Monday, March 12, 2007

SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 17 1A

SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 17 1A
Maslan Yusoh
Mon | Mar 12, 07 | 08:45:42 PM
KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) – Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan mencatat sejarah apabila seorang pelajarnya mendapat 18A (17 1A dan 1 2A) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Siti Fatimah Mukhtar mengulangi pencapaian yang diperolehi Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor yang berjaya mencatat 17 1A dalam peperiksaan SPM 2005.

Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Haji Ahmad Mahmood berkata, dua lagi pelajar cemerlang dari sekolah yang sama iaitu Nur Atikah Mahassan mendapat 15 1A, 2 2A dan Mardhatinajwa Abdullah (12 1A, 5 2A).

“Selain itu seramai tiga pelajar mendapat 15A, seorang mendapat (14 A) dan tujuh pelajar (13A) dari sekolah Yik yang menduduk peperiksaan SPM tahun lepas. Ini mengggambarkan sekolah agama mampu mengekalkan prestasi cemerlang,” katanya di sini.

Menurutnya seramai 4,133 pelajar iaitu 2,956 orang dari sekolah Menengah Ugama (Arab) Kerajaan dan 1,177 pelajar dari sekolah Menengah Ugama Arab Bantuan menduduki itu tahun lalu.

Prestasi sekolah kerajaan meningkat tahun lepas apabila seramai 2,927 pelajar (99.02 peratus) layak mendapat sijil, manakala sekolah bantuan pula 1,127 calon (95.75 peratus) layak memperolehi sijil.

Prestasi keseluruhan sekolah Yik ialah 98.09 peratus berbanding 98.38 peratus tahun sebelumnya.

Sekolah terbaik berdasarkan kepada kelayakan mendapat sijil bagi sekolah kerajaan iaitu Maahad Ahmadi Tanah Merah, Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan.

Bagi kategori sekolah bantuan pula Maahad Darul Anuar, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Ahmadiah Banggol Judah dan SMU (A) As Saadah Mengkebang.

No comments: