Friday, March 23, 2007

Tingkatkan tekanan: SPR perlukan pembaikan

Tingkatkan tekanan: SPR perlukan pembaikan
Dr Shafie Abu Bakar
Fri | Mar 23, 07 | 09:00:31 AM
Malaysia memilih pemerintahan secara demokrasi sebagaimana ditegaskan di dalam perlembagaan bahawa:

"The basic concept of the Federation Constitution, as that of Malaysia, was the formation of a democracy, of a representative government responsible to an electorate." (The Constitution of Malaysia, 1964: 32).

Advertisement
Salah satu ciri penting di dalam pemerintahan secara demokrasi ialah mendapat kuasa atau `mandate` memerintah Negara melalui proses pemilihan rakyat yang dikenali dengan `pilihanraya`. Melalui kemenangan di dalam pilihanraya melayakkan calon pada peringkat parlimen menduduki Dewan Rakyat atau pada peringkat negeri menduduki Dewan Undangan Negeri.

Parti-parti atau kumpulan individu yang menang secara mejoriti melayakkan mereka membentuk kerajaan memerintah pada peringkat Federal dan Negeri. Dengan ini dapat difahami bahawa pilihanraya adalah satu institusi berkonstitusi yang amat penting diperuntukkan dalam perlembagaan. Melaluinya dinaikkan atau dikekalkan sesebuah pemerintahan atau diturunkan sesebuah pemerintahan dan menggantikannya dengan yang lain. Perlembagaan memperuntukkan:

``Elections for both the House of Representatives and State Legislative Assemblies are conducted by the Election Commission under provisions of the Constitution, of federal law, and of the Commission’s own regulations.`` (Ibid.: 77).

Badan yang mengendalikan pilihanraya ini amat penting. Jika amanah mengendalikan pilihanraya ini dikendalikan dengan baik, maka hasil pilihanraya dihormati dan diakui, tetapi jika dalam perjalanan pilihanraya berlaku penipuan, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan penyelewengan maka hasil pilihanraya dipersoalkan, tidak diiktiraf bahkan ditolak.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
Sebagai sebuah Negara yang perlembagaannya berasaskan demokrasi dan pemilihan pemerintahnya melalui pengundian, maka badan yang diamanah dan dipertanggungjawabkan ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Badan ini atau yang seumpama dengannya telah diwujudkan bagi mengendalikan pilihanraya umum pertama 1955. Sejak itu hingga kini sudah 11 kali pilihanya umum telah diadakan. Setelah lebih setengah abad berlalu banyak kelemahan dan kepincangan di dalam SPR dan perjalanan pilihanraya berlaku. Ini dapat dilihat:

Kedudukan SPR
Kedudukan SPR adalah dipersoalkan, kerana ianya diletak di bawah kuasa Perdana Menteri dan bukannya sebagai sebuah badan tertinggi yang bebas. Perlembagaan menyebut:

``One of the Commission’s important functions is that recommending to the Prime Minister for ultimate decision …`` (Ibid.).

Sebab itu dilihat SPR, bahkan ada tuduhan SPR sebagai alat kerajaan atau diperalatkan oleh kerajaan bagi mencapai cita-cita politik dan pengekalan kerajaannya.

Kebebasan Pemerintah Mengubah Sempadan Pilihanraya

Oleh kerana SPR di letak di bawah Perdana Menteri dan kekuasaan pemerintah, maka berlaku pengubahan sempadan pilihanraya secara sewenang-wenang menurut kepentingan parti pemerintah. Peruntukan perlembagaan mengatakan:

``The constitution (under the government) directs to commission to review the division into constituencies at eight to tens year intervals; and if parliament has by law admitted new states or altered the boundaries of any States, the commission may undertake a review of constituencies even if fewer than eight years have elapsed since law review.`` (Ibid: 77).

Lantaran itu didapati banyak berlaku perubahan sempadan bagi pilihanraya contoh 2004 bersifat sewenang-wenang dan di luar kewajaran. Contoh persempanan semula bagi Parlimen Serdang dan DUN Bangi dan lain-lain, yang dilihat bagi menjamin kemenangan pihak pemerintah.

Perubahan Persempadanan di Luar Dari Tempoh
Terdapat perubahan persempadanan dilakukan (2005) di luar dari tempoh kebenaran yang dilihat bagi memperkukuhkan kedudukan parti pemerintah pada pilihanraya mendatang. Contoh kemasukan Taman-Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Koperasi LLN, Semarak dan Pasir Mas yang melibatkan 33 lokaliti yang asalnya berada di P. 101 Hulu Langat, N. 25 Kajang, Daerah mengundi Sungai Chua Satu (101/25/08) dipindahkan ke P.102 Serdang, N.26 Bangi Daerah mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12).

Juga dipindahkan Taman Kajang Mewah melibatkan 7 lokaliti yang asalnya berada di P.101 Hulu Langat, N.25 Kajang Daerah Mengundi Sungai Chua Dua (101/25/06) dipindahkan ke Parlimen P.102 Serdang, N.26 Bangi, Daerah Mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12). Perpindahan ini melibatkan perpindahan bilangan pemilih daftar terkini seramai 1354 orang bagi daftar suku terakhir 2006. Perpindahan ini dilakukan secara senyap.

Apabila perkara ini disedari, pihak PAS Serdang membangkitkan perkara ini (permulaan kepada SPR Selangor 2 Februari 2006) kepada pihak-pihak berkenaan, jawapan diberi SPR tidak berasaskan peruntukan undang-undang, kerana tiada peruntukan sedemikian wujud. (Rujuk PPRS (O)/PEN/51(49) bertarikh 7 Februari 2007).

Berahsia Dengan Tarikh Pilihanraya
Oleh kerana SPR berada di bawah Perdana Menteri, maka salah satu kesempatan digunakan ialah kuasa menentukan tarikh pilihanraya yang menjadi rahsia padanya, tarikh ini selalunya menjadi teka teki rakyat. Perdana Menteri sudah tentulah mengambil kesempatan memilih tarikh yang paling sesuai bagi kepentingan parti (BN) dan pemerintah.

Perkara ini dilihat sebagai tidak wajar dan tidak adil. Mengapa Negara-negara lain seperti Indonesia, Taiwan, India dan sebagainya dapat menentukan tarikh pilihanraya secara terbuka dan jauh sebelum tarikh pilihanraya ?

Undi Pos
Peraturan-peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981 pecahan 25C banyak diexploitasi oleh pihak pemerintah bagi kepentingan parti pemerintah (BN), ramai dari kalangan keluarga seperti tentera dan polis yang boleh mengundi menurut saluran biasa diberi peluang mengundi secara pos.

Pengundian pula bersifat tertutup. Ada pengakuan-pengakuan pihak yang patut mengundi secara sendiri dilakukan pengundian oleh ketua-ketua secara proksi. Terdapat peti-peti undi yang dijumlah seharusnya kalah diselamatkan oleh undi pos misteri. Ini menunjukkan undi secara pos sudah tidak releven dan perlu dihapuskan. Ada cara lain dapat dilaksanakan bagi mereka yang kritikal dan berada di perbatasan sempadan dan luar Negara (diplomat).

Amalan-Amalan Dipersoalkan
Selain dari kelemahan peruntukan undang-undang dan akta sebagaimana diperkatakan di atas banyak penyelewengan-penyelewengan berlaku bagi kepentingan pihak berkuasa.

Daftar Pemilih Dan Export Pengundi
Telah banyak dipersoalkan misalnya mengapa berlakunya peningkatan pengundi 2004 melebihi 85% di Terengganu bahkan pada setengah tempat sampai 98.33% (N 22 Manir), 88.84% (P 37 Marang) dan 90.11% (N 30 Kijal), padahal peratus normal antara 60 – 70% pengundi keluar mengundi.

Dalam satu ceramah pada 9.3.2007 di Shah Alam disampaikan oleh Bekas Setiausaha UMNO dari satu kawasan Wilayah Persekutuan yang dipecat dari UMNO dan sebelumnya terlibat di dalam mengatur strategi kempen bagi UMNO memenangi pilihanraya kecil Kuala Brang (28 Ogos 2004) dan Pengkalan Pasir (6 Disember 2005) sebagai respon dari pertanyaan penulis berhubung dengan kemenangan BN di Terengganu (Mac 2004), beliau membuka rahsia, sememangnya pihak BN, khususnya UMNO membuat perancangan teratur bagi menawan Terengganu dan Kelantan dan memastikan Kedah tidak jatuh ke tangan PAS, ialah dengan mengexport pengundi-pengundi yang berlebihan dari Wilayah Persekutuan dan Selangor di samping membekalkan kad-kad pengenalan sementara kepada bukan warganegara ke negeri-negeri tersebut, khususnya Terengganu. Menurutnya ini adalah merupakan salah satu cara tipu helah yang dilakukan. Beliau mengaku BN, khususnya UMNO banyak menggunakan duit kerana setiap kerja perlu digerakkan dengan duit.

Pemindahan dan Kemasukan Pengundi
Terdapat berlakunya pemindahan pengundi pada satu DUN di keluarkan ke Dun yang lain sesama di dalam satu parlimen atau di luar dari satu parlimen. Pemindahan ini dilakukan tanpa permohonan dari pihak pengundi. Ini dilakukan oleh kerana ianya menyokong pihak lawan parti kerajaan, manakala yang dimasukkan ialah dari pihak penyokong parti kerajaan.

Mengundi Lebih Dari Sekali
Ini berlaku dengan adanya nama pemilih lebih dari satu tempat dan pemilih berkesempatan mengundi dan bergerak ke tempat mengundi yang lain dalam tempoh masa mengundi. Mereka yang seumpama ini ditaja dan dibiayai bagi membolehkan mereka mengundi.

Satu cara lagi ialah pengundi yang ditaja seperti dari kalangan bukan warganegara yang diberi kad pengenalan sementara untuk mengundi antaranya dengan mengisi tempat pengundi yang telah mati.

Jumlah pengundi yang mati yang daftar mereka tidak dilupuskan yang mungkin digunakan dalam pilihanraya Mac 2004 adalah seramai180,000. Setengah daripada mereka telah meninggal sejak 20 hingga tiga puluh tahun yang lepas lagi. (NST, November 19, 2006: 7).

Memanipulasi Kertas Undi Dan Borang-Borang
Hari mengundi hingga kepada pengiraan undi adalah merupakan puncak dari segi pertandingan pilihanraya. Dalam masa tersebut boleh berlaku berbagai tipu daya yang boleh mengalahkan lawan dengan secara batil.

Salahlaku pengundi antaranya tidak membuang kertas undi, tetapi dibawa keluar untuk dijual kepada parti-parti tertentu bagi dimasukkan oleh pengundi lain ke dalam peti undi dan juga pembuangan kertas undi yang dibawa masuk secara lebih. Penipuan juga boleh berlaku semasa mengira kertas-kertas undi dan memasukkan jumlah dan keputusan undi.

Sesuatu yang selalu diperingat dan ambil penting di dalam perhatian ialah penandatanganan bagi jumlah undi di dalam borang 14 dan salinan borang yang harus dipegang salinannya oleh pihak petugas. Banyak peristiwa dilaporkan kelalaian pihak petugas yang tidak menyerahkan borang 14 dan tidak mengambil tandatangan membawa kepada terbukanya ruang penipuan dalam mana jumlah undi dapat diubah dan mengubah keputusan seseorang calon yang sepatutnya menang menjadi sebaliknya.

Penyalahgunaan Kuasa
Banyak penyalahgunaan kuasa boleh berlaku di dalam proses pilihanraya antaranya pemberian wang atau habuan-habuan tertentu, menggunakan peruntukan kerajaan, kemudahan kerajaan bagi kepentingan parti seperti kenderaan kerajaan, media kerajaan, menggunakan pegawai-pegawai, kakitangan kerajaan dan kemudahan kerajaan dengan bertopengkan pelancaran atau pembukaan projek tertentu yang pada hakikatnya merupakan kempen. Di samping itu menyekat hak-hak yang seharusnya didapati parti lawan.

Satu penyalahgunaan kuasa yang amat serius dan tiada sebarang peruntukan akta dan undang-undang yang dilakukan pada pilihanraya Mac 2004, dan tidak pernah berlaku sebelum itu ialah penambahan waktu mengundi di Negeri Selangor dari jam 5.00 petang hingga jam 7.00 petang.

Penyalahgunaan kuasa dan tindakan di luar dari akta dan undang-undang ini seharusnya membatalkan pilihanraya Mac 2004 di Selangor. Penyalahgunaan kuasa juga berlaku semasa `Caretaker Government`, iaitu sesudah perletakan jawatan kerajaan yang memerintah hingga tempoh keputusan pengundi.

Kerajaan yang memerintah nampaknya tidak mematuhi kehendak dan batas-batas yang dibenarkan kepada `Caretaker Government`.

Perlunya Perombakan dan Pembaikan SPR
Dari pembicaraan di atas memperlihatkan wujudnya kelemahan beberapa peruntukan dalam perlembagaan, juga akta-akta dan perjalanan pilihanraya. Kelemahan-kelemahan ini banyak diexploitasi oleh parti pemerintah bagi mengekalkan kemenangan.

Berikut dari berlakunya kekecohan di dalam pilihanraya Mac 2004 Pengerusi SPR Tan Sri Rashid Abdul Rahman sendiri menyedari kelemahan SPR dan beliau mencadangkan agar ditubuhkan badan bebas menyiasat kelemahan SPR. Katanya:

``Badan bebas itu perlu turut dianggotai oleh parti-parti pembangkang utama bagi mengkaji secara menyeluruh kekuatan dan kelemahan SPR,`` menurutnya, ``Laporan oleh badan itu kelak hendaklah lengkap, telus dan mengandungi fakta-fakta yang perlu diketahui umum. Walaupun kebanyakan kritikan terhadap SPR berkaitan dengan daftar pemilih, pihaknya beranggapan bahawa kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kedudukan Pengerusi dan ahli-ahli SPR yang akan datang tidak terjejas kerana kelemahan-kelemahan yang mungkin berulang. Ini kerana selagi undang-undang termasuk daftar pemilih sedia ada diguna pakai, selagi itulah ia akan dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengannya.`` (UM, 25 Mac 2004: 1).

Pada waktu yang lain Abdul Rashid disamping mengumumkan 180,000 pengeluaran nama pengundi yang telah mati beliau menyeru pihak kerajaan:

`` The government should review election laws to put them on par with standards in most developed countries and developed ones, such as India,`` Menjawab wawancara NST, Abdul Rashid bercakap tentang, ``duplication of voters` names in the electoral roll, allegation of phantom voters, claims that the commission was not transparent, shortcoming of the law, balanced media coverage and the position of a caretaker government.`` (NST, November 19, 2006).

Sewaktu lain semasa menyampaikan ucaputama di dalam majlis, Badan Pengurusan Pilihanraya – Suatu Elemen penting Dalam menghasilkan integriti pilihanraya Demokratik di Bangi, beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya:

``Badan itu distruktur semula dan undang-undang serta peraturan pilihanraya di bawahnya yang sudah berusia 50 tahun dirombak secara drastic. Kajian semua itu bertujuan menjadikan SPR dan proses pilihanraya yang sering dikritik pelbagai pihak, menjadi lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat Negara ini.`` (UM, 9 Januari, 2007: 1).

Walau bagaimana harapan Abdul Rashid ini tidak pernah diberi perhatian dan tidak mendapat respond dari pihak pemerintah. Kerana pihak pemerintah yang juga pemimpin parti-parti yang memerintah (BN) tahu, Abdul Rashid setakat ini hanya bercakap dan tidak bertindak. Bahkan sikapnya yang kadang-kadang dilihat double standard, tidak konsisten dan bercelaru tidak diyakini oleh pembangkang.

Abdul Rashid di samping menyuarakan pendapat agar SPR dirombak, pada ketika yang lain maukan SPR diberi kuasa yang lebih, maukan pengkritik-pengkritik memberi fakta penyelewengan SPR, pada hal beliau sendiri yang menyedari kelemahan-kelemahan SPR dan memperkatakan tentang kelemahannya.

Beliau juga membela SPR tidak berpihak kepada pihak pemerintah. Mutakhir Abdul Rashid membela bahawa SPR adalah bersifat telus (BH, 22.3.07: 3), tetapi banyak bukti memperlihatkan sikap berpihak SPR bahkan diperkudakan oleh pihak pemerintah.

Sokong SPR Dirubah
Cadangan agar SPR dirubah datang dari banyak pihak antaranya dari pihak penyelidik seperti yang dilakukan pelajar Ph. D. Wong Chin Huat di Essex University yang mengkaji sistem pengundian di Malaysia Barat dari 1982-2004 yang mendapati sudah ketinggalan zaman, tidak demokratik dan perlu dirubah (the Sun, January 15, 2007: 10).

Desakan juga datang dari `Bersih` iaitu kumpulan pendesak yang maukan perjalanan pilihanraya berjalan secara bersih. Mereka maukan agar senarai daftar pilihanraya dibersihkan, pengundi ditanda jarinya dengan dakwat untuk mengelak dari mengundi berulang kali dan maukan undi secara pos dihapuskan.

Desakan juga datang dari NGO-NGO, Persatuan maukan pilihanraya secara adil dan telus, kalangan akademik dan pemerhati-pemerhati politik bebas. Pihak parti-parti pembangkang sememangnya memprotes terhadap ketidakadilan perjalanan pilihanraya terutama pada Mac 2004 yang dianggap kacau dan bercelaru.

Sebagai memprotes terhadap perjalanan pilihanraya yang tidak adil pihak pembangkang memulau dari menyertai pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 januari 2007.

Siapakah Yang Tidak Setuju SPR Dirubah?
Mereka tidak lain dari pemimpin-pemimpin dari parti BN yang memerintah. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib selaku Ketua Penerangan Umno berkata: ``the country would not have developed so well and been economically progressive if it had chosen an inappropriate electoral system.`` (the Sun, Much 12, 27, 2007: 2).

Datuk Sri Chia Kwang Chye, Setiausaha Agung Gerakan berkata: ``The Country has conducted general election 11 times without problem and everyone respected the results. So no reform is needed.`` (Ibid.), manakala Datuk Fu Ah Kiow Ketua Biro Publisiti MCA berkata: ``The current system served the country well, so there was no need for reform.`` (Ibid.), manakala Datuk S. Sothinathan Naib Presiden MIC agak enggan memberi komen, kerana bimbang takut tersilap sebagaimana kesilapan yang pernah menimpa dirinya dulu.

Pendapat yang agak berlainan dari pihak parti pemerintah datangnya dari Datuk Shahrir Abdul Samad Ahli Parlimen Johor Bahru. Beliau berkata, ``Penyemakan semula badan itu sememangnya tepat pada masanya bagi meningkatkan keberkesanan perjalanan pilihanraya,`` Menurutnya, ``Walaupun selama ini SPR telah menguruskan proses pilihanraya dengan baik, namun kelemahan masih ada kerana sistem yang digunakan SPR telah berusia 50 tahun.`` (UM, 10 Januari 2007: Dalam Negeri : 3).

Kempen Ke Arah Perubahan
Jelaslah pihak Kerajaan, kecuali Shahrir, tidak mau kepada perubahan, perombakan atau pembaikan, bukan mereka tidak peka, tetapi kerana kepentingan. Dengan pengekalan SPR sebagaimana yang ada, maka dengan kelemahan yang ada pada SPR, mereka dapat mengexploitasi dan mengekalkan kuasa sebagaimana mereka pernah lakukan selama ini.

Sebab itu kempen kesedaran hendaklah terus dilakukan agar rakyat sedar bahawa adalah hak mereka untuk mendapat perjalanan pilihanraya yang adil dan telus. Sebarang penyelewengan adalah pengkhianatan terhadap hak mereka.

Kepungan idea dan kesedaran hendaklah dilakukan agar pegangan dan pendapat BN dan tokoh-tokoh yang berpendapat tidak perlu kepada perombakan SPR terpinggir kepada satu sudut yang memerangkap mereka sehingga dilihat sebagai tidak releven dan berkepentingan serta hilang kepercayaan rakyat.

Cara yang dilakukan dan berterusan hendaklah melalui berbagai cara seperti penerangan melalui media letronik, internet, laman web, blog, tv bebas hatta melalui SMS, melalui media cetak, akhbar, majalah, risalah, sepanduk, kain rentang dan pamphlet, bahkan penerangan juga dilakukan melalui kuliah, usrah, ceramah, foram, syarahan, diskusi, perbincangan dan himpunan rakyat.

Perombakan dan Pembaikan
Perombakan yang dimaksudkan bukan sekadar menambahkan kuasa kepada SPR sebagaimana dikehendaki oleh Pengerusi SPR, kerana dengan penambahan kuasa belum tentu dapat memperbaiki perjalanan dan jika dikatakan fungsi SPR setakat menjalankan pilihanraya, maka barangkali nama dan ruanglingkup SPR perlu diubah daripada SPR misalnya kepada `Suruhanjaya Pelaksana Demokrasi` (SPD).

Dengan SPD ianya tidak saja bertanggungjawab melaksanakan perjalanan pilihanraya, tetapi secara berterusan dapat memantau pemerintahan dan memastikan ianya tidak menyeleweng dari melaksanakan pemerintahan berlandaskan demokrasi. Parti-parti politik juga dipantau agar kegiatan tidak terkeluar dari landas-landas demokrasi. Walau apa pun bagi merombak dan memperbaiki badan SPR kini hendaklah melalui penubuhan Suruhanjaya Bebas.

Anggota Suruhanjaya hendaklah terdiri dari hakim-hakim atau mantan hakim, pemimpin-pemimpin NGO yang dihormati, wakil-wakil partai-partai politik berkedudukan, para professional yang releven dan orang-orang perseorangan yang berjasa dan dihormati. Orang ramai juga diberi peluang memberi pendapat dan pandangan.

Di dalam merangka akta dan aturan SPD atau yang seumpamanya mungkin melibatkan kedudukan SPD, skop dan ruanglingkup, kuasa yang diperuntukkan, keahlian, pilihanraya, penentuan tarikh pilihanraya, aturan-aturan, penentuan kemenangan (secara majoriti atau proportionate (perkadaran) pengundi, kesalahan-kesalahan, hukuman-hukuman, pemerhati dalam dan luar dan sebagainya yang mencerminkan keadilan dan ketelusan serta berpiawaian
antarabangsa.

Sekian.

Bangi,
03 Rabiul Awal 1428.

No comments: