Thursday, March 8, 2007

PAS terima kunjungan bekas Pengerusi Liga Islam Thailand

PAS terima kunjungan bekas Pengerusi Liga Islam Thailand
Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Mar 08, 07 | 08:40:54 AM
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Pejabat baru PAS di Jalan Raja Laut tidak henti-henti dari menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk dari dalam dan luar negara sejak mula beroperasi dua minggu yang lalu.

Terbaru hari ini Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menerima kunjungan ukhuwwah dari mantan Pengerusi Liga Islam Thailand, Ustaz Abdul Rahman Abdul Samad bersama rombongannya seramai lima orang dari Selatan Thailand.

Meskipun kunjungan tersebut lebih bersifat peribadi kerana kedua-dua tokoh ini pernah sama-sama belajar di Jordan suatu ketika dahulu, namun dikesempatan yang sama Ustaz Abdul Rahman turut meminta jasa baik PAS bagi menjalankan kutipan sumbangan bagi pembinaan sebuah Institut pengajian Al-Quran yang dinamakan Dar-Alquranulkarim School.

Sumbangan itu adalah untuk pembelian tanah dah pembinaan bangunan institusi tersebut, kata Ustaz Abdul Rahman.

Ustaz Abdul Rahman menyatakan harapan yang tinggi agar kertas kerja berupa permohonan mendapatkan mobilisasi bantuan dari PAS dapat dijalankan oleh Timbalan Presiden PAS.

"Kamu alu-alaukan ziarah Ustaz Rahman.Daripada yang disebut tadi (Merujuk kepada wawancara Harakahdaily dengan Abdul Rahman berhubung isu Selatan Thailand), kita tidak boleh hanya dilihat sebagai hubungan peribadi sahaja, tetapi ianya adalah isu ummah kerana hubungan bangsa dan sama agama," katanya lagi.

PAS katanya begitu komited terhadap sebarang usaha membangunkan dan membantu masyarakat Melayu di Selatan Thailand, termasuk dalam soal pendidikan masyarakat Melayu di Selatan Thailand.

Untuk itu katanya PAS mengalu-alukan mana-mana indivdiu, korporat atau syarikat di Malaysia yang ingin menyumbang kepada pembinaan institusi tersebut bolehlah menyampaikan sumbangan melalui PAS dengan menghubungi Pejabat Agung PAS (03-26925000).

No comments: