Monday, March 12, 2007

Yayasan Amal bantu bina rumah rakyat di Johor

Yayasan Amal bantu bina rumah rakyat di Johor
Salman Hussin
Mon | Mar 12, 07 | 05:39:33 PM
SEGAMAT, 12 Mac (Hrkh) – Seorang ibu tunggal di Kampung Tenang Labis, dekat sini, Zainab Haji Lahom, 75, mampu tersenyum lebar apabila kerja-kerja membina rumah baru bagi menggantikan rumah beliau yang sudah uzur dimulakan baru-baru ini.

Kos pembinaan rumah beliau yang berukuran 35' x 20' dan dianggarkan berjumlah RM15,000 ini dibiayai oleh Yayasan Amal Malaysia manakala kerja-kerja pembinaan rumah ini dilakukan secara bergotong-royong oleh Unit Amal dan penduduk kampung tersebut.

Zainab yang kematian suami kira-kira setahun lalu tinggal bersama seorang daripada lima anaknya, Ramlah Abu Bakar, yang juga ibu tunggal dan mereka berdua tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap.

Ketika ditemui beliau berkata, “perbelanjaan makan minum kami dua beranak ditanggung oleh anak-anak makcik, itu pun sekadar cukup makan sahaja, maklumlah anak makcik pun bukan orang senang dan dia orang pun sudah ada keluarga sendiri.

“Sebab itu walau pun rumah pusaka makcik yang sudah berusia lebih 50 tahun ini sudah begitu uzur makcik tidak mampu untuk memperbaikinya, syukurlah ada pihak yang bersimpati dengan kami, makcik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada PAS yang telah bersusah-payah mengusahakan pembinaan rumah baru makcik ini," jelasnya terharu.

Ketika ditanya sama ada sebelum ini ada pihak-pihak lain seperti Ketua Kampung, Penghulu atau wakil rakyat datang menjenguk, bertanya khabar atau berjanji untuk membantu beliau, makcik Zainab sambil menggelengkan kepala berkata, “tidak pernah langsung, ketua kampung kalau lalu pun langsung tak menoleh ke rumah makcik,jauh sekali nak menolong, bertanya khabar pun tidak.

“Mujurlah ada Nasir dan Ayub (merujuk Setiusaha dan Ketua Pemuda PAS Labis), mereka berdua inilah yang selalu bertanya khabar dan menziarahi makcik, bahkan semasa banjir hari tu mereka bersusah payah membantu makcik."

“Umno bukan saja tidak bersimpati dengan penderitaan makcik selama ini malah bantuan banjir yang sepatutnya makcik dapat RM500 pun mereka ‘songlap’, bila makcik buka sampul surat yang sepatutnya mengandungi wang sebanyak RM500, di dalamnya cuma ada RM200 sahaja, bakinya RM300 lagi lesap entah kemana," jelasnya lagi.

Setiausaha PAS Labis, Nasir Ahmad, ketika ditemui memberitahu, selain makcik Zainab, terdapat dua buah lagi rumah keluarga miskin di Kampung Lembah Bakti Labis, yang perlu dibaiki berikutan keadaannya yang sudah agak uzur.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Mohamad, yang mengetuai gotong-royong ini ketika ditemui berkata, “mengikut perancangan asal terdapat 20 keluarga miskin di seluruh negeri ini disenaraikan dalam projek pembinaan rumah rakyat oleh Yayasan Amal ini.

"Bagaimanapun pembinaan projek ini tertakluk kepada keputusan Yayasan Amal itu sendiri, PAS Johor hanya bertindak sebagai pemantau keluarga miskin di negeri ini selain sebagai ‘pemaju projek’ yang menyediakan tenaga kerja,"katanya.

Menurutnya lagi, sebuah lagi rumah keluarga miskin di Air Hitam akan dibina dalam masa terdekat ini manakala yang selebihnya sedang menunggu kelulusan Yayasan Amal. - mks.

No comments: