Friday, March 23, 2007

Belakang Mati' Chow Kit berubah adanya Pejabat Agung PAS?

Belakang Mati' Chow Kit berubah adanya Pejabat Agung PAS?
Adnan Ibrahim | denanbrahim@yahoo.com
Fri | Mar 23, 07 | 08:50:42 AM
Pesekitaran Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut terdapat kawasan yang dipanggil 'Belakang Mati'. Kawasan itu mungkin boleh bertukar wajah di hujung minggu jika ada usaha menjadikan persekitaran itu seperti di tengah bandar Kota Bharu pada hari Jumaat.

Advertisement
Hujung minggu Kota Bharu jatuh pada hari Jumaat, berlainan hujung minggu di Belakang Mati pada hari Ahad. Namun hujung minggu di Kota Bharu meriah apabila orang ramai berkumpul di Jalan Dato' Pati, Hulu Pasar, Hilir Pasar, Padang Garung, Jalan Maju dan beberapa jalan lain.

Mereka seolah sudah faham, duduk bersila di atas jalan raya pada hari itu tidak menjadi kesalahan. Kepala mereka menghadap Dewan Zulkefli, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Setiap yang hadir di persekitaran laluan pejabat itu cukup khusyuk mendengar suara daripada bangunan tersebut.

Boleh dikatakan setiap pagi Jumaat mereka berkumpul di Dataran Ilmu bermula dengan aktiviti perniagaan. Kemudian perniagaan terhenti apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mula berceramah jam sembilan pagi.

Lebih kurang sejam setengah selepas itu suasana sunyi mula bising. Aktiviti perniagaan kembali rancak sehingga orang ramai beransur pulang untuk solat Jumaat.

Bagi hujung minggu Belakang Mati, Chow Kit pun ramai orang antaranya rancak menjalankan perniagaan. Dari memborong barangan hingga tawar menawar perkhidmatan seks murahan.

Tak cukup berlainan jenis, sejenis pun boleh jalan. Lorong Haji Taib sudah menjadi terkenal dan `glamour' sebagai tempat maksiat seantaro dunia.

Mereka yang berdiri di celah bangunan Belakang Mati ini tak sama dengan insan yang berdiri di celah bangunan Kota Bharu mendengar kuliah Tuan Guru. Kalau di sini pasang mata di Kota Bharu pasang telinga. Persamaan persekitaran mungkin hampir tetapi perbuatan cukup berbeza.

Perubahan Chow Kit
Kita harap dengan wujudnya Pejabat Agung PAS di tengah bandar Kuala Lumpur, persekitaran Chow Kit dan Belakang Mati boleh berubah.

Mungkin setiap hujung minggu Ahad akan berubah menjadi bandar Kota Bharu pada hari Jumaat.

Saya difahamkan terdapat surau yang cukup luas di Pejabat Agung PAS. Semestinya, amat selesa jika diberi ruang kepada Mursyidul Am PAS menyampaikan kuliah pada hari Ahad setiap minggu pertama.

Mungkin jadual boleh diatur iaitu minggu kedua boleh dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan minggu ketiga Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din.

Ahad minggu keempat boleh diamanahkan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sekiranya Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa tidak ada kesempatan untuk menyampaikan kuliah dan tidak berlaku lagi sebagaimana kelas pengajian di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar, sehingga terpaksa diganti tenaga pengajar lain.

Untuk minggu kelima, boleh dicadangkan penceramah bebas terutama daripada keturunan Cina dan India supaya PAS nampak lebih majmuk. Tokoh seperti Ann Wan Seng perlu diberi peluang berdakwah untuk kaum mereka.

Jika langkah seperti ini diambil, insya-Allah mungkin perubahan Belakang Mati boleh berlaku. Walaupun maksiat sukar dibendung tanpa adanya kuasa, tetapi kita perlu bertawakal kepada Allah SWT supaya memberi minat dan hidayat kepada mereka untuk bersama menyertai kuliah tersebut.

Sebagai pemimpin dan ahli PAS pula, perlu menjemput dan meraikan kehadiran mereka. Jangan kita menghalau mereka kerana kita adalah pendatang di tempat mereka yang lama bertapak di situ.

Kita tidak perlu berkerjasama dengan polis untuk membersih kawasan maksiat tersebut kerana jika mereka dihalau mungkin maksiat tumbuh di tempat lain.

Kita yang patut membimbing dan memberi otivasi keapda mereka. Terus mendekati dan prihatin dengan mereka supaya kita dapat membantu menyelesaikan masalah yang menyebabkan mereka terjerumus ke lembah maksiat.

Nilai solat yang terpaksa dilakukan di tempat bising lebih tinggi darjatnya daripada solat di tempat aman tenteram. Ini kerana solat dalam keadaan tersebut penuh dengan ujian tetapi masih boleh dilakukan. Begitu juga kerja dakwah ditempat yang penuh cabaran lebih tinggi darjatnya berbanding berdakwah di masjid.

Kesedaran tersebut menyebabkan bekas pemimpin Ikhwan Mesir, A-Syahid Iman Hassan Al-Banna sanggup berdakwah di disko dan kelab malam.

Begitu juga kecekalan semangat atlit Ruqaya Al-Ghasara, dan hebatnya dakwah beliau sanggup bertudung dalam sukan Asia di Doha. Beliau dengan menutup aurat tidak gentar untuk bertempur dengan wakil dari negara lain. Ruqaya tidak malu berdakwah dalam bidang sukan.

Malah beliau dapat mengalahkan atlit daripada negara lain dalam acara larian 200 meter di Sukan Asia. Kejayaan ini telah diteladani oleh Nisa' yang baru sahaja menyelesaikan Nisa' Games di Kota Bharu. Tetapi Nisa' boleh menutup aurat kerana mereka berada dalam kelompok sendiri yang kurang cabarannya.

Budaya ilmu
Gambaran budaya ilmu di tengah Kota Bharu yang menjadi kelainan tidak ada di negeri lain. Walaupun PAS pernah menang di Terengganu, namun kuliah agama tidak berlaku ditengah bandar Kuala Terengganu.

Walaupun saya orang Terengganu tetapi kejayaan Kota Bharu cukup dihormati dan sukar ditandingi oleh PAS Terengganu dan PAS di negeri lain.

PAS Kedah pun masih tidak mampu melakukan sebagaimana PAS Kelantan, walaupun bangunan Perhubungan PAS Kedah ditengah bandar Alor Setar. Bertambah pelik di Kedah, pejabat Perhubungannya diuar-uarkan akan berpindah di Kompleks PAS.

Betapa besarnya pengaruh kuliah di Kota Bharu sehingga memberi gambaran bahawa penganti Menteri Besar Kelantan itu mestilah mereka yang mewarisi kuliah ilmu di dewan tersebut.

Ini hakikat sebenar minda orang ramai yang lahir daripada budaya ilmu di tengah bandar Kota Bharu. Bagaimanapun sejak akhir ini ramai yang berpeluang menyampaikan kuliah di dewan tersebut dan menjadi kesukaran kepada mereka untuk menilai siapa penganti Tuan Guru atau Menteri Besar, suatu masa nanti.

Sekiranya Tuan Guru keuzuran tempat beliau diganti oleh Ustaz Mohd Amar Abdullah, Ustaz Nasaruddin Daud, Husam Musa dan Mohamad Mustafa serta lain-lain.

Sudah pasti antara mereka ada seorang tokoh yang mengikuti jejak keistimewaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. - mks.

No comments: