Thursday, March 8, 2007

Dari Detikdaily: Negara tidak terurus, namun lena PM makin nyenyak

Negara tidak terurus, namun lena PM makin nyenyak
Posted on Thursday, March 08 @ 08:38:47 CST by reformis
Minda Lutfi


Oleh Ahmad Lutfi Othman


SEGALANYA nampak kelam-kabut, tidak terurus, berterabur, hingga ramai yang bertanya, siapa sebenarnya menguasai negara ini? Badan-badan yang sepatutnya mengangkat integriti negara, seperti BPR dan pasukan polis, paling teruk tercemar dan ia bukan lagi menyeret mata-mata di tepi jalan atau penguatkuasa MPAJ yang menyiasat kes rumah urut, tetapi menolak jatuh wibawa menteri yang bertanggungjawab ke atasnya: Perdana Menteri.

"Malaysia bukan saja tiada ibu, malah bapa pun seakan-akan tidak berperanan," kata seorang pemerhati, sambil menambah Almarhum Endon dan Rosmah Mansor tidak mampu mengulangi peranan Siti Hasmah, dan menekankan bahawa Dr Wan Azizah Ismail nampak lebih berpotensi jika konsep "ibu kepada negara ini" terpakai di Malaysia.


Cerita-cerita Perdana Menteri tiada tumpuan dalam mesyuarat, hilang fokus untuk menekuni masalah negara, menyerahkan tugas kepada pihak lain walaupun dalam hal-hal dasar, selain kisah-kisah perjalanannya keluar negara yang nampak lucu (sekali pandang seperti sukar dipercayai) tapi mengaibkan buat seorang ketua kerajaan, menjadi kian popular dan dijaja dari mulut ke mulut, selain menghiasi laman-laman web dan blog.


"Bayangkan, pernah apabila jet peribadi PM mendarat di sebuah negara luar yang dikunjunginya, pintu jet begitu lambat dibuka sehingga menimbulkan resah penyambutnya di bawah. Rupanya tidak ada orang di atas jet yang berani menggerakkan Pak Lah yang nyenyak tidur," cerita seorang teman, seraya memberi ingatan, "ini betul-betul bukan rekaan".



Saya sendiri langsung tidak percaya apabila membaca posting dalam sebuah bolg yang mendakwa Abdullah Ahmad Badawi, semasa berkunjung ke Venezuela, dalam ucapannya di satu majlis rasmi, boleh tersilap menyebut nama negara itu, sekejap New Zealand, sekejap Bolivia, sekejap Vietnam.

(Kisah ini saya baca buat pertama kali di laman din.huluselangor.net: Dalam aturcara rasmi meraikan lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Venezuela, Presiden Hugo Chavez menganjurkan satu Majlis Makan Malam Negara. Semasa Presiden Chavez memberikan Ucapan Selamat Datang (sebagai seorang pemimpin sosialis, ianya berapi api dan panjang!), PM Abdullah dikatakan terlelap.

(Dalam ucapan balasnya pula, Abdullah menyebut "Venezuela" sebagai "New Zealand"! Dalam satu acara lain pula, PM Abdullah menyebut "Venezuela" sebagai "Bolivia" pula.
Dalam rangka lawatan itu juga, PM Abdullah menyebut "Venezuela" sebagai "Vietnam" juga, dalam ucapannya.

(Di akhir lawatan ke Venezuela itu, semasa sidang media dengan pemberita Malaysia, pemberita Bernama bertanyakan Abdullah Ahmad Badawi, apakah kesan dan hasil lawatan beliau ke Venezuela ini, maka jawapannya "You were not listening to all my speeches in Venezuela, were you?"

(Sepatutnya Abdullah mengunakan peluang sidang media untuk pemberita Malaysia semasa di Caracas untuk merumuskan hasil lawatan, bukan bagi jawapan macam itu. Beliau sebenarnya menolak untuk menjawab pertanyaan pemberita kerana beliau sendiri tida ingat atau tidak tahu apa yang diucapkan).



Cerita betul bukan rekaan

"Kalaupun nak mengata kat Pak Lah, carilah bahan-bahan lain, masih banyak lagi nak pelekeh PM, tapi janganlah sampai fitnah dan mereka-rekakan cerita," kata saya kepada seorang kawan, kira-kira aktivis Umno jugalah. Sepantas kilat dia menjawab: "Hang silap Lutfi, cerita itu betul. Aku berani sahkan, itu kisah benar, memang Pak Lah cakap macam itu. Kawan reporter Malaysia yang ada di majlis itu boleh confirmkan." Saya hanya mampu bertanya balik: "Yakah?"


Jadi, apabila dia turut menyambung cerita bahawa pernah Pak Lah dibawa meninjau satu projek pembangunan dari udara dengan helikopter, tapi terpaksa turun mendarat sia-sia kerana "PM asyik lena di atas sana" dalam jangkamasa agak lama, maka saya tidak berani mengatakan itu satu lagi kisah fantasi!

Kepimpinan. Itulah kelemahan ketara Abdullah. Beliau tidak mampu memandu arah negara, menyerahkan segalanya kepada anggota Kabinet, dan pastinya dapat dimanipulasi dengan mudah oleh Khairy Jamaluddin, menantunya. Petua mudah Abdullah kepada para menterinya: "Pandai-pandailah buat keputusan sendiri, kelak jangan timbul masalah sudah!" Isu Ketua Pengarah BPR dan Johari Baharom hanya cebisan kecil. Banyak lagi bakal meletup namun "lenanya semakin nyenyak walaupun belum bersedia mencari pengganti Endon".



Saya agak kerap membawa cerita mengenai personaliti Abdullah yang goyah itu bukan untuk sengaja mempersendakannnya, apatah lagi sengaja untuk merendah-rendahkan beliau. Abdullah adalah seorang perdana menteri, di tangannya negara dan rakyat menaruh harap. Kita perlukan seorang ketua yang berkebolehan, berdiri sama gagah dengan pemimpin dunia yang lain, mampu merongkai masalah serta mendepani krisis yang timbul. Media boleh menjadi "tukang putar" (spin doctors) memutar-belitkan cerita untuk menonjolkan kehebatan Abdullah yang palsu itu, namun kisah benar tetap terserlah.


Malah ramai pemimpin Umno sendiri mula mengesani bahawa kisah-kisah "lucu tapi aib" mengenai Abdullah sudah menyerap ke akar umbi dan dikira mampu mengalih sokongan cemerlang kepadanya, seperti direkodkan dalam pilihan raya umum 2004. "Saya bukan penyokong Mahathir, tapi banyak kritikan bekas PM itu ada kewajarannya. Harap-harap negara tidak ditimpa taufan masalah. Saya cukup bimbang untuk membayangkan Pak Lah menerajui negara di saat-saat sulit itu," kata seorang veteran Umno.


Di awal pemerintahan, Abdullah - yang pastinya arif dengan gelagat pincang Mahathir yang menyebabkan Umno ditolak pada 1999 - tangkas membetulkan persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan BN apabila bertindak bijak menjarakkan diri dengan Mahathir. Dari segi agama, beliau mengisytiharkan Islam Hadhari, manakala untuk mendekati rakyat yang muak dengan amalan kronisme-korupsi era Mahathir, beberapa tokoh, termasuk menteri, diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Kempen integriti (ramai gusar Abdullah sendiri tidak begitu memahami maksudnya) pun dilancarkan, yang membabitkan beberapa tokoh akademik, antaranya Prof Abdul Rahman Embong dari UKM, seorang beraliran kiri semasa kebangkitan pelajar 1975 dahulu.


Sekarang, apa sudah jadi dengan kempen integriti apabila semua institusi berkaitan musnah wibawanya? Dua kementerian yang diterajui Abdullah, Kewangan dan Keselamatan Dalam Negeri seperti dikosongkan menterinya, walhal inilah kementerian yang paling strategik untuk menangani problem rakyat! Hatta Johan Jaaffar yang mempengerusikan Debat Perdana RTM mengenai integriti pun seperti tak tertanggung apabila wibawanya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP pun tercalar ekoran piket pekerja baru-baru ini.


Tanpa bulan, tanpa cahaya

Rakyat seperti berjalan di malam gelita, tiada bulan, tiada cahaya biarpun di hujung terowong. Alhamdulillah tiada krisis besar, umpama 1997, menimpa negara. Apa pun, bebanan kos hidup yang mencacak naik cukup menghimpit majoriti rakyat. Kelmarin saya turun ke Masjid Kg Baru mencari kaset-kaset dan VCD ceramah, sementara isteri membelek telekung baru dan kupiah buat anak-anak.


Seorang peniaga yang saya kenali sejak zaman reformasi separuh membisik apabila ditanyakan perkembangan bisnesnya: "Berat syekh, bukan saja kami di sini, kedai-kedai makan pun hampir lengang. Kawan-kawan yang berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman pun mengeluh. Berbanding dulu, pendapatan sekarang tak sampai satu pertiga daripada dulu. Orang berkira untuk berbelanja."


Bagaimanapun beliau lebih bimbang jika fenomena hari ini merupakan bala Tuhan, reaksinya selepas saya bertanya bila bisnesnya dan kawan-kawan lain merosot: "Banyak sangat kemungkaran di negara kita terutama melibatkan pemimpin atasan. Ibarat kalau emak ayah bergaduh, yang jadi mangsa anak-anak. Jika pemimpin utama asyik kumpul harta, buat jenayah, menzalimi orang, lupa Allah, akhirnya rakyat menderita. Saya lebih risau jika murka Allah jatuh atas kita semuanya." Itu jawapan biasa, tapi saya agak terkedu dengan jawapan akhirnya: "Selepas kes pembunuhan Altantuya, saya tengok negara banyak hadapi masalah besar."


Manakala Presiden Cuepacs, Omar Osman, dalam wawancara dengan NST, mengakui skala gaji perkhidmatan awam adalah karut kerana masih ada pekerja bergaji RM450 sebulan, dan 600,000 kakitangan kerajaan berpendapatan di bawah RM1,500. (Ini satu kedudukan di bawah paras kemiskinan jika gaji itu tidak berubah beberapa tahun lagi).


Tidak hairanlah, katanya, jika ada yang melakukan dua atau tiga pekerjaan, hanya untuk memenuhi keperluan dan menyara keluarga. "Sesetengahnya bekerja sambilan sebagai pegawai keselamatan, dan terlibat dalam jualan langsung," kata Omar seraya menambah, ramai kakitangan kerajaan meminjam wang daripada Ah Long.


Lupakan sekejap hal itu, tapi sesiapa yang mahu menelah lanjut, teruskan ...


Nampak jelas sukar amat Abdullah untuk membuat sesuatu keputusan, dan jalan senangnyanya dengan membiarkan ia selesai secara semulajadi, ibarat mengubati bisul. Lihat saja isu FTA, Abdullah sampai kini tidak berani merumuskan kesimpulan sehinggakan dua menteri yang dirujuknya, Nor Mohamed Yakcob dan Rafidah Aziz mempunyai pendapat bertentangan. Beliau terus mahu bincang, bincang dan bincang. Saya fikir ramai dapat meneka apa agaknya sikap Mahathir jikalau beliau masih menjadi PM ketika isu FTA timbul.

Kalaupun tiada Khairy



Justeru, dalam keadaan Abdullah begitu, kalaupun tiada Khairy di sisinya, beliau tetap memerlukan seseorang untuk membuat keputusan bagi dirinya. Dan Khairy yang bercita-cita besar itu (bukankah lumrah bagi setiap ahli politik untuk mengimpikan kedudukan lebih tinggi) tetapi masih mentah untuk merumuskan pertimbangan penting untuk negara, mempunyai ruang selesa untuk memperkukuhkan kedudukan dan memenuhkan kantung politiknya.


"Pak Lah cukup malas nak baca kertas cadangan yang dikemukakan padanya," cerita seorang ahli perniagaan yang berkunjung ke Harakah untuk mengadu hal berkaitan RTM dan Pusat Islam. Apa pun pandangannya tentang Abdullah lebih menarik, tambahnya: "Pak Lah kerap bertanya orang di sebelahnya sebelum tenyeh sesuatu di atas proposal itu, bukan menunjukkan dia terbuka untuk mendengar pandangan orang lain, tapi tanda dia tak berminat untuk berfikir hal yang berat-berat."


Dalam sibuk Abdullah dan Johari Baharom berdepan krisis di KKDN, Harakah menerima teguran buat kali kedua, minggu lalu, sempena ulangtahun ke-20, dari kementerian berkenaan, Bahagian Kawalan Penerbitan. Isu sama, selepas genap 20 tahun Harakah beroperasi, kami didakwa melanggar konsep lidah rasmi parti. Artikel dalam Harakah dilihat "tidak seimbang, berbentuk spekulatif yang boleh menggugat suasana dan kestabilan politik negara". Harakah seperti mahu diasak menjadi hanya newsletter (surat berita) parti, dan usah ambil peduli isu-isu rakyat!

Semasa mengendalikan penerbitan sendiri dulu, daleh sama digunakan untuk merentap nyawa Detik dan Wasilah, selain turun naik KDN menerima amaran kerana majalah Tamadun dan akhbar Cabaran terpesong daripada mock-up. Saya terfikir, hanya Harakah ada imuniti untuk mengkritik pemerintah. Ya, masakan akhbar pembangkang tidak bisa menegur penguasa, walhal tujuan oposisi adalah mahu merebut kuasa, bahasa kasarnya "menjatuhkan (oops, menukar) kerajaan".


Selepas memancung kekerapan Harakah, ramai beranggapan mimpi ngeri sudah berlalu. Salah agakan itu! Pemerintah yang mendapat "mandat haram" dan diselimuti seribu satu kemungkaran cukup bimbang tembelangnya didedahkan, meskipun hanya oleh penerbitan kecil yang terbit 15 hari sekali. PAS yang sudah berusia lebih 55 tahun ada kalanya dilayan bagai anak kecil hingusan oleh KKDN, dan juga SPR (rujuk isu boikot Batu Talam apabila PAS, yakni "pelanggan paling setia SPR dan tidak banyak karenah" disifatkan bodoh oleh Pengerusi SPR).


"Apa sangat yang boleh dibuat Harakah?" kata seorang bekas wartawan politik. "Sudahlah pengedarannya merosot lebih separuh, banyak kedai yang dulunya jual Harakah, sekarang tidak berani lagi. Pak Lah takut bayang-bayang sendiri. Saya berani jamin, apa isu pun yang didedahkan Harakah, BN takkan tumbang. Sebagai pemimpin besar, Pak Lah mesti tahan uji menerima kritikan Harakah, jadilah anak jantan, bukan si bacul."


Aduh, sukar sekali pemerintah, khususnya Abdullah dan kroni, bersikap terbuka, berlapang dada apabila berbicara soal kuasa! Lalu, apa lagi yang boleh kami lakukan, apakah Harakah mesti terus-menerus angguk dan mengamalkan budaya "apa titah patik junjung"?


Dalam kedua-dua teguran itu, KKDN langsung tidak memperincikan apa itu liputan "seimbang", apakah satu muka untuk PAS, satu muka untuk Umno? Ataupun hal-hal yang dikira mengaibkan Perdana Menteri seperti gambar Abdullah ketika meraikan tetamu Monsoon Cup, khususnya gadis Bond, Michelle Yeoh, tidak boleh dipaparkan. Juga yang dilarang ialah menceritakan kegusaran rakyat terhadap sikap boros PM dengan bot dan pesawat mewahnya, di samping serangan berbisa Mahathir terhadapnya yang agak kerap kami siarkan.


Harakah boleh menyenarai-panjangkan kemahuan KKDN yang terpaksa dituruti tanpa rela, meskipun sebahagiannya mengarut (serta menelan kos besar) dan layak dibakul-sampahkan saja. Malah sikap cuba melaksanakan apa saja kehendak dan titah KKDN itu menimbulkan reaksi kurang senang ahli-ahli PAS, seolah-olah kita tiada ruang langsung untuk berkata "tidak" dengan apa saja perintah KKDN.


Bernafas dalam lumpur


"Daripada langsung tiada permit atau Harakah diharamkan, lebih baik kita masih dibenarkan bernafas walaupun dengan pelbagai kongkongan dan sekatan," mungkin itu ayat popular bagi menggambarkan sikap majoriti pemimpin PAS.

Akhirnya izinkan saya merakamkan kembali intipati tulisan Rustam A Sani, tentang peluang dan kelemahan opsisi untuk mencipta sejarah dalam pilihan raya akan datang, yang seharusnya direnungi aktivis pembangkang:


1. Pembangkang perlu menampilkan dirinya sebagai alternatif yang sebenarnya (politik baru) – atau sekadar menawarkan suatu penyimpangan sahaja daripada apa yang ada tetapi masih dalam kerangka politik perkauman yang sama jua (politik lama). Ini suatu cabaran berbentuk cendekia atau intelektual yang perlu kita fikirkan dan kita pecahkan secara mendalam lagi kreatif.

2. Kegagalan pihak pembangkang menegakkan suatu barisan bersama berasaskan suatu pemikiran politik baru dalam menghadapi kerajaan Abdullah yang serba lemah ini sesungguhnya sesuatu yang yang amat mengecewakan. Kesepaduan yang demikian itu telah pernah dilaksanakan beberapa ketika dalam kedaan terdesak (1998-99) – dan telah mendatangkan hasil yang agak memberangsangkan juga.

3. Namun parti-parti politik pembangkang itu sendiri tampaknya tidak bersedia merumuskan pemikiran dan budaya politik baru itu, malah lebih-lebih tidak mampu lagi menghadapi desakan daripada golongan penyokong tradisional masing-masing yang sudah terpasung dalam kerangka pemikiran politik lama asuhan Perikatan-BN selama setengah abad sejarah pertumbuhan negara ini sejak merdeka.

4. Faktor “fenomena Anwar” memang merupakan suatu unsur yang kukuh lagi real. Meskipun setakat ini fenomena Anwar (meliputi auranya, pengaruhnya, pemikirannya dan visinya) telah berjaya menyebabkan turunnya Mahathir dari takhta (2003), namun fenomena tersebut masih belum dapat mencetuskan suasana dan budaya “politik baru” yang dapat menyatupadukan gerakan politik pembangkang, yang pro-rakyat lagi progresif di negara ini.

Di samping itu, agak ramai juga pembaca yang bertanyakan, bila lagi saya mahu menyambung tulisan saya mengenai masa depan politik Najib. Insya-Allah, saya cuba bereskan minggu depan selepas bercuti.

No comments: