Monday, March 12, 2007

BN gagal bendung pelbagai kemelut yang melanda negara

BN gagal bendung pelbagai kemelut yang melanda negara
Salman Hussin
Mon | Mar 12, 07 | 05:35:14 PM
SEGAMAT, 12 Mac (Hrkh) – Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengajak seluruh rakyat negara ini melihat dengan penuh keinsafan dan kesedaran perkara-perkara yang berlaku ketika ini seperti kegagalan untuk membendung dan menyelesaikan segala masalah serta kemelut yang terus melanda rakyat dan negara ini.

"Rakyat juga perlu melihat semua ini dengan jujur dan ikhlas , jangan pula kita ditipu dan tertipu oleh golongan manusia yang berhasrat untuk menyembunyikan segala keburukan yang berlaku ini," katanya di sini.

Beliau berkata demikian semasa berceramah sempena program Munajat Perdana Mangsa Banjir, yang diadakan di Kampung Jawa, dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfods Mohamad, serta lain-lain pimpinan PAS negeri.

Katanya lagi, "berlaku di hadapan kita berbagai perkara buruk dan tidak baik yang lebih dahsyat daripada bencana banjir seperti keruntuhan akhlak, masalah dadah yang tidak selesai sehingga hari ini, kes pembunuhan yang berlaku hampir saban hari dan juga maksiat serta kemungkaran yang tidak dapat dibendung. "Berkaitan ekonomi pula, walaupun diuar-uarkan dalam media massa kononnya ekonomi kita terbaik tetapi kenaikan harga barangan keperluan seharian rakyat dan juga kenaikan harga tol terus meningkat, semua ini sudah tentu membebankan rakyat jelata." Menurutnya, Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang diberi amanah memerintah negara ini terbukti telah gagal untuk membendung dan menyelesaikan segala masalah dan juga kemelut yang terus melanda rakyat dan negara ini.

"Rakyat perlu sedar dan insaf bahawa mereka juga turut bertanggungjawab terhadap segala kepentingan negara ini termasuk dalam perkara memilih kerajaan, justeru bagi memperbetulkan keadaan ini maka rakyat perlu memilih sebuah kerajaan baru bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan negara ini pada masa depan," jelasnya lagi.

Katanya lagi, "oleh kerana negara kita dikenali dengan negara demokrasi maka rakyat diberi peluang untuk menjadi hakim bagi menghukum mana-mana kerajaan yang bersalah dan sekaligus memilih sebuah kerajaan baru dalam pilihan raya. "PAS yang ditubuhkan oleh para ulama dan juga cerdik pandai Islam pada 1951 terus wujud dan kekal sehingga hari ini dan PAS terus mengajak rakyat membuat pembetulan terhadap kesilapan-kesilapan serta kemusnahan yang berlaku di sekeliling kita melalui amalan demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara,"katanya. Sehubungan dengan itu tegasnya lagi, "kita wajib menghidupkan semula tanggungjawab penting yang telah ditinggalkan oleh orang Islam selama ini iaitu kewajipan memerintah negara dengan berpandukan kepada petunjuk Allah SWT seperti mana yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w." - mks.

No comments: