Sunday, March 4, 2007

Umat Islam mulai kurang berminat bahasa al-Quran – Sheikh Yusuf Qardawi

Umat Islam mulai kurang berminat bahasa al-Quran – Sheikh Yusuf Qardawi


Ekmal Yusof
Sat | Mar 03, 07 | 07:32:03 AM
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Hrkh) – Presiden Persatuan Ulama Islam Antarabangsa (PUIA) Sheikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi menegaskan umat Islam semakin lemah di seluruh dunia lantaran mereka sudah tiada berminat untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Arab dalam kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata demikian dalam temuramahnya yang dipancarkan TV swasta, Kuala Lumpur Aljazeera, baru-baru ini.

Hari ini, katanya, di negara-negara Arab dan Timur Tengah umat Islam sudah mulai kurang menampakkan minat yang mendalam untuk mengetahui bahasa al-Quran, yang juga bahasa ahli syurga.

“Mempelajari bahasa Arab adalah penting kerana untuk membaca al-Quran terpaksa mengetahui bahasa Arab, malah bersembahyang pun umat Islam semestinya menggunakan bahasa Arab sahaja sepanjang ibadah wajib lima waktu itu,” ujar beliau.

“Apa yang membimbangkan kita ialah seolah-olah sudah menjadi budaya umat Islam di mana jua mereka berada, ibu bapa lebih berminat menghantar anak-anak mereka belajar bahasa asing seperti bahasa Inggeris daripada mempelajari bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Arab,” keluhnya.

Menurutnya, budaya yang berlaku itu sememangnya merupakan agenda musuh Islam untuk melemahkan pegangan umat Islam, seterusnya untuk menjauhkan umat Islam daripada mempelajari bahasa Arab dan pegangan terhadap agama Allah.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam agar berhati-hati terhadap pengaruh dan muslihat Yahudi untuk mengelakkan orang-orang Islam mempelajari bahasa Arab dan menguasai kandungan isi al-Quran. - mns

No comments: