Monday, March 5, 2007

Pertemuan Ahli Parlimen, pemaju dan MPPP undang kemarahan penduduk

Pertemuan Ahli Parlimen, pemaju dan MPPP undang kemarahan penduduk


Mohd Sabri Said
Mon | Mar 05, 07 | 05:26:29 AM
JELUTONG, 5 Mac (Hrkh) - Pertemuan singkat antara Ahli Parlimen Jelutong, Lee Kah Choon; wakil pemaju Multiway Development & Constructions Sdn Bhd dan Persatuan Penduduk Kampung Telaga Rendah, Jelutong Timur pagi tadi sekali lagi buntu berikutan pihak pemaju dan Ahli Parlimen berkenaan masih memainkan 'irama lama'.

Harakahdaily sempat bertemu Pengerusi Persatuan Penduduk, Malik Ridzuan Khalid untuk bertanya keadaan yang sebenar.

Beliau yang ditemani oleh beberapa orang Jawatankuasa Bertindak Kampung berkenaan menjelaskan, pihak pemaju terus berdegil untuk tidak mahu melunaskan permohonan penduduk sepertimana yang dikehendaki dalam pertemuan pada pertengahan bulan Februari lepas.

Malah, mereka hanya mengalunkan janji lama untuk lakukan tindakan susulan tetapi apa yang terjadi sekadar menuang air di daun keladi.

"Kami menganggap pertemuan pagi tadi sia-sia saja kerana tiada keputusan baru didapati. Bagi mereka mungkin berjaya kerana datang menunjukkan muka sebagai bukti prihatin, " ujarnya kesal.

Sepatutnya pertemuan pagi tadi mencetuskan beberapa tindakan hasil dari 12 desakan yang dikemukakan sejak dulu.

Ahli Parlimen Jelutong sebenarnya boleh memainkan peranannya membetulkan keadaan dengan melarang syarikat berkenaan mendapatkan permit menduduki sehinggalah masalah yang membabitkan penduduk diatasi.

"Kedatangan Lee Kah Choon bukan meredakan keadaan sebaliknya mengundang kemarahan penduduk bila tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk mendesak pemaju dari mendapatkan permint menduduki, " tambah beliau.

Penasihat Persatuan Penduduk, Haji Omar Abdul Kadir pula menyifatkan, keegoan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dato' Abu Bakar Hasan ketika perjumpaan di pejabatnya amat dikesali.

"YDP MPPP sanggup kata kami tak setaraf dengan dia nak bincang masalah yang kami hadapi. Apa yang dia buat sebaliknya meluluskan projek tanpa turun padang melihat sendiri keadaan sebenar, " tegasnya kecewa.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Padang Tembak, Haji Ismail Yaacob pula marah dengan sikap pemaju yang tidak memgendahkan desakanya membaiki keadaan longkang yang dibina.

Akibat pembinaan yang tidak stabil menjadikan air bertakung sekaligus mengundang nyamuk Aedes.

"Saya pernah dimarahi oleh Pegawai Kesihatan kerana tidak menjaga longkang di keliling rumah. Padahal ini bukan salah saya, " jelas beliau.

Pertemuan hari ini, ibarat menambah koleksi pertemuan sahaja antara ketiga-tiga pihak sedangkan pertemuan sebelum ini pun tidak membawa perubahan walaupun didesak bertubi-tubi oleh penduduk.

Sepanjang pertemuan demi pertemuan yang diadakan selama empat tahun YDP MPPP dan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Syed Amiruddin Dato' Syed Ahmad langsung tidak datang untuk bertanya khabar. - mks.

No comments: