti gambar kecederaan yang beliau alami termasuk menunjukkan kesan parut pada tangannya.

"Sambil mengasari saya, polis mengenggam kemaluan saya. Satu perbuatan 'childish'!" katanya yang akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas sidang media tersebut.

Tian Chua turut menyelar tindakan polis tersebut dan menyatakan bahawa Saari adalah individu yang tidak takut, gentar atau lari apabila ditahan polis.

Rakaman video ditayangkan kepada media
"Dia pernah ditahan ISA dan ditangkap beberapa kali jadi dia tidak takut lagi untuk ditahan lagi maka apa perlunya polis mengasari beliau dengan sebegitu rupa?" soalnya.

Beliau turut menjelaskan selama ini beberapa siri perhimpunan yang diadakan sentiasa berjalan secara aman dan orang ramai berada dalam keadaan tenang dan bersantai sahaja, namun yang menjadikan tegang dan kucar-kacir adalah tindakan provokatif dan ganas polis dalam menyuraikan perhimpunan tersebut.

Turut ditayang kepada media yang hadir, rakaman video kejadian tersebut dan antara babak yang memegunkan para wartawan ialah kekasaran polis terhadap Saari seolah-olah beliau seorang 'penjenayah' .

Ditanya wartawan kenapa polis memperlakukannya sedemikian rupa, beliau secara peribadi berpandangan bahawa kemungkinan tulisan-tulisannya khususnya di Harakahdaily yang mendedahkan taktik buruk polis cawangan khas (SB) sewaktu beliau ditahan ISA menyebabkan polis mengasak beliau pada hari tersebut dan kemungkinan seolah-olah wujud perasaan 'dendam' terhadapnya.

Tian Chua turut mengumumkan bahawa perhimpunan membantah tol akan diadakan lagi pada 22 April di Leisure Mall, Cheras dan akan mengadakan siri demonstrasi secara bulanan selagi kerajaan tidak memenuhi tuntutan rakyat dan Protes berhubung kenaikan tol.

Antaranya ialah mendedahkan semua perjanjian konsesi tol, pendirian dan pertimbangan kerajaan dalam menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi sehingga mengabaikan kepentingan orang awam dan menimbang semula atau mebubarkan terus kadar tol yang sedia ada.

"Ternyata siri bantahan kita selama ini mendatang kesan dan menggusarkan kerajaan."

"Akhirnya membuatkan kerajaan terpaksa mendedahkan kepada rakyat keuntungan berlipat kali ganda kutipan tol yang tidak diketahui rakyat selama ini," katanya yang merujuk kepada pendedahan Menteri Kerja Raya berhubung keuntungan 23.6 billion kutipan tol di 19 lebuh raya di negara ini. - mks.

No comments: