Sunday, March 11, 2007

PAS optimis tawan semula Terengganu

PAS optimis tawan semula Terengganu
Nyza Ayob
Sat | Mar 10, 07 | 05:21:32 PM
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali melahirkan keyakinan beliau bahawa PAS akan kembali memegang tampuk pemerintahan negeri dari Barisan Nasional sekiranya pilihan raya diadakan dengan bebas dan telus.

Mustafa yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata, walaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum 11 tahun 2004 namun sehingga ini kekuatan PAS dan BN di Terengganu adalah seimbang.

Keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor, khususnya Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh yang gagal menerajui kerajaan negeri.

Kelemahan beliau semakin terserlah, khususnya apabila tiga projek pembangunan di negeri itu seperti projek Pulau Duyong, pembinaan Masjid Kristal dan Moonsun Cup, yang menelan perbelanjaan RM750 juta didakwa berlaku penipuan dan penyelewengan.

Wang tersebut katanya, datangnya daripada dana khas iaitu royalti minyak yang dinafikan sewaktu pemerintahan PAS.

"Wang tersebut hanya boleh dikeluarkan dengan arahan Menteri Kewangan," ujar beliau.

Idris katanya, langsung tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kerana kebanyakan projek pembangunan dilaksanakan oleh kroni Khairy Jamaludin iaitu Patrick Lim.

Beliau mendakwa BN dan Umno mendapat manfaat yang besar daripada projek- projek yang diagihkan tanpa memperdulikan sejak pemerintahan BN, kadar kemiskinan dan pengangguran semakin meningkat di Terengganu.

Mustafa berkata, beliau difahamkan terdapat sebahagian pegawai kerajaan negeri diminta meletak jawatan lebih awal kerana tiada kesefahaman dengan kerajaan kepimpinan BN.

Pesuruhjaya PAS itu berkata, apa pun jika tidak kerana penipuan yang dilakukan, beliau yakin PAS boleh kekal memerintah untuk penggal kedua.

Mengulas mengenai latar belakang pengundi, beliau berkata Terengganu mempunyai pengundi atas pagar yang agak besar terdiri dari kalangan pegawai kerajaan, peniaga dan profesional.

"BN berjanji kepada rakyat untuk membawa pembangunan tetapi tidak sampai ke mana. Wang habis tetapi daripada segi 'delivery'tidak dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat."

"Banyak projek pembangunan di Terangganu dibolot Menteri Besar, Exco dan Wakil Rakyat. Rakyat juga melihat apa yang dijanjikan BN yang tidak kesampaian," tegasnya.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini, beliau mendedahkan BN Terengganu berada dalam keadaan goyah sehingga terpaksa melalukan pendaftaran dan pemindahan pengundi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Kami mempunyai bukti yang nyata. Antara yang terlibat ialah pelajar-pelajar dari KUSTEM. Kami akan mengambil beberapa tindakan serta orang yang bertanggung jawab. Sepatutnya JPN tidak boleh terlibat dalam hal ini," katanya yang percaya tindakan BN itu kerana tidak percaya pada diri sendiri.

"Kami ada banyak maklumat dan kami akan mendedahkannya tidak lama lagi," tegasnya.

Persidangan ICT PAS 2007 di Taman Melewar
Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu merasmikan Persidangan ICT 2007 anjuran Lajnah ICT PAS di Dewan Fadzil Noor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar yang dihadiri kira-kira 1000 peserta dari seluruh negara.

Dalam ucapannya, Mustafa menegaskan PAS meletakkan teknologi maklumat(IT) sebagai satu portfolio baru dan amat penting dalam jentera pilihan raya.

Banyak perkara yang perlu dilakukan melalui keupayaan IT. Jelasnya, PAs yang pertama kali menggunakan sistem komputer dalam pilihan raya pada 1986 dan digunakan untuk menyemak daftar pemilih.

Kemajuan IT katanya, merupakan salah satu perkembangan yang berlaku dalam proses pilihan raya dan demokrasi di Malaysia.

"Lebih penting apa yang kita harapkan daripada perjalanan demokrasi ialah pilihan raya yang bebas dan adil. Bagaimanapun pilihan raya yang bebas dan adil sebenarnya tidak pernah berlaku."

"Pilihan raya yang adil dan bebas hanya dapat dilihat sewaktu pilihan raya selepas negara mencapai kemerdekaan 1959. Kekuatan BN pada masa ini dan masa lalu salah satunya adalah kekuatan media dan jentera kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya dan JPN. Jika perkara ini tidak ada, kita boleh lawan mereka bila-bila masa," katanya.

Tegasnya, penguasaan media, penggunaan politik wang dan penggunaan jentera kerajaan menyebabkan hilangnya pilihan raya bebas dan adil.

Dengan tema 'Reformasi ICT Pemangkin Kemenangan PRU 12' persidangan sehari itu, mendedahkan pelbagai aspek komunikasi teknologi maklumat supaya difahami petugas PAS di semua peringkat.

Turut serta dalam majlis perasmian tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah dan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin. - mr

No comments: