Friday, March 9, 2007

Cubaan cemar nama, Tian cadang saman polis dan media

Cubaan cemar nama, Tian cadang saman polis dan media
Intan Abdullah
Fri | Mar 09, 07 | 11:32:31 AM
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak polis dan media yang didakwanya cuba untuk mencemarkan nama baiknya semasa tragedi Kampung Berembang.

Menurutnya, usahanya untuk mempertahankan hak penduduk Kampung Berembang daripada menjadi mangsa rakus pemaju, kerajaan Selangor dan pihak berkuasa telah dipalsukan sehinggakan pihak stesen televisyen swasta melaporkan bahawa beliau telah melanggar seorang pegawai polis yang mengakibatkannya cedera parah sedangkan perkara itu tidak terjadi.

ImageBeliau memberi amaran kepada semua pihak sama ada pihak polis atau ahli politik kerajaan untuk tidak menggunakan kes ini bagi mencemarkan nama baik beliau sebagai satu alasan untuk memperkecilkan perjuangan mendapatkan tuntutan penduduk kampung tersebut

"Saya datang untuk memberikan sokongan kepada penduduk , dan mereka tiada hak untuk menahan saya daripada memasuki kawasan tersebut," tegas beliau lagi dalam sidang media yang diadakan pada pagi tadi di ibu pejabat PKR dekat sini.

Walau bagaimanapun beliau menganggap tuduhan atas cubaan membunuh tersebut merupakan suatu tindakan pihak tertentu bagi memburukkan nama baik beliau dan memperkecilkan perjuangan penduduk kampung tersebut.

"Kalau polis tidak tuntut satu bill yang lebih berat, bermakna polis sendiri tidak yakin dengan bukti yang dimiliki dengan melemparkan tuduhan tersebut," ujar Tian Chua dalam mempersoalkan tujuan tuduhan tersebut dikenakan ke atas beliau dalam keadaan yang tidak menepati prosedur tetapi pihak polis telah memilih pertuduhan tersebut dengan satu tuduhan tertentu.

Beliau beranggapan bahawa pihak polis ingin mengalihkan tumpuan masyarakat daripada peristiwa perobohan besar-besaran yang tidak berperikemanusiaan tersebut kepada kes cubaan membunuh yang dipalitkan kepada beliau.

Turut Hadir ialah Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Latifah Koya; S. Arutchelvan dari SUARAM dan saksi kejadian, Yeok Lan Heng.

Dalam sidang media itu juga, Tian Chua menyelar sikap pemaju kerana mereka tidak berhak untuk melarang penduduk masuk ke kampung kerana kes tersebut masih dipertikaikan di mahkamah antara penduduk dengan pemaju.

Beliau juga mengecam keras tindakan polis dan Rela yang menggunakan keganasan dalam proses tangkapan.

"Hubungan rapat antara pemaju dan kerajaan Negeri Selangor sebenarnya adalah faktor di sebalik pihak polis dan Rela memihak kepada pemaju dalam isu perobohan Kampung Berembang, Ampang," jelasnya.

Menurut Tian Chua, Lembaga Pengarah syarikat pemaju iaitu Achmar International sebenarnya diterajui mereka yang mempunyai pertalian rapat dengan kerajaan Negeri Selangor.

"Antaranya adalah bekas pegawai khas Menteri Besar Selangor, Dato' Samad Maharudin dan anaknya Mohd Khairul Samad serta bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Hamid," sambungnya.

Sementara itu, Latheefa Koya menyatakan bahawa polis telah bertindak bias ke atas Tian Chua kerana hanya bertindak selepas menerima laporan daripada pihak pemaju.

"Jika Tian Chua betul-betul terlanggar orang, polis harus menahan dia pada ketika itu dan bukan dua jam selepasnya," kata Latheefa.

"Kawad cam seharusnya diadakan segera dalam masa beberapa jam selepas tangkapan dan bukan selepas 24 jam. Ini jelas pihak polis cuba mengkambinghitamkan Tian Chua dengan motif jahat," sambungnya.

Tegas Latheefa, peguam sedang mengkaji tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencemari nama Tian Chua dengan fakta yang tidak tepat. - mks.

No comments: