Monday, March 12, 2007

Perihal GLC yang ingkar dan blogger pembohong

Perihal GLC yang ingkar dan blogger pembohong
A Kadir Jasin
Mon | Mar 12, 07 | 01:22:54 PM
Tiga pembesar Umno iaitu Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Encik Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Tertinggi, Tan Seri Abdul Rahim Tamby Chik – dilaporkan begitu berang.

Mereka dikatakan sangat marah kepada pengurusan kanan GLC kerana gagal hadir kongres yang bertujuan membuat anjakan kepada penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Pegawai-pegawai atasan syarikat yang berkaitan kerajaan itu tidak hadir kongres bertajuk Jihad Ekonomi Melayu anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Pemuda Umno dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Rahim adalah presiden Gabem.

Kongres juga mendengar bagaimana GLC tidak teragak-agak bersaing dengan usahawan Melayu/Bumiputera, menarik balik kontrak Bumiputera dan menggantikan pembekal Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Saya tidak bertujuan mengulas lanjut hal ini kerana ini cerita lama. Saya sekadar ingin bertanya:
  1. Mengapakah GLC begitu berani mengingkari dasar-dasar kerajaan dan memandang remeh usaha memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan?
  2. Bukanlah Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) sendiri pada awal pentadbiran Hadharinya mengarahkan GLC agar tidak bersaingan dengan Bumiputera atau mengambil jalan mudah membuat keuntungan dengan mengambil alih usaha niaga Bumiputera yang berdaya maju?
  3. Bukankah kerajaan sendiri yang mengenakan Indeks Kunci Prestasi (Key Performance Index) yang antara lain menjadi keuntungan sebagai misi utama GLC?
  4. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah banyak daripada pengurus kanan GLC hari ini dikatakan begitu akrab dengan dan sangat hormati kepada Saudara Khairy?
  5. [Dengan maaf dan tanpa prejudis]. Bukankah Tingkat Empat JPM dan Sri Perdana dikatakan begitu berpengaruh ke atas GLC dan pengurusnya?
  6. Dan adakah adil bagi pembesar politik negara, termasuk Hishammuddin, Khairy dan Rahim, mengherdik pengurusan GLC kerana bersaing dengan Bumiputera sedangkan kerajaan sendiri yang mengalih hala tuju GLC daripada "pembinaan kapasiti ekonomi" (economic capacity building) kepada mencari keuntungan?

Blogger Pembohong
Laporan media massa, laman berita Internet dan blog memetik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku (Teuku) Adnan Tengku (Teuku) Mansor Khamis lalu (8 Mac) sebagai menyifatkan pengendali blog (bloggers) "pembohong" dan 80 peratus daripada mereka adalah wanita yang tidak mempunyai pekerjaan.

"Kesemua bloggers adalah pembohong, mereka menipu orang ramai dengan menggunakan pelbagai helah. Berdasarkan apa yang saya difahamkan, dari 10,000 bloggers yang menganggur, 8,000 adalah wanita."

Saya tidak ambil hati dan tidak marah kepada pembesar Umno itu. Sekarang zaman pembesar melatah, marah-marah dan berang-berang.

Malah saya bersimpati dengan mereka kerana bloggers dan laman berita web "are really getting on their nerves."

Jahat sungguh para blogger ini!

Saya Cuma hendak tanya bapak menteri soalan-soalan berikut:
  1. Megapa banyak rakyat jelata Malaysia, khasnya wanita, menganggur?
  2. Bukankah lebih baik orang menganggur atau separuh menganggur (wanita atau lelaki) menjadi blogger daripada menjadi penyalahguna kuasa, perasuah, penyamun, penyangak dan penagih dadah?
  3. Kalau semua blogger "pembohong" kenapakah pembesar seperti Tengku Adnan perlu layan atau takut kepada "pembohongan" mereka?
  4. Kenapa pembesar perlu takut dengan apa yang dihujahkan oleh pembohong blog sedangkan para pembesar mempunyai media massa arus perdana untuk membela dan mempertahankan mereka?
  5. Adakah para pembesar khuatir bahawa tidak semua blogger penganggur dan pembohong?

Sama-samalah kita fikirkan. Saya tidak hairan jika masanya tiba apabila mereka menafikan laporan media dan menyalahkan media kerana kononnya tersalah lapor atau memutar-belitkan hujah.

Sementara itu, Selamat Bercuti-Cuti Malaysia dan terima kasih.

No comments: